Quantcast
Channel: KRITIKUS SASTERA
Viewing all 259 articles
Browse latest View live

Ingin Jadi Pencerita Kepada Ingin Jadi Pujangga

$
0
0


A. Samad Ismail


Tetapi:

Ingin Jadi Pujangga bukan sebuah buku yang ada cerita untuk diceritakan.
 
Ingin Jadi Pujangga adalah A. Samad Ismail melihat A. Samad Ismail dan hilang.
 
Ingin Jadi Pujangga adalah luka lama yang kau lupa untuk tampal plaster atau bawa jumpa bomoh untuk berubat sampai ia jadi parut yang kau ingat untuk kau bandingkan dengan parut lain di masa depan.
 
Ingin Jadi Pujangga buat kau rasa menyesal jadi samseng di Kuala Lumpur kerana tidak ada orang nak jamu kau makan soto sedap selepas muka kau teruk kena bantai:
 
"Mereka makan di gerai Wak Kemat, menghirup soto panas dengan gelojohnya. Peristiwa sebentar tadi yang nyaris mengakibatkan mereka dibalun oleh samseng-samseng Cina, seolah-olah dilupakan buat sementara. Salleh mengaup daging dalam air yang berlinang dengan minyak dalam mangkuknya dengan jari-jarinya, menyiatkan isi daging daripada tulang ayam, lalu menyuapkan daging panas itu ke dalam mulutnya. Lidahnya terjelir-jelir tercelur oleh air sup panas. Mat Negro mengesat-ngesat dahinya dengan tangan kiri. Cili padi tumbuk dalam mangkuk di tepinya tinggal separuh."
 
Ingin Jadi Pujangga adalah kopi toraja yang tidak pernah diminum.

Ingin Jadi Pujangga adalah manuskrip A. Samad Ismail campak ke meja Usman Awang dan Usman Awang campak ke meja A. Samad Said dan A. Samad Said campak ke meja pengatur huruf dan pengatur huruf campak ke tepi mesin cetak yang akhirnya dibaca semula oleh A. Samad Ismail sebagai bantal tidur di kilang.

Ingin Jadi Pujangga adalah pintu kau masuk dan pintu kau keluar.

Ingin Jadi Pujangga adalah burung yang membuat parti bujang dalam telinga kau:

"Bunyi tembakan-tembakan senapang dan mesigan tidak kedengaran lagi. Seluruh rumah itu senyap kembali. Ali mempertajam pendengarannya untuk menangkap bunyi atau suara yang luar biasa dalam malam yang senyap itu. Tetapi hanya bunyi kakinya mengesot-ngesot di amben itu sahaja dan bunyi nafas ayahnya menahan batuk yang didengarnya. Ali cuba mengagak perjalanan bom - kalau letupan yang didengarnya sebentar tadi itu sebenarnya bom. Dia mendengar bunyi wisel yang nyaring seperti melewati atap rumahnya, seolah-olah bergesel dengan atap-atap itu. Bunyi itu seperti bunyi roda kereta api bergesel dengan besi landasannya ketika berlari laju atau seperti bunyi orang bersiul kuat. Bunyi itu tidak lama. Terlalu cepat, dan secara mendadak seperti bunyi orang menguak lalang ketika berjalan di tengah semak untuk seketika kemudiannya hilang diganti oleh bunyi letupan yang seperti memecahkan anak-anak telinganya."

Ingin Jadi Pujangga membuktikan kata-kata bergerak lebih laju daripada cahaya.

Ingin Jadi Pujangga membuktikan lelaki memerlukan perempuan untuk menulis.

Ingin Jadi Pujangga membuktikan watak-watak A. Samad Ismail selalu lupa mereka adalah watak-watak dalam sebuah cerpen A. Samad Ismail:

"Setengah jam kemudian, Shamsuddin dikelilingi oleh tiga orang temannya, di meja batu bulat di kedai kopi simpang jalan itu, menghadapi nasi, kari ikan dan sayur terung."

"Semenjak malam pertama saya ke kedai Kak Suri diajak oleh Man Siam, tiap hujung minggu kami ke kedai wanita itu. Ada waktunya kami ke kedai itu selepas menonton pertunjukan jam 6.00 di panggung wayang Alhambra atau Capitol. Sampai di kedai Kak Suri jam 9.00 malam, sedang perut lapar betul, lalu makan - dilayan oleh Kak Suri sendiri dan Rokiah, kemudian minum kopi dan ngobrol-ngobrol dengan mereka hingga kira-kira jam 11.00 malam."

"Dan malamnya pula makan berselerak rasmi MB. Pukul 11.00 barulah dia pulang ke hotelnya keletihan. Tetapi tidak sempat baring kerana Taib mengetuk pintu biliknya mengajaknya merayau, dengan kereta teman, masuk Biarlitz Park, minum kopi sambil melayani perempuan-perempuan di situ berbual, kemudian mengelilingi bandar lalu balik ke hotel. Dia hendak tidur tetapi bilik-bilik sebelahnya riuh dengan suara perempuan ketawa dan mengilai. Lalu Taib memanggil pelayan Cina hotel itu dan sebentar lagi mereka berganti-ganti menggunakan bilik Suhaimi dan Nasir, tidur sebentar dengan pelacur yang bergigi emas itu."

Ingin Jadi Pujangga adalah pengetip kuku yang kau sangka sudah hilang.

Ingin Jadi Pujangga tidak pernah berhenti bercakap tentang semua benda kecuali bagaimana ingin jadi pujangga.

Ingin Jadi Pujangga meramalkan krew pelbagai bangsa dalam kapal Star Trek Enterprise.

Ingin Jadi Pujangga ada di dalam peti sejuk.

Ingin Jadi Pujangga adalah bulan yang terlupa bagaimana hendak jatuh ke riba.

Ingin Jadi Pujangga adalah tiket wayang kau tertinggal di bangku pejabat pos.

Ingin Jadi Pujangga membuat kau rasa bangga kau masih teruna dan kau bukan seorang wartawan.

Ingin Jadi Pujangga bukan untuk orang yang baru hendak belajar main bowling:

"Tempat orang lalu dan berjalan sempit benar. Setengah-setengah mereka yang nakal kadang-kadang terpaksa berjalan di atas meja untuk cepat menyeberang bilik itu. Kaki mengharungi lautan kertas, surat khabar, kertas taip, kertas berita-berita luar negeri yang bertimbun di bawah meja dan di tepi-tepi dinding, di bawah kerusi dan dekat almari-almari besar itu, apabila berjalan atau bergerak dalam bilik itu. Dan apabila petang, jamban yang telah dipergunakan oleh berpuluh manusia dari sejak pagi, seperti mengirimkan semacam bau pula yang pada setengah-setengah orang dalam bilik itu yang telah bertahun-tahun menciumnya, sudah tidak asing lagi. Dan tiap petang asap tebal dari dapur di bawah, tempat Benggali jaga memasak capatinya akan menjalar dari tingkat bawah itu, melalui tingkap jamban, lalu masuk ke dalam bilik itu untuk berbaur dengan asap rokok, dan tembakau Basri dan teman-temannya."

Ingin Jadi Pujangga bukan kawan kau boleh ajak untuk minum di Taman Tun Dr Ismail.

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat kopi-O A. Samad Ismail.

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat kopi susu Sufian Abas.

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat mimpi buruk Mohd Affandi Hassan

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat penampar ke muka Rebecca Ilham.

Ingin Jadi Pujangga adalah peluh di dahi apabila kau berjalan.

Ingin Jadi Pujangga adalah propaganda terbaik ASAS 50 kerana Ingin Jadi Pujangga membuat parodi terbaik tentang ASAS 50 (secara tidak sedar).

Ingin Jadi Pujangga melanggar peraturan dengan membayar saman setiap bulan.

Ingin Jadi Pujangga melatih kau menjadi pelari pecut 100 meter di dalam pejabat:

"Dia melihat jam tangannya. Hampir-hampir pukul 12.00. Mesin cetak yang sebesar rumah dua tingkat itu patut sudah mengaum sekarang. Munir berkejar keluar bilik, melompat tangga, terus ke tingkat bawah dan berkejar ke bangunan cetak."

Ingin Jadi Pujangga adalah kilang percetakan dalam kepala semua pengarang fiksyen di Malaysia:

"Munir berdiri sekarang di tengah-tengah bangunan yang besar itu, memerhatikan mesin-mesin cetak yang besar, gagah tersergam di hadapannya. Dan dia seperti orang kerdil berdiri di situ, kagum oleh semacam perasaan terugut, bimbang, dan cemas menghadapi mesin-mesin lino yang berderet memanjang dari hujung dewan itu ke seberang tempat stor dan bekalan-bekalan kertas yang bergulung-gulung bertimbun dekat pintu besi yang lebar di sebelah belakang. Mesin rotary telah berhenti mencetak edisi awal dan cahaya yang samar-samar dari lampu-lampu elektrik di siling yang tinggi memberikan bentuk dan rupa yang gagah hebat kepada mesin itu.

Jentera yang besar itu seperti bercangkung di tengah-tengah bangunan itu, seperti seekor binatang yang gagah besar sedang berehat, melepaskan lelahnya di tengah-tengah hutan belantara yang tebal."

Ingin Jadi Pujangga adalah kayu hoki kau guna apabila kau nampak seorang sasterawan di depan rumah.

Ingin Jadi Pujangga adalah ikan jerung yang kau simpan di dalam laci.

Ingin Jadi Pujangga adalah melepak.

Ingin Jadi Pujangga memaksa kau untuk berkahwin dengan cerpen berjudul Edisi Pagi kerana kau akan dapat seks terbaik pada malam pertama:

"Munir meletakkan balik telefon di gagang. Hatinya lapang, lega oleh semacam kepuasan yang tidak pernah dirasakannya dahulu. Dia telah menyudahkan sebuah muka penuh untuk edisi pagi, muka lima, dengan tenaganya sendiri. Dia tidak takut lagi, tidak bimbang lagi. Hatinya tenang tetapi merasa semacam kegelisahan dalam hati kecilnya, seperti air tenang yang beriak-riak sedikit oleh sekutul batu kecil. 'Kau sudah jadi wartawan, Munir!' Dia seperti mendengar hati kecilnya berbisik. 'Kau sudah jadi wartawan, Munir!' Hati kecilnya membisikan halus ke telinganya."

Ingin Jadi Pujangga adalah masa depan yang tidak pernah jadi.

Ingin Jadi Pujangga adalah jalan sempit di belakang Kampung Baru.

Ingin Jadi Pujangga bukan Keris Mas dan Shahnon Ahmad. Lebih kepada tukang kasut yang Chekhov upah untuk mendengar dia berleter.

Ingin Jadi Pujangga adalah kerinduan pada lakonan Sidi Oraza.

Ingin Jadi Pujangga membuat kita rasa hendak pindah rumah.

Ingin Jadi Pujangga adalah keinginan untuk menjadi sebuah masterpiece.

Tetapi:

Ingin Jadi Pujangga memang sebuah masterpiece: ia adalah buku cerpen terbaik yang pernah muncul di negara ini.


 

Novel Kesepuluh: Everything Passes

$
0
0


Sudah hujung tahun dan ada banyak buku serta cerpen yang harus dibaca dan dinilai semula. Selalunya karya yang bagus tidak perlu menunggu lama untuk memikat perhatian kita. Di halaman pertama lagi wajah sebuah karya kelihatan jelas.
 
Saya fikir saya tidak pernah membaca novel sebanyak saya baca tahun ini. Pengalamannya sangat kaya dan meninggalkan pelbagai kesan. Sisa-sisa pengalaman itu (kebangkitan nostalgia, memori zaman kanak-kanak, pengembangan bahasa minda, kelukaan dan kebahagiaan sebuah perhubungan) saya kutip semula dan saya jadikan kenderaan untuk saya harungi dalam esei ini dan esei-esei seterusnya.
 
Ada novel yang tidak meninggalkan langsung jejak langkah buat saya. Malah ia tidak ada kaitan pun dengan kualiti. Hanya masa; serta usia. Novel itu atau novel ini belum bersedia untuk saya mengikutinya dengan lebih jauh.
 
Sementara yang memang meninggalkan jejak langkah itu saya ikut dengan sabar kerana bukan kerja mudah untuk mengenali seorang manusia melalui pengucapan bahasa, apatah lagi mengenali kehidupan. Novel sebagai sebuah dunia, adalah perlanggaran antara benua. Kita tidak tahu di mana kita akan terpelanting hari ini dan esoknya.
 
Tahun ini adalah tahun ketiga saya membuat senarai novel terbaik, dan seperti dua tahun sebelum ini, senarai saya adalah senarai peribadi. Buku yang dipilih tidak semestinya diterbitkan pada tahun 2014. Ukuran saya mudah sahaja, secara kasar: ia mesti memberi kesan kuat ketika saya kali pertama membacanya dan ia harus mengiringi imaginasi dan emosi dalam tempoh sangat lama. Alasan kedua itu sangat penting kerana saya menulis sepenuh masa dan saya sangat memerlukan buku sebagai sumber idea dan teman bicara. Semakin penting sesebuah buku itu, semakin kerap perbicaraan saya dengan buku itu. Ibarat menghadiri sebuah kuliah atau perbualan kedai kopi yang sangat rancak.
 
Di sepanjang tahun (atau sepanjang hidup) perbualan kita dengan sebuah buku akan berubah-ubah. Ada hari kita akan melupakannya kerana kita sudah menemui teman baru. Ada hari kita kembali kepadanya dan menarik dia turun daripada rak kerana hanya dia boleh memahami emosi dan masalah kita pada waktu itu.
 
Saya akan perkenalkan di sini sepuluh buah novel yang banyak berbicara dengan saya sepanjang 2014. Saya akan mula dengan novel kesepuluh iaitu Everything Passes oleh Gabriel Josipovici.
 
* * *
 

Eksperimen. Beberapa hari ini saya banyak mendengar cerita daripada teman-teman yang sedang merangka karya terbaru mereka. Ada yang nak buat buku mengikut saiz sebuah katil; ada nak buat buku dengan hanya senarai blurb sebagai isi naratif. Sekali dengar kita akan kata idea mereka adalah idea eksperimental. Namun saya selalui meragui apa yang disebut sebagai eksperimental, malah saya percaya ia tidak wujud. Serigala dalam tabung uji yang boleh bertukar menjadi kura-kura adalah eksperimental. Tetapi karya adalah dahan daripada ranting genetik seorang penulis. Sebuah novel dalam bentuk senarai blurb mungkin kelihatan eksperimental di mata kita, tetapi buat si pengarang, itu adalah sebahagian daripada dirinya.

Karya tidak lahir secara kebetulan: sebaliknya ia mencipta kebetulan.

Menjadi pengkritik dan novelis pada masa sama adalah ibarat ingin menjadi jerung dan helang pada masa sama. Teori mencipta idea; teori tidak mencipta karya. Tetapi teori boleh mencipta bentuk di tangan seorang penulis yang memahami arkitek sebuah novel.  Mohd Affandi Hassan gagal sebagai novelis (dan mungkin lebih berjaya sebagai pengkritik) kerana dia buta arkitek. Gabriel Josipovici sebaliknya faham apa itu novel, bagaimana ia dibina, dan bagaimana dia boleh membina sebuah novel mengikut acuannya sendiri.

A room.
He stands at the window.
And a voice says: Everything passes. The
good and the bad. The joy and the sorrow.
Everything passes.

Itu adalah pembukaan kepada Everything Passes dan anda tidak akan jumpa pengenalan lebih minimalis daripada ini dalam sejarah penulisan novel. Aspek ruang jarang dikaitkan dengan novel kerana puisi lebih jelas bermain dengan ruang. Tetapi apakah teks kalau bukan ruang? Apakah kata kalau bukan ruang dalam minda?

Sebuah bilik berbicara; sebuah bilik adalah sebuah novel dalam imaginasi Josipovici. Kita hampir tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik ini. Ada orang masuk, ada orang keluar. Ada pintu dibuka, ada pintu ditutup. Suara seakan-akan berbicara dalam dinding.

Sangat nipis novel ini. Tetapi kesepiannya meninggalkan ruang bicara yang sangat luas dan tiada penghujung buat kita.

      

Novel Kesembilan: Babyrina

$
0
0
 
Saya fikir apabila kita membaca karya daripada negara kita sendiri kita harus menjadi lebih cerewet dan degil untuk menurunkan pujian. Sebab sebenarnya kita paling mudah memberikan pujian pada sesuatu yang kita kenal dan sudah biasa. Mungkin sebab itu dua tahun sebelum ini tidak ada novel Malaysia yang masuk dalam senarai saya. Pertama, saya memang jarang membaca novel kontemporari Malaysia, kecuali ia dihasilkan oleh pengarang yang memang saya tidak meragui lagi kepintarannya bercerita. Kedua, saya percaya saya memerlukan jarak dengan karya tersebut. Ibarat sekeping lukisan impressionist: kalau terlalu dekat kita hanya nampak gumpalan warna dan garis-garis berus, tetapi berdiri sedikit jauh, imej itu mulai menjadi jelas dan indah.
 
Antara penemuan menarik saya tahun ini adalah novel Hamzah Hussain berjudul Rumah Kosong. Tidak dinafikan lagi ini adalah antara novel psikologi terawal di negara kita. Dari segi struktur memang jauh ke depan untuk zamannya. Bab-bab pendek yang tidak melebihi satu halaman disusun ibarat bilik-bilik di dalam sebuah rumah. Ada ancaman incest dan rasukan hantu Wuthering Heights yang bergerak di halaman-halaman novel cinta tiga segi ini. Patut dicetak semula (dan satu penumbuk ke muka Kassim Ahmad yang mengkritik penulisan Hamzah Hussain sebagai bengis dan sadis.)
 
* * *
 
Sepanjang tahun ini rasanya saya membaca novel Ridhwan Saidi Babyrina lebih daripada tiga kali. Mula-mula memang tidak nampak keistimewaan novel ini. Tetapi selepas beberapa bulan apabila saya beralih kepada novel Malaysia yang lain, baru saya sedar satu kekurangan besar kebanyakan novel kita: gaya bahasa. Idea mungkin besar, ceritanya mungkin sangat gelap, tetapi bahasanya timbul tenggelam ibarat kapal yang sedang sesak nafas di tengah laut. Di kalangan novelis Malaysia generasi saya hanya ada beberapa yang mempunyai kesedaran terhadap gaya bahasa. Salah seorangnya adalah Saat Omar. Saya tidak tahu sejauh mana Saat sedar tentang keunikan gaya bahasanya, tetapi Santet adalah antara novel Malaysia paling lucu saya pernah baca. Kalau bukan kerana Babyrina, ia memang sudah masuk senarai saya. Melebihi novel-novel Ridhwan sebelum ini, Babyrina mempunyai banyak permainan bahasa: sembang lucah di mIRC, puisi, keratan akhbar, laporan koroner, email, sesi main spirit of the coin. Ridhwan memang tahu nak membuat sebuah novel misteri yang tipikal kelihatan segar dan kompleks. Saya percaya Babyrina tidak akan memuaskan selera pembaca tulen novel misteri mahupun pencandu novel sastera kemasyarakatan. Babyrina sebaliknya mengisi ruang sempit yang menjadi sempadan antara dua dunia itu.     
 
 

Novel Kelapan: Bukan Pasarmalam

$
0
0
 
Enrique Vila-Matas pernah bilang bahawa penulis selalunya bukan orang yang pandai, malah semakin kurang pandai akan semakin bagus penulisannya (dan dia kutip pendapat ini daripada Georges Simenon). Ya, memang betul juga kerana bukan kepandaian akal yang mencipta sebuah karya. Melainkan peribadi pengarangnya.
 
Peribadi adalah tanah, debu, dan asap yang melekat pada kata-kata apabila ia disentuh oleh imaginasi dan emosi pengarang. Peribadi adalah berjangkit; peribadi adalah pembacaan yang tidak boleh diubati. Sehingga ke hari ini saya masih ingat kemarahan saya rasa ketika membaca novel Ivan Turgenev Fathers and Sons walaupun sudah bertahun ia tergeletak di bahagian belakang rak buku saya. Sebetulnya Turgenev bukanlah sosok peribadi yang saya selesa nak berkenalan (Albert Camus pun sama). Tetapi peribadi itu jugalah warna-warna yang melekat pada bahasanya. Kita tidak boleh mengelak.
 
Saya berasa agak kecewa membaca karya terbaru Afrizal Malna Kepada Apakah. Dari awal bahasanya meluncur deras ibarat bunga api yang baru meletus dari dalam kotak. Tetapi ia berhenti di situ. Bahasa Afrizal melayang tanpa arah seolah mengharapkan bunga api ini membentuk  dengan sendirinya imej cantik di angkasa. Afrizal ternyata menulis tanpa ada kesedaran pada bentuk. KepadaApakah dikatakan sebuah novel, tetapi peribadi Afrizal sebagai novelis itu terlalu longgar (malah tidak wujud) untuk membolehkan naratifnya dikawal menjadi sebuah novel.
 
Pilihan novel Indonesia saya tahun ini terbahagi antara dua: Bukan Pasarmalam oleh Pramoedya Ananta Toer dan Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas oleh Eka Kurniawan. Dua novel yang sangat kuat oleh dua orang novelis yang hampir sama peribadi kepengarangan. Bagaimana mahu pilih ya? Novel Eka lebih santai, suspens, dan cepat pergerakan ceritanya, bahkan ada waktu kita tidak cukup nafas menahan debar ketika watak-wataknya berlumba di atas jalan atau bertinju di dalam gelanggang. Novel Eka pun selalunya lebih erotis daripada novel Pram, bahkan tidak berlebihan untuk saya kata novel Eka menghiburkan, sementara novel Pram teramatlah serius dan teliti. Novel Pram adalah tipikal novel orang tua. Kalau bukan untuk pengalaman hidup, untuk apa lagi kita membaca novel orang tua? Jadi akhirnya pilihan saya bukanlah bertunjang pada soal kualiti, tetapi lebih kepada selera peribadi dan semasa. Saya memilih novel orang tua Pram berbanding novel orang muda Eka.
 
* * *
 
 
Tidak sangka novel nipis ini (kalau nak dibandingkan dengan tetralogi terkenal Pram) mempunyai banyak detik bermakna untuk ditarik keluar dan dipegang sebagai spesimen penulisan realistik kelas tertinggi. Penulisan realistik kelas rendah adalah realisme tanpa tujuan. Pokok semata-mata untuk pokok; angin semata-mata untuk angin; senyum semata-mata untuk senyum. Sementara di tangan Pram, pemandangan di luar tingkap kereta api boleh bertukar menjadi sebuah lukisan:
 
"Kuhisap sebatang rokok. Dan dingin pagi serta dingin angin pun tiada terasa betul kini. Sawah yang tandus dan yang hampir masanya dipaneni silih berganti berkejar-kejaran. Dan di sawah-sawah itu dahulu, kadang-kadang kapal capung Belanda melempari petani dengan granat-tangan. Adakalanya juga capung itu mendarat di lapangan tandus dan mencuri kambing penduduk. Ya, semua itu teringat kembali kini. Dan di rumput-rumput itu pula sebagian dari kawan-kawan yang mempertahankan garis jalan keretapi dulu menggelepak gugur, dan darahnya menyirami rumput yang menghijau selalu itu."
 
"Kereta berjalan terus dan berjalan terus. Sampai di Rembang, dia mulai membelok ke selatan dan melintasi hutan jati dan sawah. Kian dekat dengan kota kelahiran, kian nyata terbayang-bayang jalan-jalan yang sempit, penduduknya yang miskin, dan ayah. Kadang-kadang nampak kijang berlari-lari masuk ke semak-semak dengan kaki depan dan belakang hampir tersilang, dan perutnya tertekan sehingga kelihatan kembung ke atas."
 
Tidak lama kemudian pencerita novel ini sampai ke rumah ayahnya dan di situ kita menemui sentuhan deskripsi yang sangat halus dan indah:
 
"Kalau aku masuk ke dalam rumah, kepalaku tersenggol pada palang atap. Dan aku jadi berpikir, aku jadi tinggi sekarang. Waktu aku meninggalkan rumah ini, palang itu masih tinggi di atas kepala."
 
Semua yang kita ingin tahu tentang latar belakang watak itu telah dijelaskan dalam satu perenggan ringkas. Tidak perlu nak bazirkan naratif dengan melakukan imbas kembali yang panjang lebar. Dan bukankah kepulangan selalunya lebih kepada mencari kehidupan yang sudah hilang, berbanding kehidupan yang masih ada?
 
Ada banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang Bukan Pasarmalam (terutama tentang soal kematian dan kewujudan). Tetapi perjalanan kereta api baru bermula, dan saya belum bersedia untuk turun, dan menggelintar ke wilayah-wilayah lain.
 
    

Novel Ketujuh: Boyhood Island

$
0
0
 
Masalah besar rumah keluarga saya di Kedah adalah anai-anai. Bertahun-tahun punya masalah. Dan berapa banyak sisa memori saya daripada rumah itu sudah terhapus? Permainan papan Mad, permainan papan Risk, permainan papan Jumanji, koleksi lengkap komik Mutiara Naga, novel-novel Star Trek, mainan-mainan abang saya, jaket dan kot yang ayah beli dari Amerika, dan poster berbingkai kayu taman tema Disneyland di Los Angeles. Barang terakhir itu adalah mangsa terkini. Anai-anai perosak ini tidak boleh dihapuskan secara fizikal dengan racun atau api (percayalah, kami telah cuba). Mereka adalah ibarat waktu yang menjelma ke dalam kehidupan dan membina sarang di dalam dinding dan di bawah lantai. Rumah kami tidak ada kekuatan untuk melawan waktu: ia hanya mampu bertahan selama yang mungkin. Rumah kami itu pun, saya kira, sudah tua dan uzur seperti kedua-dua orang tua saya. Setiap kali saya pulang (dan saya jarang pulang sebenarnya) ada bahagian daripada rumah itu yang hilang. Ibarat usia yang semakin surut wajahnya. Barangkali yang tinggal hanya foto.
 
Karl Ove Knausgaard menulis dalam Boyhood Island (buku ketiga siri My Struggle) yang foto tidak boleh menceritakan apa-apa. Hanya orang dalam foto itu yang tahu apa sebenarnya berlaku. Tetapi ini pun tidaklah tepat sepenuhnya. Saya selalu melihat foto-foto zaman kanak-kanak saya dan saya tidak kenal orang dalam foto itu. Foto itu sekadar mengukuhkan beberapa keping imej dalam album memori saya. Selain daripada itu: ruang kosong. Ada cerita yang telah dipadamkan atau mungkin disunting dengan usia dan waktu.  
 
Perlahan-lahan kita melepaskan, tanpa sedar, emosi dan ingatan dari masa lalu. Kita menulis semula cerita hidup kita dan setiap hari halaman-halaman baru itu bertindan dan bertindan di atas halaman-halaman lama. Sehingga semua kata-kata menjadi kabur atau terpadam sama sekali.
 
Justeru kita berpaut dengan sekuat hati pada memori yang masih tinggal. Kita berpaut pada kepingan-kepingan foto dalam kepala kita.
 
* * *
 
Tiga tahun berturut-turut novel Karl Ove Knausgaard masuk ke dalam senarai saya. Fakta itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan karyanya sangat kuat dan padat dengan nafas kehidupan. BoyhoodIsland agak ringan kalau nak dibandingkan dengan dua novel sebelum ini. Tetapi jangan salah sangka: novel ini sendiri adalah pulau. Sebaik sahaja anda  mendarat di halaman pertama, anda akan terperangkap. Anda akan bersama Knausgaard ke mana-mana anda berjalan. Dia akan bercerita dan anda akan mendengar. Anda dan Knausgaard akan kembali menjadi kanak-kanak.    
 
"Memory is not a reliable quantity in life. And it isn't for the simple reason that memory doesn't prioritise the truth. It is never the demand for truth that determines whether memory recalls an action accurately or not. It is self-interest which does. Memory is pragmatic, it is sly and artful, but not in any hostile or malicious way; on the contrary, it does everything it can to keep its host satisfied. Something pushes a memory into the great void of oblivion, something distorts it beyond recognition, something misunderstand it totally, something, and this something is as good as nothing, recalls it with sharpness, clarity and accuracy. That which is remembered accurately is never given to you to determine." 
 
Membaca Knausgaard selalu memberikan saya kekuatan dan harapan: untuk hidup dan untuk percaya sebuah novel masih boleh mengajar saya menjadi dewasa.
 
(Sedang mendengar lagu Pulang oleh Float.)
 
 

Novel Keenam: The Cardboard House

$
0
0
 
E. M. Forster kata dalam sebuah novel selalu ada jam. Memahami naratif sebuah novel adalah memahami gelombang waktu yang bergerak di celah ruang kata-kata dan halaman bab (atau halaman tanpa bab). Tetapi di manakah terletaknya jam waktu itu sendiri? Di halaman pertama? Di halaman terakhir? Menurut saya kita tidak akan pernah dapat melihat jam itu. Setiap kali kita cuba mencarinya, ia akan dilarikan oleh seekor arnab putih. 
 
Sebuah novel - berbeza dengan sebuah cerpen - mempunyai banyak lubang dan pintu untuk si arnab putih merangkak, menyusur, dan mengelak daripada capaian imaginasi dan emosi kita. Pengulangan pembacaan mungkin akan membantu kita lebih memahami gerak-gerinya, tetapi kita tetap akan gagal. Si arnab putih selalunya lebih bijak daripada pembaca.
 
Justeru sebuah novel yang bagus akan sentiasa bersama kita. Berhari-hari, berbulan-bulan, malah mungkin bertahun-tahun. Kita membesar bersama sebuah novel yang memberi kesan kuat pada kita. Dan kita mencari, kita terus mencari, si arnab putih yang sedang bersembunyi.
 
* * *
 
 
Setiap kali saya membuat senarai saya akan pastikan ada juga satu novel makan angin. Tahun lepas saya pilih novel Tove Jansson The Summer Book. Kali ini saya ada pilihan antara novel Takashi Hiraide The Guest Cat dan novel Martin Adan The Cardboard House. Satu di Jepun dan satu di Peru. Seperti mahu pilih destinasi pelacongan. Saya yakin kedua-duanya seronok dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Eka Kurniawan sudah pernah membaca The Guest Cat dan ternyata dia sangat menyenanginya. Masa bergerak perlahan dalam sebuah novel Jepun sehingga kadang-kadang kita rasa seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Masa kehidupan mengalir bersama masa naratif. Saya kata kepada Eka yang The Guest Cat hanya mungkin ditulis oleh pengarang Jepun. Kalau sampai ke tangan orang Hungary, tambah Eka, barangkali ia akan jadi cerita yang sangat gelap dan murung. Sampai ke tangan orang Sepanyol akan ada unsur humor yang berlebihan. Sampai ke tangan orang Jerman akan ada meditasi yang berterusan. Dan sampai ke orang Perancis. Apa? Kucing bertukar menjadi simbol konseptual.
 
Tetapi akhirnya saya tidak memilih The Guest Cat. Depan apartmen saya sudah ada kucing kalau nak main atau tendang. Lebih seronok adalah menikmati laut musim panas di Lima. Dalam TheCardboard House, masa juga bergerak perlahan kerana Martin Adan menyusun naratif secara episodik seolah menyusun foto percutian di dalam album keluarga. Namun tekstur bahasa Adan lebih tebal dan banyak warna berbanding Hiraide. Baris-barisnya padat dengan imej yang sensual.
 
"A nighttime stroll. We have found a street hidden from the sky by dense, serious foliage. Now the sky does not exist, it has been rolled up like a rug, leaving barren the floorboards of space where the worlds walk, high society, slowly, silently, fastidiously. Now I love you as I have never loved you - truly, painfully. I don't know how... Walking through the street that returns our footsteps and our voices to us in a cavern..."   
 
Sebuah novel memerlukan puisi. Dan kadang-kadang puisi lebih penting daripada cerita mahupun gagasan yang besar.
  

Novel Kelima: Replacement

$
0
0


Fuck the plot, kata Edna O' Brien. Aneh juga mendengar kenyataan ini datang daripada seorang novelis konvensional yang novel terkenalnya The Country Girls itu tidaklah terus fuck the plot! Tetapi saya faham maksudnya. Orang yang menulis mengikut tradisi pun boleh bosan dengan tradisi dia sedang anuti. Tradisi menuntut disiplin dan saya selalu percaya menulis secara konvensional jauh lebih susah daripada menulis secara renegade. Ada beribu-ribu novel jenis Flaubert dan Dickens di luar sana dan daripada ribuan novel itu berapa yang memang berbaloi untuk dibaca? Rata-ratanya hanya mengulangi benda sama. Menggunakan realisme tidak lebih daripada meletakkan imej pokok, rumah, dan bangku di atas kertas.  

Sesungguhpun begitu, novel-novel yang masuk senarai lima terbaik saya setiap tahun tidaklah mencelakakan plot secara total. Penyusunan cerita masih terpelihara, dan walaupun naratifnya tidak berjalan dalam garisan lurus, ada momentum yang berenang secara konsisten di setiap halaman. Virginia Woolf pernah kata gaya bahasa adalah rima atau momentum. Di sinilah terletaknya nafas suara seorang novelis. Dalam 200 ke 300 halaman, bagaimana dia mengawal momentum? Bukan Pasarmalam, misalnya, perlahan sahaja momentum cerita kerana ia tentang kematian dan kepulangan seorang anak ke kampung. Maka, sesuai dengan momentum itu, Pram boleh menyediakan satu bab khusus untuk babak di dalam kereta api. Di sini kita ikut bernostalgia bersama watak sebagai penyediaan emosi untuk menemui ayahnya yang sedang terlentang sakit. Selain itu Bukan Pasarmalam juga sangat nipis; mana mungkin Pram ada masa untuk bertukar-tukar rentak cerita. Sementara dalam sebuah novel tebal dan epik seperti Cantik Itu Luka memang momentum cerita akan berubah-ubah kerana wataknya sangat beragam dan hidup di ruang waktu berbeza. 

Sebelum saya sampai ke novel Tor Ulven, saya cuma ingin sebut bahawa ada banyak novel lain yang bagus dan menarik saya telah baca sepanjang tahun ini, tetapi tidak terlepas masuk ke dalam senarai. Mungkin saya sudah tidak ingat ceritanya, mungkin saya tidak habis baca, mungkin penulis buku itu ada kata atau buat sesuatu yang merimaskan saya, mungkin sampul bukunya sangat membosankan. Banyak gila alasan. Tetapi apa boleh buat? Pembaca pun orang biasa yang membosankan. Baiklah, saya turunkah beberapa di sini: Bulan Tak Bermadu Di Fatehpur Sikri oleh A. Samd Said (habis baca, tetapi ya Tuhan! Kalau ada senarai pengakhiran novel Malaysia paling mengecewakan, saya kira novel ini akan termasuk sekali); Pabrik oleh Putu Wijaya (tidak habis baca; bukan novel terbaik Putu); Retina oleh Lokman Hakim (tidak habis baca; imaginasi dan idea pengarang seronok dibaca, tetapi entah kenapa tidak rasa nak baca sampai hujung); Green Girl oleh Kate Zambreno (kalau bukan kerana Tor Ulven, novel ini memang akan masuk senarai); The Tunnel oleh Sabato (antara novel terbaik dari Argentina); Semusim, dan Semusim Lagi oleh Andina Dwifatma (sahabat seperjuangan saya dari negara jiran, menunggu karya lebih hebat daripadanya); A Breath of Life oleh Clarice Lispector (rasa gila berdosa gila tidak memasukkan novel tidak memasukkan novel ini dalam senarai lima terbaik).          

* * *


Di kalangan pembaca buku sastera Inggeris di Barat, penerbit Dalkey Archive Press mempunyai reputasi agak buruk sebagai pendukung tulisan berbentuk avant-garde, metafiksyen, sastera untuk sastera, dan eksperimental yang bosan. Hal ini menjadi lebih parah apabila ada novelis cicak seperti Jonathan Franzen yang merendahkan tulisan eksperimental (antaranya yang diterbitkan oleh Dalkey) sebagai sengaja mencipta sesuatu yang sukar kerana pengarangnya tidak ada apa-apa untuk diperkatakan. Pukulan rata sebegini adalah diskriminasi pembacaan. Terserahlah kalau Franzen dan kawan-kawannya nak jadi kesatria akhir zaman yang akan menyelamatkan keagungan novel tradisional abad kesembilan belas. Dan terserahlah kepada James Wood kalau dia hanya ingin mengulas novel arus perdana (maksudnya bukan novel avant-garde atau novel marginal dari Amerika Latin) di majalah New Yorker. Bukan semua orang nak menjadi kesatria perang salib dan bukan semua orang nak jadi pembaca buku Henry James. Ada orang dia selesa sahaja menjadi badut yang membawa bom mercun  ke dalam majlis perkahwinan.

Novel Tor Ulven Replacement sedikit sebanyak melanggar stereotaip buku penerbitan Dalkey. Ia tidak bersifat avant-garde, malah untuk kata ia eksperimental akan hanya memperendahkan kualiti bahasanya yang begitu dekat dengan kehidupan harian. Seorang lelaki tua duduk di dalam rumah merenung cahaya yang bermain di jendela dan dia mula ingat episod-episod dalam hidupnya. Sekejap kita berada di pantai, kemudian kita menjadi pengawal keselamatan di kilang, kemudian kita berdiri di dalam pondok telefon mengira bilangan tiang lampu di tepi jalan, kemudian kita masuk kedai runcit di stesen minyak dan membuat meditasi panjang tentang hidup dan kematian:

"To you, a gas station is a foreign country. You've never learned to drive so-called motor vehicles, and if you don't actually enter the gas station as an illegal alien, you certainly do so as a rather nervous guest (you remember with discomfort the time someone asked you, even though you were only a passenger, to put gas in their car; you didn't even know how to hang the nozzle, or whatever it's called, back on the pump, it wouldn't fit, and you just stood there holding it, like it was some kind of exotic life-form, feeling ridiculous). Once you're inside the store, you're on more solid ground. You know you don't want hubcaps, windshield wipers, sponges, ice scrapers, first-aid kits, warning triangles, chains, battery charges, roof racks, rear-view mirrors, seat covers, window shades, steering-wheel locks, gas cans, jacks, or exhaust-pipe repair kits, hell no, but you also don't want milk, porno mags, Phillips screwdrivers, Swiss cheese, boxes of chocolate, apple-sauce, backsaws, ice cream, tiger-striped lap rugs, badminton sets, comic books, key rings, ballpoint pens, coffee mugs, adhesive yellow-letters, flashlights, rice cream, clamps, oranges, snuff, baseball caps, or breath mints. You walk up to the cash register and get in line. You see (without seeing) a shelf with chewing tobacco, and while you decide (once again) that you don't believe that dreams contain any signs or portents, although you can't get the fat man's dictum out of your head, which can be interpreted in two contradictory ways, namely, 1) that once things are gone, they're gone, and that once people are dead, they're dead, and that what's dead and gone is beyond all meaning, and has, therefore, entered into the realm of the meaningless, and therein lies the solution to the problem; or else 2) that the most absurd, most meaningless thing a person can dream up is that there actually is such a thing as an immortal soul and that that soul can go to hell."

Tor Ulven juga seorang penulis Norway dan cara bahasanya menari-nari di sekeliling benda harian (seolah ia adalah objek puisi) mengingatkan kita kepada Karl Ove Knausgaard. Saya beli Replacement pada tahun 2013, tetapi saya tidak pernah berhenti membacanya sepanjang tahun ini.Tanpanya saya sudah lama lemas dalam kebingungan dan ketandusan idea. Hidup Dalkey!

       

Novel Keempat: Mood Indigo

$
0
0


Semalam ada orang tanya dari mana saya mendapat idea untuk menulis. Jawapan saya mudah: zaman kanak-kanak. Atau memori zaman kanak-kanak. Saya percaya seorang penulis adalah seorang pemberontak dengan waktu dan usia. Seorang penulis tidak ingin membesar. Seorang  penulis tidak ingin waktu mengubah sejarah. Seorang penulis memelihara sejarah dalam kata-kata. Cinta adalah emosi terbesar, saya fikir, yang ingin dipelihara oleh setiap manusia. Kita ingin ingat pengalaman dipeluk oleh ayah kita sebelum pergi ke sekolah; kita ingin ingat rakan pertama kita tegur di sekolah ketika darjah satu; kita ingin ingat budak perempuan pertama kita berbual di kantin sekolah; kita ingin ingat perasaan tenang ketika kita bersujud kepada Tuhan; kita ingin ingat hari abang kita meninggalkan rumah untuk berhijrah ke kota; kita ingin ingat rasa cinta daripada sebuah novel cinta.
 
Jutseru kita membaca sastera kerana kita tidak dapat mencipta semua kata-kata di dunia ini. Masa kita terbatas; memori kita terbatas. Buku membenarkan kita untuk meminjam memori orang lain seolah-olah ia adalah memori kita. Atau dalam kata lain: buku membenarkan kita untuk gagal dan terus mencari jawapan.
 
* * *


Keseriusan hidup membunuh pengalaman memori. Kita sesat; kita tenggelam dalam arus hidup. Tanpa kita sedar. Apabila kita telah bangun kita sudah menjadi tua dan lupa dari mana kita bermula. Novel Boris Vian Mood Indigo mengingatkan saya supaya jangan berhenti bermain walaupun ketika dunia sudah hendak jatuh terbalik dan manusia mula melayang ke angkasa. Dalam novel ini, watak utamanya (lelaki kacak Perancis bernama Colin) menipta minuman istimewa melalui nota muzik sebuah piano. Dia mencari jalan di kota menggunakan sapu tangan yang dibawa lari warnanya oleh angin lalu jatuh ke atas sebuah bangunan. Dia berpacaran bersama kekasihnya Chloe dalam awan merah jambu yanag memeluk tubuh mereka apabila mereka berjalan-jalan.
 
Bukankah sangat membahagiakan kalau kita boleh hidup setiap hari dalam imaginasi Boris Vian? 

 
 

Novel Ketiga: Dept. Of Speculation

$
0
0

Tempat ketiga. Sebuah novel tidak akan datang sejauh ini dengan sendirinya. Lalu kenapa tiga buah novel ini lebih bagus daripada tujuh yang sebelumnya? Ia pasti berkaitan soal nilai, keindahan, dan kualiti. Tetapi apakah yang dikatakan sebuah karya yang bagus dan indah? Saya agak serius memikirkannya kerana esok akan diminta bercakap tentang nilai sebuah karya. Ternyata saya masih bingung dan bimbang akan kelihatan menggurui (atau lebih teruk, menjual nama) dalam majlis itu.
 
Mungkin apa yang saya anggap bagus, dan bersedia mengulangi membaca tanpa bosan, adalah satu benda sahaja: kata-kata yang saya boleh bawa pulang ke kamar.
 
* * *


Jenny Offill memulakan novelnya Dept. Of Speculation dengan memetik kata-kata Socrates: speculators on the universe... are no better than madmen. Buku-buku saya baca tahun ini juga boleh dikatakan berada dalam sebuah Jabatan Spekulasi. Spekulasi terhadap ruang (Everything Passes); spekulasi terhadap memori (Boyhood Island); spekulasi terhadap kewujudan (Bukan Pasarmalam). Spekulasi Jenny Offill ternyata lebih spesifik: spekulasi seorang isteri, spekulasi seorang ibu, spekulasi seorang penulis.
 
Spekulasi seorang perempuan.
 
"There is a picture of my mother holding me as a baby, a look of naked love on her face. For years, it embarrassed me. Now there is a picture of me with my daughter looking exactly the same way."
 
Ini satu daripada siri episod atau memori dalam kehidupan pencerita novel Offill.
 
Saya pun ada foto bersama emak seperti yang digambarkan Offill. Dan saya pun pernah ada rasa malu melihatnya (saya baru sedar sekarang). Kenapa ya saya malu? Susah nak jelaskan. Pertama, foto itu hanya foto seorang bayi di atas riba emaknya, dan saya tidak ada memori pernah mengalaminya. Kedua, mungkin, kerana ia foto bayi yang hodoh.
 
Adakah orang suka melihat fotonya sendiri semasa bayi?

Narator novel ini banyak berfikir dan memerhatikan orang-orang di sekelilingnya. Namun pemerhatian itu dibataskan kepada tingkah laku suami dan anak perempuan mereka. Offil menggunakan kalimat-kalimat yang ringkas antara satu perenggan ke satu perenggan, dan perenggan Offil tidak diikat oleh satu garis naratif. Ada pengkritik berpendapat gaya penulisan ini mempunyai persamaan dengan Lydia Davis, tetapi minda narator Offil tidak tergagap-gagap seperti kebanyakan perempuan dalam cerpen Lydia Davis. Narator Offil lebih memahami suara fikirannya, malah dia sangat faham, sehingga ia menjadi tembok untuk dia memahami tingkah laku dan fikiran orang lain.

Suatu masa dahulu gaya penulisan yang bermain dalam fikiran seorang watak akan dilihat sebagai teknik monolog atau teknik aliran kesedaran. Masa dalam novel Proust atau Virginia Woolf bergerak sangat perlahan kerana suara fikiran narator mereka berlanjutan dengan lama. Puan Ramsay, misalnya, di permulaan novel To the Lighthouse duduk di tepi tingkap rumahnya dan berfikir panjang tentang rencana untuk membawa keluarganya ke rumah api, dan sambil itu dia melihat wajahnya dalam bayang tingkap, dia melihat si James di atas lantai menggunting gambar daripada majalah, dia melihat suaminya berjalan-jalan di luar. Pembacaan novel di zaman itu memerangkap kita dalam satu episod kehidupan. Sementara novel di abad kedua puluh satu, seperti Dept. Of Speculation, memecahkan kehidupan menjadi serpihan episod, kerana kita sedang melalui satu zaman di mana semua manusia sedang larut dalam arus waktu. Manusia tidak mempunyai kesempatan untuk berhenti dan termenung, apatah lagi melihat ke belakang. Kita bergerak ke depan dan meninggalkan ruang-ruang kosong antara jejak langkah kita.

Justeru spekulasi sebenar dalam novel Offil bukan apa yang telah diperkatakan, tetapi apa yang tidak diperkatakan di ruang kosong antara setiap perenggan. Ingatan-ingatan yang dilupakan. Atau disunting daripada fikiran.

Spekulatif adalah sifat seorang novelis: dia mencipta jarak selamat antara dirinya dengan dunia. Tetapi spekulasi juga bermaksud keraguan, kebimbangan, ketidakpercayaan, dan kedinginan emosi terhadap banyak perkara. Dalam novel ini, pencerita tidak bernama Offil menjelaskan dalam satu episod perbezaan antara dirinya dengan si suami dari segi perhubungan sosial:

"He is famously kind, my husband. Always sending money to those afflicted with obscure diseases or shoveling the walk of the crazy neighbor or helloing the fat girl at Rite Aid. He's from Ohio. This means he never forgets to thank the bus driver or pushes in front at the baggage claim. Nor does he keep a list of those who infuriate him on a given day. People  mean well. That is what he believes. How then is he married to me? I hate often and easily. I hate, for example, people who sit with their legs splayed. People who claim to give 110 percent. People who call themselves "comfortable" when what they mean is decadently rich. You're so judgmental, my shrink tells me, and I cry all the way home, thinking of it."

Dia tidaklah sepanjang beremosi seperti ini. Kerap kalinya apa yang dia ingat adalah episod-episod kecil dalam rumah tangga yang menggambarkan suatu sudut pandang naif, lucu, dan sangat teliti dan bermakna:

"Is she a good baby? People would ask me. Well, no, I'd say."

"That swirl of hair on the back of her head. We must have taken a thousand pictures of it."

"Someone has given my daughter a doctor's kit. Carefully, she takes her own temperature, places the pressure cuff around her arm. Then she takes the cuff off and examines it. "Would you like to be a doctor when you grow up?" I ask her. She looks at me oddly. "I'm already a doctor," she says."

"In the elevator of the new building, my daughter pushes the button for the eleventh floor. "If there were a fire, we'd have to take the stairs," I say. "But what if there were a flood?" There won't be, I tell her, not lying. For once, not."

"One night we let her sleep in our room because the air conditioner is better. We all pile into the big bed. There is a musty animal smell to her casts now. She brings in the nightlight that makes false stars and places it on the bedside table. Soon everyone is asleep but me. I lie in our bed and listen to the hum of the air conditioner and the soft sound of their breathing. Amazing. Out of dark waters, this."

 

Novel Kedua: Faces in the Crowd

$
0
0


Tertangguh agak lama senarai ini. Sepanjang berada di Kedah memang tidak dapat disiapkan kerana sibuk dengan urusan keluarga, dan manuskrip cerpen, disamping sibuk melayan dua orang abang yang ikut menjadi bomba dalam permainan papan Flashpoint.
 
Mula-mula saya nak kata bahawa 2014 (malah 2010 ke atas) adalah tahun yang baik untuk sastera Malaysia secara umum. Bahkan cuaca sastera kita sekarang jauh lebih cerah dan nyaman berbanding sepuluh tahun lalu ketika penulis terpaksa tunduk kepada renunangan Mata dari puncak Menara DBP.
 
Era itu sudah berakhir - kuasa pembacaan dan penulisan sudah kembali kepada Middle-earth.
 
Saya tidak tahu tentang penulis lain, tetapi saya fikir bukan tanggungjawab kita untuk meletakkan karya sezaman sebagai karya klasik atau agung. Selain mustahil untuk menjadi objektif (sastera Malaysia pula sangatlah kecil dunianya), kita akan hanya meletakkan beban kepada penulis apabila kita mengangkat karyanya sebagai klasik.
 
Justeru - kalau kita memang bersedia  melepaskan mantel klasik ini - kenapa kita nak serius sangat apabila membaca karya kontemporari? Kenapa penulis-penulis kita terlalu taksub (sampai tenggelam ke dasar) dengan sentimen masing-masing? Ia seolah-olah kalau penyair itu menulis puisi Islamik, dia tidak reti nak layan puisi cinta, dan kerana dia tidak reti nak layan puisi cinta, dia rasa puisi negaranya suram dan membosankan. Ia seolah-olah kalau dalam satu tahun itu tidak ada puisi jenis Rahimidin Zahari atau Shamsudin Othman yang boleh buat dia terangkat ke langit, semua puisi jenis lain adalah sampah di matanya.
 
Betul, saya memang sokong David Foster Wallace yang kata "semua orang berhak untuk sembah siapa dia nak sembah." Tetapi hanya kerana kau ada agama, itu tidak bermakna agama kau sahaja betul dan agama orang lain salah.  
 
Jangan kata tahun 2014, hampir setiap tahun saya menunggu munculnya sebuah Ulysses, sebuah Bumi Manusia, sebuah Don Quixote di negara ini. Atau sekurang-kurangnya sebuah Kafka on theShore dan sebuah The Savage Detective. Tetapi adakah itu sahaja saya nak sebagai pembaca? Tidak. Di waktu lain saya nak juga bacaan separa-klasik, bacaan ringan, dan bacaan sampah semata-mata. Hanya pembaca bangang akan buka sebuah novel misteri atau seram  untuk mencari pemikiran besar.

Baik, kembali kepada senarai.

* * *


Ada banyak novel berbentuk fragmen yang saya baca pada tahun 2014, malah ia boleh diangkat sebagai tema kepada senarai novel terbaik 2014 ini: fragmen. Dari segi itu, Faces in the Crowd, tulisan Valeria Luiselli (penulis kelahiran Mexico City), mempunyai persamaan jelas dengan Dept. ofSpeculation. Kedua-duanya adalah fragmen; kedua-duanya adalah novel pertama pengarang masing-masing; kedua-duanya adalah tentang perkahwinan dan keluarga; kedua-duanya diceritakan oleh seorang perempuan bijak, skeptik, meditatif yang tidak bernama; kedua-duanya adalah tentang memori dan ruang. Saya pilih Faces in the Crowd di atas Dept. of Speculation atas satu sebab utama: pengulangan pembacaan. Mungkin kalau saya telah baca Dept. of Speculation jauh lebih awal, situasinya akan berbeza. Namun saya percaya kedua-duanya adalah antara novel terpenting yang telah muncul dari negara mereka untuk abad ini.

Faces in the Crowd (FITC selepas ini) bercakap kepada ruang yang hadir di antara kata-kata. Ruang itu bukan kekosongan atau ingatan: ia adalah sejarah. Setiap manusia hadir ke dalam sesuatu ruang, dan dia tidak wujud secara terasing, tetapi menjadi sebahagian daripada kewujudannya. Sebagai contoh, ruang sebuah apartmen, seperti yang dihuni oleh narator novel ini - tidak bernama, seorang isteri dan seorang ibu, bekerja sebagai penterjemah di sebuah rumah penerbitan kecil di New York. Menurut pencerita tidak bernama ini, apartmen dia tinggal bersama keluarganya dihuni oleh hantu. Dia tidaklah bermaksud secara literal - lebih kepada komunikasi dalaman antara dirinya dengan ruang apartmen tersebut. Memandangkan Luiselli membangunkan novelnya secara fragmen - seolah kita melihat serpihan memori atau angan-angan naratornya - hubungan antara fantasi dan realiti itu menjadi kabur. Luiselli menulis seolah-olah kata-kata telah hilang sebelum dia sempat menulisnya. Di permulaan FITC, si narator menggambarkan ruang sebuah novel sebagai nafas:

"Novels need a sustained breath. That's what novelist want. No one knows exactly what it means but they all say: a sustained breath. I have a baby and a boy. They don't let me breathe. Everything I write is - has to be - in short bursts. I'm short of breath."

Dia bercakap seperti orang akan mati. Namun ingatan kepada kematian jugalah yang mengisi ruang-ruang kosong dalam novel ini, seperti mana narator Luiselli berasa sangat senang hati mengunjungi tanah perkuburan:

"I liked cemeteries, parks, the roof of buildings, but most of all cemeteries. In a way, I was living in a perpetual state of communion with the dead. But not in a sordid sense. In contrast, the people around me were sordid. Moby was. Dakota too, sometimes. The dead and I, no. I had read Quevedo and internalized, like a prayer, perhaps too literally, the idea of living in conversation with the dead."

Tetapi penulisan sememangnya adalah perbualan dengan kematian. Penulis mencipta rumah di atas kubur.

Luiselli sendiri pernah menceritakan pengalaman mengunjungi kubur Joseph Brodsky di Venice dalam eseinya berjudul Joseph Brodsky's Room and a Half. Menurutnya, mencari kubur seseorang adalah sama seperti "mencari orang asing di dalam sebuah kafe." Kubur tersebut, atau orang tersebut, sudah sedia menanti untuk berbicara dengan kita.

Buku adalah ibarat kubur di atas sebuah rak. Pencerita Luiselli dalam FITC menemui buku seorang penyair bernama Gilberto Owen ketika berada di perpustakaan. Dia membaca surat Owen dan terus berminat untuk menterjemahkan puisinya. Owen berasal dari Mexico, telah lama mati, dan dikatakan pernah mempunyai apartmen di Harlem, New York. Persamaan latar ini ternyata menarik minat si narator sehingga dia pergi mencari apartmen tersebut. Ketika di situ, dia secara tidak sengaja telah terkunci di atas bumbung apartmen, dan terpaksa bermalam sampai ke pagi. Satu benda yang dibawanya pulang kemudian adalah pasu bunga mati yang dia percaya pernah menjadi milik Owen.

Semakin si narator menggali sejarah kehidupan Owen, semakin dia menjadi obses, sehingga di pertengahan FITC, suaranya bertukar-tukar dengan suara Owen sendiri. Latar masa dan tempat Owen menjadi sebahagian daripada latar hidupnya. Pembacaan boleh merasuk roh seorang pembaca. Lebih-lebih lagi kalau dia membawa balik pasu bunga yang menyimpan roh pengarang itu sendiri.

Sewaktu kali pertama saya membaca FITC, saya rasa bahasa dan suara narator Luiselli terlalu dingin. Tetapi kemudian baru saya sedar kenapa ia begitu. Ada roh orang mati yang merasuk halaman-halaman novel ini.

            

Novel Terbaik 2014: The End Of Love

$
0
0


Kenapa kita perlukan senarai? Saya ada terfikir benda itu kebelakangan ini kerana setiap kali kita sampai ke hujung tahun, penulis akan memilih buku kegemaran mereka. Selalunya senarai penulis tidak akan sama. Lebih-lebih lagi kalau ada penulis yang hanya memasukkan karya klasik dalam senarainya. Jadi kalau semuanya subjektif belaka, buat apa nak baca senarai orang lain? Buat sahaja senarai sendiri. Tetapi masalahnya kita jarang ada masa untuk membuat senarai. Jangan kata senarai, nak membaca ulasan buku pun kita kadang-kadang tidak ada masa. Buku yang ada di dunia sekarang sangatlah banyak berbanding seratus tahun dahulu. Pintu masuk ke dalam dunia sastera ada di mana-mana. Seorang pembaca biasa tidak perlu bermula pun dengan buku klasik. Dia boleh membaca Murakami, kemudian perlahan-lahan bergerak ke cerpen Raymond Carver, atau novel noir Raymond Chandler, dan dari situ melangkah lebih jauh ke dalam dunia Hemingway. Dalam hal ini senarai boleh membantu kita membuat pilihan, terutama sekali kalau ada penerangan kepada setiap buku yang dipilih. Mengenali sastera dunia adalah seperti mengenali jiran yang tinggal jauh daripada kita. Ada waktunya kita perlukan nasihat sebelum melangkah masuk ke halaman rumah jiran itu. 

Sebelum saya menjelaskan pilihan novel terbaik saya untuk 2014, saya ingin berkongsi semula novel-novel yang telah masuk senarai lima terbaik: Replacement oleh Tor Ulven, Mood Indigo oleh Boris Vian, Dept. of Speculation oleh Jenny Offill, Faces in the Crowd oleh Valeria Luiselli.    

* * *


Beberapa bulan lalu, ketika saya sedang merancang senarai ini, saya perasan novel-novel dalam senarai akhir saya mempunyai tema cinta. Kebetulan sahaja ia begitu. Nak kata saya tengah mabuk cinta semasa 2014, pun tidak juga (sekadar bermain-main cinta itu biasalah). Sebenarnya saya tidak pernah faham kenapa saya memilih untuk membeli dan membaca sesebuah novel. Dalam kes novel ketiga Knausgaard, saya rasa, sebab saya sudah selesa (malah sering rindu) dengan suara pengarangnya. Tetapi bagaimana dengan The End of Love oleh Marcos Giralt Torrente? Saya tidak pernah membaca Torrente sebelum ini. Namanya pun jarang diperkatakan. Novel ini mempunyai empat buah novela dengan tema cinta (atau kesudahan cinta) mengikatnya menjadi satu tubuh. Saya mula membaca novela ketiga yang berjudul "Joanna" dan di perenggan pertama lagi saya sudah kena kejutan elektrik dalam kepala saya:

"It is odd that at each and every moment life offers us an unspecified number of choices, that we are constantly making choices that changes us, taking certain paths and eschewing others, and yet, when we look back, most of us remember ourselves as children much the same as we are today."    

Ada suara kali pertama kita mendengarnya ia menjadi semacam lubang hitam yang menelan semua kebisingan di sekeliling kita. Nak berundur sudah terlambat. Kita sudah jatuh, dan sekarang harus membaca sehingga ke halaman akhir. Dan apa kita dapat di hujung perjalanan itu? Selalunya kalau ia karya luar biasa, kita tidak akan dapat apa-apa. Hanya kesepian panjang tanpa titik. 

Tiga buah lagi novela dalam The End of Love juga mengasyikkan, tetapi silalah baca sendiri. Saya lebih berminat nak berbicara tentang "Joanna."

Sesiapa yang pernah bercinta dari usia remaja pasti akan setuju bahawa cinta paling indah dan paling diingati adalah cinta pertama, walaupun selalunya cinta di usia itu akan berakhir dengan kesedihan dan kekecewaan. "Joanna" adalah ingatan dan renungan naratornya akan gadis pertama yang dia belajar bercinta, iaitu Joanna. Di permulaan cerita kita mendapat tahu yang si narator tidak ada ibu bapa dan dibesarkan oleh seorang nenek yang sangat tegas sehingga narator tidak ada peluang untuk keluar bermain dengan kawan-kawan selepas waktu sekolah. Satu-satunya peluang dia ada untuk bersosial adalah ketika musim panas, dan pada masa inilah dia bertemu dengan seorang gadis bernama Joanna ketika dia sedang membaca buku di tepi pantai. Joanna adalah gadis paling cantik narator kita pernah temui, tetapi masalahnya Joanna datang dari keluarga aristokrat dan kosmopolitan. Sementara narator kita hanya budak biasa dan naif dari Madrid. Narator kita boleh menyedari hal ini kerana dia sedang bercerita kepada kita dari usianya sekarang, iaitu lelaki dewasa yang bekerja sebagai pengacara radio dan mempunyai keluarganya sendiri (bukan bersama Joanna). Justeru sambil mengingati Joanna, narator kita turut membuat komentar terhadap tindakan-tindakannya di usia remaja itu. Kebetulan saya sekarang memang sedang membaca Proust, dan saya langsung dapat mengenal pasti persamaan antara narator Proust dan Torrente. Kedua-duanya sedang membuat pengakuan dan menyusun semula sisa-sisa memori dari suatu zaman. Masalah dengan kebanyakan kita apabila kita sudah dewasa  adalah kita sering lupa bagaimana kita asalnya seorang kanak-kanak. Kita lupa yang kita pernah berkali-kali gagal dan kecewa sebelum kita akhirnya bangun menjadi dewasa.     

Si narator kita sedar yang dia tidak ada apa-apa persamaan dengan Joanna, kecuali minat mereka pada buku. Kebanyakan waktunya mereka hanya sekadar berpandangan, senyum, berjalan, dan menahan rasa malu di wajah masing-masing. Cinta. Aduh. Antara aktiviti kegemaran mereka adalah melihat rumah-rumah orang sambil berjalan. Tetapi kebahagiaan ini tidak kekal lama. Joanna membawa si narator menemui emaknya dan di situ baru kita  tahu bahawa ada konflik keluarga yang sangat serius antara Joanna dan emaknya. Menurut narator kita, diri sebenar seseorang hanya diketahui apabila kita mengetahui hubungan orang itu dengan keluarganya. Dan ia sangat benar. Tetapi di usia remaja memang kita tidak akan terfikir. Kita belum mampu memahami emosi tersembunyi seorang perempuan. Kita belum mampu membaca perang keegoan antara seorang ibu dengan anak perempuannya.

Kita belum mampu membuat konklusi penting tentang cinta dan perhubungan: ia bermula hanya untuk berakhir.

The End of Love mempunyai persamaan dengan novel Leila Chudori 9 Dari Nadira di mana beberapa cerita panjang dicantumkan menjadi sebuah novel. Bezanya novel Leila menggunakan satu watak utama sahaja untuk kesemua ceritanya, sementara keempat-empat cerita Torrente tidak ada kaitan langsung dari segi hubungan naratif. Namun bahasa kedua-dua pengarang ini ternyata jernih dan mengalir tenang dari halaman ke halaman. Torrente mengingatkan saya yang realisme masih hidup dan ia akan sentiasa hidup selagi adanya masyarakat moden di sesuatu zaman. Kita memerlukan realisme, dan karya sederhana seperti The End of Love, sebagai tiket untuk kita berhenti sekejap, berehat, dan mengatur waktu hidup kita dengan lebih tenang.



   

Selesai Dengan Harold Bloom

$
0
0
 
 
Saya ingat ada suatu masa ketika Harold Bloom adalah pengkritik sastera paling penting dalam hidup saya. Sekarang setelah hampir tujuh tahun bersamanya, hubungan saya dengan Bloom sudah selesai. Saya bukan mempertikaikan kanon yang Bloom telah bina atau pendapatnya terhadap penulis-penulis di dalam kanon itu. Saya cuma telah bertukar angin dan memilih untuk tidak singgah lagi di pintu pemikirannya. Baru-baru ini Scott Esposito ada nyatakan di Twitter bahawa sudah sampai masanya Bloom tahu bukan semua benda boleh dikaitkan dengan Shakespeare. Memang betul: Shakespeare harus dilepaskan sebagai menghormati kepengarangan Shakespeare, dan bukannya menjadikan Shakespeare sebagai idola untuk disembah. Dengan melepaskan Shakespeare (mahupun Cervantes, Dante, Joyce, dan sifu-sifu lain), kita tidaklah menafikan pengaruhnya kepada sastera dunia, tetapi kita memberi ruang dan turut meraikan anak-anak dan cucu-cucu yang telah mewarisi tradisi penulisannya.
 
Saya sedar sekarang, setelah tahun demi tahun membaca karya sastera, minat saya pada gagasan dan idea-idea besar sudah surut. Polemik pun tidak penting lagi untuk saya, mahupun nilai anugerah-anugerah besar kesusasteraan. Ada keindahan dan warna emosi dalam sebuah buku yang tidak boleh dilunturkan oleh kritikan, pujian, perdebatan, wang, dan anugerah - buku seperti ini sentiasa hidup dan ia hidup bebas untuk menentukan sendiri takdirnya tanpa campur tangan daripada kita.  
 
 

Seminggu Bersama Proust

$
0
0
Henri Matisse, Goldfish 

Mabuk dalam kegembiraan. Tidak ada gambaran lebih tepat saya boleh berikan apa saya rasa satu minggu kebelakangan ini ketika membaca Swann's Way dan buku apresiasi Alain de Botton terhadap Proust berjudul How Proust Can Change Your Life. Kebetulan pada masa itu saya juga sedang melihat lukisan-lukisan Matisse yang saya temui di Pinterest. Warna dalam lukisan Matisse sangat terang sehingga kita tertanya-tanya jika mata pelukis ini adalah mata seorang kanak-kanak. Saya paling suka lukisan sebuah balang ikan emas di atas meja: perabotnya hijau, daunnya hijau, airnya pun hijau , tetapi ikan-ikan di dalam balang itu adalah oren menyala. Lukisan ini ada dua dimensi: pertama, pandangan atas, di mana kita melihat secara langsung ikan-ikan di dalam balang itu; kedua, pandangan depan, atau pandangan si pelukis. Kalau dari atas imejnya kabur, dan di sini Matisse seperti ingin menyatakan yang dalam hidup harian kita sering terlepas pandang keindahan benda-benda di sekeliling kita (misalnya, ikan di dalam balang atau ikan di dalam kolam). Bukan sebab kita tidak nampak, tetapi sebab mata tidak mengenal keindahan di depannya. Kita memerlukan mata seorang pelukis - kita memerlukan lukisan - untuk membantu mata kita membina hubungan antara ikan dan pokok, antara balang dan meja, antara oren dan hijau, antara cahaya dan imej, antara emosi dan ingatan, antara diri kita dan waktu. Matisse pernah menggambarkan seni sebagai kerusi empuk di mana ia menjemput kita untuk melonggarkan kerumitan dan kelesuan akal fikiran kita. Nilai ketenangan dan kegembiraan dalam lukisan Matisse juga boleh dirasai dalam novel Proust. Sebenarnya nak kata tulisan Proust adalah novel juga tidak betul. Antara ciri khas sebuah novel adalah menstrukturkan waktu untuk pembaca. Paling tipikal adalah novel yang ada permulaan, pertengahan, dan pengakhiran - ada konflik dan ada penyelesaian. Novel Virginia Woolf (Ms. Dalloway) dan James Joyce (Ulysses) masing-masing berlaku satu hari - ada watak yang keluar rumah dan ada watak yang balik rumah. Tetapi bagaimana waktu bergerak dalam novel Proust? Tidak ada struktur khas yang mengawalnya. Fikiran naratornya, Marcel, boleh melayang ke mana-mana. Waktu tidak terbatas dalam novel Proust kerana waktu hanya wujud dalam fikiran Marcel.

Sebagai manusia, bolehkah kita merasai perubahan waktu? Ia seperti bertanya jika kita boleh melihat jam antik yang tergantung dalam kepala kita. Tetapi jam bukanlah pengukur waktu yang tepat. Kita mengenal waktu bukan melalui angka; kita mengenal waktu melalui ingatan. Sebab itu orang yang hilang ingatan atau gila boleh merewang sesuka hati di tepi jalan kerana waktu sudah tidak wujud dalam dunianya. Tetapi nak melihat dan mengenal waktu pun bukanlah kerja mudah. Cuba sahaja mengambil sekeping foto lama di dalam laci bilik anda, dan pegang, dan perhatikannya dalam diam. Bukankah di saat emosi kita ingin terbang kembali ke waktu dalam foto itu ada tangan yang datang merentap kita jatuh ke tanah? Bukankah semakin kita melihat ke dalam ingatan kita, semakin kabur imej itu menjadi?

Kembali Ke Rumah Lama Dan Sedikit Renungan Tentang Kritikan

$
0
0
Hans-Georg Gadamer
 
Belum sampai sebulan saya berpindah blog ke Dunia Dalam Gelas Pasir, saya terpaksa meninggalkannya kerana perkhidmatannya kini berbayar dan bukan lagi percuma (tekanan kapitalisme digital ke atas pengguna). Justeru, untuk sementara waktu, barangkali, saya kembali ke rumah lama saya: Kritikus Sastera.
 
Saya sangat berat hati untuk kembali ke blog ini. Bukan kerana saya memutuskan ikatan dengan dunia lama saya, tetapi lebih kepada keraguan dan kesedihan melihat kritikan sastera masih terbatas dalam tubuh asalnya. Kritikan sastera, sama ada di negara kita atau di mana-mana, masih belum mengalami transformasi kewujudan untuk berhadapan dengan realiti dunia semasa. Novel telah berubah; memang sudah menjadi takdir dan sifat semula jadi novel untuk mengalami transformasi dari zaman ke zaman. Sementara kritikan sastera masih terkurung di dalam kamar yang sama ia bermula. Kritikan sastera adalah kebingungan dan trauma seorang Gregor Samsa yang masih belum mengerti kedegilannya untuk berubah (kedegilannya untuk kembali menjadi manusia) telah menyebabkan kemanusiannya jatuh ke dalam keberadaan seekor serangga.
 
Saya baru membaca dalam buku Simon Critchley The Book of Dead Philosophers tentang Hans-Georg Gadamer di hujung usianya. Gadamer adalah antara pengasas hermeneutika moden (disiplin pentafsiran teks) yang sangat berkait rapat dengan apa kita faham sebagai kritikan sastera. Critchley sendiri menjadi saksi ketika Gadamer hadir (langkahnya terkial-kial dan memakai tongkat) untuk memberi ucapan di Itali tentang syarahan Heidegger yang baru sahaja terbit. Ketika menaiki tangga pentas Gadamer telah jatuh ke bawah dan tongkatnya terpelanting. Gadamer dikejarkan ke hospital.Tetapi dia tidak mati pada hari itu. Dia hadir semula kemudian untuk memberikan ucapan dengan balutan luka masih jelas.
 
Tanpa ingin mempersendakan kejadian itu atau pemikiran Gadamer, saya melihat kesungguhan dan ketabahannya sebagai tragedi kritikan sastera yang sehingga kini menjadi beban tanggungjawab dan absurd golongan akademik. Kritikan sastera - seperti ilmu falsafah dan disiplin kemanusiaan yang lain - adalah ibarat binatang di dalam sangkar universiti. Dahulunya mungkin ia liar dan bertenaga berlari di tengah kehidupan. Tetapi mana-mana binatang apabila ia sudah dijinakkan, akan menjadi kaku dan kekok, apabila ia diminta menimbang bola di atas pentas.
 
      

Ke Ternate

$
0
0




Novel Gerson Poyk Sang Guru mempunyai pembukaan yang membuat kita rasa seperti ingin segera tinggalkan rumah dan pergi bercuti: "Aku bangun bersama matahari pagi di atas kapal yang merapat pelan-pelan ke pelabuhan Ternate." 

Saya sering membayangkan pulau sebagai novel dalam sebuah novel. Bagaikan imaginasi manusia yang dicampak ke tengah laut dan tumbuh menjadi dunia asing. Sejarah novel Inggeris (yang sering dikelirukan dengan sejarah novel dunia) bermula dengan sebuah novel pulau iaitu Robinson Crusoe karya Daniel Defoe. Di Amerika novel besarnya, walaupun bukan novel pulau, juga adalah cerita pengembaraan di laut karya Herman Melville berjudul Moby Dick. Ada semacam keperluan dalam diri setiap manusia untuk meninggalkan dunia dia dilahirkan dan pergi ke dunia lain untuk mencari jalan kembali ke dunia dia telah tinggalkan tadi. Pengarang Amerika sering mencipta mitos Amerika di luar untuk membolehkan Amerika melihat dirinya bahagian daripada mitos dan sejarah manusia. Selain Melville ada Hemingway dengan orang tua bernama Santiago di Cuba dan ada Henry James dengan gadis kosmopolitan bernama Isabel Archer di England. Selepas Hemingway, Amerika tidak lagi melihat dirinya ke luar. Semua mitos Amerika dibangunkan sama ada di kota besar New York atau di kota-kota kecil dengan segala konflik keluarga golongan kelas menengah yang berterusan dan tidak berkesudahan.

Sang Guru muncul pada tahun 1973, dan seperti pulau Ternate yang terletak jauh di Maluku Utara, ia terpisah dan merupakan dunianya tersendiri dalam sejarah novel Indonesia. Barangkali sudah dilupakan dan tidak terasa penting oleh para pengkritik kerana, ya, ini novel yang sangat sederhana. Sang Guru bukan sebuah mitos. Pulau Ternate bukan pulau Buru (apatah lagi pulau Belitung). Gerson Poyk pun bukan sosok besar (atau "gedek" bak kata orang Indonesia) seperti Pramoedya atau Mochtar Lubis dengan sejarah politik yang berat di bahu mereka. Ternate menjadi destinasi liburan dan saya membaca Sang Guru pun sebagai liburan daripada novel-novel Indonesia yang belum lelah mendukung tema sejarah zaman Belanda, PKI, dan Orde Baru.  

Pencerita novel ini adalah seorang guru dari Surabaya bernama Ben yang datang ke Ternate untuk mengajar SMP. Orangnya beragama Kristian totok, lurus, amanah, dan berbakti pada orang tua, terutama sekali ibunya yang turut ikut berhijrah bersamanya. Kepolosan Ben sedikit sebanyak adalah kepolosan kita sebagai pembaca kerana Ternate (dan novel ini) adalah dunia baru buat kita. Disebabkan rumah untuk guru belum ada, Ben dan ibunya terpaksa tinggal di dalam gudang sekolah. Minat Gerson dalam novel ini bukan tertumpu kepada kehidupan Ben di sekolah (walaupun judulnya Sang Guru) tetapi lebih kepada kehidupan Ben sebagai orang asing di Ternate dan hubungan cintanya dengan guru SKP dari Menado bernama Sofie.

Menurut saya sebuah novel pulau harus menjadikan pulau itu bahagian daripada cerita, dan bukan sekadar latar atau pentas untuk watak-watak berjalan. Gerson di bab-bab awal novel ini kelihatan tidak ada masalah untuk membenarkan Ben berjalan, berenang, makan buah-buahan, melihat laut dan benteng, serta bergaul dengan masyarakat tempatan. Di peringkat ini Ternate yang menjadi pencerita kepada Ben dan bukan sebaliknya. Atau dalam kata lain Ben sebagai watak (dan Gerson sebagai novelis) belum ada kesedaran yang dia adalah watak yang sedang bercerita. Kesedaran Ben akan mempengaruhi kesedaran kita sebagai pembaca. Apabila Ben lupa dia sedang berada di dalam sebuah cerita, kita juga akan lupa kita sedang berada di dalam sebuah cerita. Apabila Ben menjadi dramatik, kita pun akan menjadi dramatik. Justeru momen Ben lupa dia adalah seorang watak adalah momen  yang paling saya ingat dalam novel ini kerana di saat itu Ternate bangkit dan hadir sebagai metafora yang tersendiri:

"Aku lebih suka berenang di laut, di antara aneka warna karang. Makin lama nafasku makin terlatih untuk berlama-lama menyelam ke dalam laut untuk menonton keindahan warna dan rahasia laut yang tidak kalah indahnya dengan tubuh gadis-gadis yang pernah kupeluk di pesta-pesta dansa di bulan-bulan pertama.

Di samping laut yang terbentang jauh ke kaki langit, aku tertarik pada gunung Akemalako yang puncaknya sering disapu gemawan. Sekali waktu, aku, Idris, dan Arfah mendaki gunung itu. Alangkah luasnya, alangkah dinginnya, alangkah indahnya alam yang luas dan dingin itu. Dan di malam hari, ketika kami berbaring di bawah tenda, maka dingin dan sunyi malam menjadi suatu keindahan yang tidak bisa dijelaskan. Mendaki dan menuruni gunung Akemalako, menghirup udara bersih yang datang dari laut, memetik sayur-sayur yang segar, buah-buah yang tergantung di pepohonan, mengumpulkan kayu bakar dan memanggang ayam lalu dimakan dengan nasi, adalah semua kenangan yang tak dapat kulupakan selama jantung masih limpah dengan denyutan."  

Momen keberadaan yang indah seperti ini tidak bertahan lama. Separuh kedua novel lebih tertumpu kepada konflik ketenteraan dan hubungan cinta antara Ben dan Sofie. Ternate bagai dilupakan dan Ben kembali sedar dia adalah watak yang harus bercerita. Justeru, kita pun tersedar, kita pun dibangkitkan, dan angan-angan kita tentang Ternate sebentar tadi digantikan dengan realiti banal bahawa titik-titik hitam di depan mata kita  bukan batu-batu yang dipeluk oleh laut, tetapi hanya kata-kata di halaman sebuah novel.

 

Tidak Ada Kata, Hanya Imej & Tidak Ada Fakta, Hanya Kata

$
0
0


Saya masih menggunakan blog kerana saya masih membaca dan saya masih membaca kerana saya masih lupa buku-buku yang saya telah baca. Tidak dapat nak dielakkan atau dikawal. Kepala saya adalah lambakkan buku dan apabila diselak setiap halaman saya hanya menemui halaman kosong dari mula hingga ke akhir buku. Jumlah buku yang ada di dunia sekarang (klasik dan kontemporari) mengatasi rak-rak ingatan seorang pembaca.

Minggu lepas saya selesai membaca novel Ridhwan Saidi Brazil dan novel Edouard Leve Autoportrait. Tetapi di atas meja masih ada banyak novel yang belum selesai dibaca (malah ada yang belum selesai diulang baca). Semakin banyak kita membaca semakin kita mendekati sempadan kepada ruang pembacaan kita. Tetapi semakin sempadan itu menghimpit dan menekan minda kita semakin ruang imaginasi kita mengembang dan membebaskan ingatan-ingatan lama daripada kurungan tabiat dan prejudis. Sebab itu saya tidak percaya kepada fakta kerana fakta adalah kebenaran yang minda kita cuba letak pada sesuatu objek alam. Kita kata meja adalah meja atau kucing adalah kucing atau awan adalah awan. Kita tidak mencipta kata-kata ini, kita hanya meminjam kata-kata yang sudah dicipta dan digunakan. Justeru kita memegangnya sebagai fakta kerana fakta adalah kebenaran umum. Tetapi kenapa meja mesti meja dan kucing mesti kucing? Di tangan seorang penyair kucing boleh menjadi meja dan meja boleh menjadi kucing. Kata-kata hanya bayang hitam yang membungkus objek alam. Bila-bila masa bayang hitam itu boleh bertukar bentuk apabila sifat asalnya hilang dalam proses terjemahan.

Membaca Edouard Leve adalah seperti melihat geografi kepada wilayah ingatan kita. Selalunya fiksyen membenam kita ke dalam imaginasi seorang pengarang dan dari situ kita menemui, bak kata Kafka, kunci kepada pintu imaginasi kita sendiri. Jarang sekali ada fiksyen yang boleh memberikan kita mantel Superman dan menerbangkan kita ke atas supaya kita boleh memandang wilayah ingatan kita dengan lebih luas dan objektif. Autoportrait memang menepati falsafah pemikiran pengarang Perancis iaitu minda yang membaca mindanya sendiri. Tetapi berbeza dengan Montagine, Descartes, dan Valery, Leve tidak berminat dengan pembacaan secara mikro dan meditatif. Maka ia bukan soal "Apa aku fikir, maka itulah aku," tetapi lebih kepada "Apa sebenarnya aku fikir, sebelum fikiran aku menjadi aku." Jawapan buat Leve adalah lambakkan potret diri:  

"I can take seafood or leave it. Everything interests me a priori, but not a posteriori. I do not think the dead are malevolent, since they are old people squared, and the old are less malevolent than the non-old. Virtuosity also bores me when it comes to roads: the highway is perfect and perfectly boring. If, driving fast, I don't use windshields wiper, the size of raindrops shrinks by evaporation. I could found an imprint for perversely themed guidebooks on the following subjects: McMansions, dangerous traffic lights, so-called museums, places where there's nothing much to see, places where an archbishop may have slept. Driving alone over a bridge mounted with sky-blue rails I cried out with pointless joy and shouted nonsensical words. Listening to cheerful music is like spending time with people not like me."

Sukar nak memanggil mana-mana daripada karya Leve, sama ada Works atau Autoportrait, sebagai sebuah novel. Knausgaard juga menyandar pada elemen autobiografi, tetapi sekurang-kurangnya novel Knausgaard masih ada jalur naratif yang kita boleh ikut. Dengan Leve, kita tidak menemui sebuah cerita, kita menemui gumpalan cerita, atau kepingan cerita daripada cermin potret yang sudah dipecahkan. Novel menjadi fragmen novel. Ingatan menjadi fragmen ingatan. Hanya penggunaan kata ganti diri "aku" yang kekal konsisten hampir di setiap permulaan ayat. Aku yang bercakap ini bukan gema yang kita dengar di dinding kata-kata. Aku yang bercakap ini sedang berdiri di luar kata-kata.  

Justeru saya tidak melihat Autoportrait sebagai sebuah novel, tetapi saya melihatnya sebagai bingkai kepada sebuah novel. Dan apakah novel di dalam bingkai itu? Novel itu adalah Edourd Leve sendiri: sebuah imej potrait yang lahir daripada gumpalan kata-kata.



 

Berjalan Ke Belakang Bersama Kawan

$
0
0

Saya jarang membaca kembali tulisan-tulisan  lama di blog ini. Seperti masuk ke dalam stor atau bilik di bawah tangga, saya takut kalau di bawah mana-mana tulisan lama itu ada hantu atau tulang manusia yang berserakan (antara dosa membuat kritikan terhadap karya orang lain). Malam ini berbeza. Hujan baru sahaja berhenti dan jalan masih basah. Cuaca pun terlalu sejuk untuk saya tidur. Nak sambung membaca Tanpinar atau Roberto Arlt? Esok sahajalah (agak melelahkan melayan imaginasi dan naratif penulis lama, walaupun beza hanya satu abad). Maka saya membuka blog ini dan mula berjalan berundur ke dalam ingatan-ingatan yang sudah lama tidak dikunjungi. 

Anehnya saya tidak menemui diri saya, tetapi kawan-kawan. 

Saya terjumpa reaksi Hafiz Jelir kepada catatan saya tentang buku Orham Pamuk Other Colors. Marah betul Hafiz masa itu dan agak lucu bagaimana saya dan Hafiz sekarang boleh dikira kawan (rakan seperjuangan?) berbanding musuh. Hafiz ada tanya beberapa soalan dan satu pun saya tidak jawab. Lebih baik begitu. Kadang-kadang kritikan tidak harus dibalas dengan kritikan. Api tidak harus dibalas dengan api (walaupun memang seronok membakar tulisan orang). Ada waktunya kritikan harus dibalas dengan persahabatan. 

Rasanya kalau reaksi Hafiz itu muncul beberapa tahun lebih awal, saya yakin saya akan membalas dengan kritikan yang keras dan emosi. Tetapi ternyata berlaku sebaliknya. Hafiz memberi reaksi ketika kepercayaan saya kepada kritikan sebagai senjata polemik sudah pudar. 

Hidup ini singkat dan dunia sentiasa mengecil. Kenapa kita nak tambahkan lagi api yang membakar hutan?

Pernah ada suatu masa saya sering menulis untuk Roslan Jomel. Ia bukan soal inspirasi, tetapi lebih kepada rasa hormat pada seorang abang, dan rasa terima kasih saya padanya kerana menjadi teman perbualan sastera di Restoran Bilal ketika kegilaan saya pada Murakami dan Carver memerlukan seorang kawan untuk berkongsi cerita. Umur dan pengalaman menulis membezakan saya dengannya. Roslan sudah nama besar ketika saya masih merangkak-rangkak nak menulis dan menerbitkan cerpen pertama. Sekarang lagilah. Dia bukan sahaja antara cerpenis terbaik generasinya, tetapi juga seorang selebriti Instagram, dan rambutnya pun semakin panjang seperti bintang rock metal. Harapa-harap selera Roslan pada teh tarik masih sama walau setinggi mana pun dia melompat dan menjeritkan suara seraknya. 

Antara tulisan saya buat untuk Roslan adalah ketika dia dan Ridhwan Saidi saling bercubit-cubitan (atau bertumbuk sebenarnya?) mengenai novel Amerika. Ternyata Roslan sangat tidak suka novel itu dan ternyata Ridhwan sangat tidak suka pada ketidak-sukaan Roslan itu. Saya teringat pada polemik yang pernah berlaku antara Rick Moody dan Dale Peck di Amerika. Dale dalam satu tulisan telah memanggil Rick sebagai "penulis paling teruk generasinya." Permusuhan antara Dale dan Rick diselesaikan dengan cara paling praktikal dan ideal apabila adanya dua orang penulis bercakaran: campak pie ke muka. 

     
Pertemuan saya dengan Eka Kurniawan di Jakarta tahun lepas mencetuskan tulisan tentang pencurian kata-kata dan Roberto Bolano. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia selalu membingungkan saya. Malaysia membaca, dan sentiasa membaca, apa-apa yang Indonesia lahirkan. Dan kadang-kadang Malaysia terlebih membaca Indonesia sehingga Malaysia malu menjadi dirinya. Sementara Indonesia... pernahkah Indonesia membaca Malaysia? Mujur kejanggalan ini tidak berlaku antara saya dengan Eka. Dia adalah peminat cerpen Keris Mas dan ketika datang ke Malaysia buku yang dicarinya adalah Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis. Rasanya hanya saya dan Eka yang masih aktif menggunakan blog. Kawan-kawan lain sudah beralih ke dunia media sosial.

Tulisan untuk Aidil Khalid pun banyak. Tetapi itu sudah terlalu jauh kalau nak berjalan ke belakang. Hanya kesedihan dan kekecewaan yang menghuni tebing di jalan itu. Dan saya belum cukup sentimental untuk mengenang kawan-kawan yang bukan lagi kawan.  

Terbaru saya mengenali dua orang penulis muda: Johan Radzi dan Syafiq Ghazali. Masing-masing berbakat besar dan merupakan pencerita yang semula jadi (malah bakat bercerita mereka jauh lebih hebat daripada saya). Mungkin suatu hari nanti saya akan berjalan sekali lagi ke belakang di blog ini dan saya tertanya-tanya: adakah dua orang anak muda ini akan masih kekal sebagai kawan atau menjadi musuh yang saya harus bersalaman dan menghadiahkan senyuman sepuluh sen untuk, kononnya, meraikan hidup mereka sebagai penulis dan sasterawan?
   
      

Sebelum Istanbul, Selepas Istanbul

$
0
0
 
 
Istanbul mencetuskan saya untuk membaca kembali Orhan Pamuk kerana sudah empat tahun saya tidak menyentuh mana-mana daripada bukunya. Saya tidak pernah habis membaca Snow dan TheBlack Book. Membaca Orhan, sebelum ini, terlalu banyak mengingatkan saya pada Dostoyevsky sehingga imaginasi saya tidak boleh nak membezakan antara St Petersburg dan Istanbul. Kali ini saya melihat, merasai, dan berjalan sendiri di kota Istanbul, dan berpeluang tinggal di Çukurcuma, berhampiran Cihangir, iaitu kawasan Orhan membesar bersama keluarganya. Mengenali tempat kelahiran seorang novelis kota, seperti Orhan, adalah ibarat menyelak halaman-halaman sebuah buku.
 
Istanbul menjadi pencerita kepada imaginasi dan kehidupan Orhan Pamuk.
 
Sedikit perkongsian tentang Alor Setar. Memanglah, kalau nak dibandingkan dengan Istanbul, Alor Setar hanya debu di ruang marginal selembar peta. Tetapi saya sangat faham ikatan jiwa yang wujud antara Orhan dan Istanbul. Di mana pun kita berhijrah, dan di mana pun kita tinggal, kita tidak pernah menjadi bahagian daripada tempat itu, kerana roh sebuah kota kelahiran sentiasa bernyawa dalam diri kita. Dan seperti Orhan, saya juga mempunyai hüzün, atau rasa melankolik pada Alor Setar. Bandar Alor Setar yang hidup dalam imaginasi saya adalah Alor Setar yang tidak lagi ada. Di Istanbul, sekurang-kurangnya, masih ada monumen, atau bangunan dari tamadun seratus tahun lalu, walaupun ia mencetuskan rasa murung kepada penduduk Istanbul generasi sekarang. Istanbul adalah museum sejarah, sementara Alor Setar adalah kubur sejarah. Penduduk Alor Setar bukan tidak peduli tentang sejarah, tetapi mereka tidak tahu apakah sejarah kota mereka. Satu-satunya sejarah yang kekal di Alor Setar adalah sejarah golongan istana. Sementara rakyat, atau sejarah Alor Setar itu sendiri, hanya menjadi tanah untuk dipijak dan dipacak tiang besi yang seterusnya.
 
 

Kereta Api Malam

$
0
0


Perjalanan dua belas jam boleh membuat mana-mana penumpang kereta api tertidur, tetapi saya memilih untuk berjaga dan berjalan di antara gerabak setiap kali saya menaiki Ekspres Senandung Langkawi ke utara. Saya hanya mula menggunakan kereta api untuk berulang antara Alor Setar dan Kuala Lumpur ketika zaman kuliah universiti. Saya mengelak, seboleh-bolehnya, daripada menaiki bas, mahupun memandu kereta. Disebabkan dari kecil sudah biasa mengikut keluarga saya ke Kuala Lumpur dengan kereta, saya mahu melihat dan merasai pengalaman berbeza apabila sudah bebas untuk membuat keputusan hidup sendiri.
 
Kalau ayah saya memandu kereta, selalunya akan mengambil masa lapan jam untuk sampai Kuala Lumpur melalui jalan lama. Gopeng, Ipoh, Tanjung Malim antara tempat kami akan berhenti untuk tidur sebentar di tepi jalan atau stesen minyak. Di zaman itu perasaan saya lebih kepada ingin sampai ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Pertama sebab tidak sabar nak pergi mencari mainan di The Mall atau Subang Parade esoknya. Selain itu saya juga ingin mengetahui permainan video Sega Megadrive terbaru di rumah abang sulung saya. Jadi sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, saya banyak tidur, selalunya di atas riba emak. Kalau saya jaga pun, ketika kereta kami berhenti di Gopeng, kerana di situ ada banyak kedai menjual limau bali dan keropok ikan sebesar kuali yang dibungkus dengan plastik merah jambu.
 
Apabila hendak ke Kuala Lumpur, emak pasti akan membawa bekalan buah epal dan termos berisi Nescafe panas. Saya paling suka waktu emak hendak mengupas epal, dia akan mengeluarkan sebilah pisau berwarna oren yang disimpan di dalam beg tangannya.
 
Pengalaman masa kecil ini tidak akan berulang kerana saya seorang sahaja yang menaiki kereta api setiap kali pulang atau meninggalkan Alor Setar. Justeru di usia ini saya memilih kereta api kerana saya degil dan enggan melepaskan memori lama bersama keluarga ketika ayah memandu kami ke Kuala Lumpur.
 
Orang yang menaiki kereta api antara bandar adalah orang yang ingin melengahkan waktu. Atau kita boleh juga kata seorang penumpang kereta api adalah manusia yang terjebak di masa lalu. Dia tidak boleh (atau tidak ingin) memandang jauh ke depan seperti orang Malaysia yang lain. Di luar tingkap pemandangan gelap. Dia hanya boleh nampak rumah-rumah kampung yang duduk berceretek di kaki hutan.

Apabila kereta api sudah masuk Perak, selalunya, jalan raya sudah lengang. Bangunan-bangunan kedai ditinggalkan oleh peniaga untuk ditemani oleh anjing dan tiang listrik. Di Malaysia bangunan moden tidak mempunyai sebarang nilai budaya. Ia menjadi sangat jelas di tengah malam apabila semua orang sudah pulang ke rumah. Kita melihat bangunan-bangunan ini dan timbul perasaan hampa. Kita tidak mengenal sejarahnya dan kita tidak tahu apakah fungsi seni binanya. Kita telah menebang pokok atau meruntuhkan lereng bukit atau membinasakan rumah kampung semata-mata untuk menyediakan ruang perniagaan. Tetapi adakah ia berbaloi dengan harga kita terpaksa bayar?

Sebagai seorang pembaca sastera, saya selalu mencari tulisan yang akan menggambarkan kehampaan ini apabila saya berada di dalam kereta api. Saya percaya bangsa kita adalah bangsa yang sentiasa ditekan kehampaan dari pelbagai segi akibat luka penjajahan dan luka pembagunan yang tidak terkawal. Malangnya, saya harus membuat pengakuan di sini, saya masih kecewa dengan tulisan kontemporari di negara kita. Malaysia yang saya temui dalam buku sastera kita sering kali tidak sama dengan Malaysia saya lihat di luar jendela kereta api dalam perjalanan ke utara. Malaysia dalam sastera kita masih ingin menjadi Malaysia di zaman sebelum kemerdekaan.

Mungkin sebenarnya ia bukan salah sastera pun. Mungkin kedegilan ini hanya penyakit dan tabiat biasa orang kita yang lebih selesa untuk memejamkan mata dan berdengkur ketika menaiki kereta api. Dia tidak mahu melihat keluar, dia tidak mahu melihat malam, kerana dia malu untuk melihat negaranya bersembunyi dalam gelap.
   

Mengintip Lubang Di Dinding

$
0
0
 
 
"Tuesday, August 22nd.
 
The way to rock oneself back into writing is this. First, gentle exercise in the air. Second the reading of good literature. It is a mistake to think that literature can be produced from the raw."
(Virginia Woolf)
 
 
Salah satu cara saya mengembalikan momentum menulis adalah membaca diari seorang penulis. Anehnya di rak saya belum ada diari penulis lelaki. Saya teringin membaca diari John Steinbeck atau Andre Gide. Malangnya buku mereka susah untuk dicari. Setakat ini saya hanya ulang membaca, tanpa bosan, diari Joyce Carol Oates, Susan Sontag, dan Virginia Woolf. Paling lama menemani saya adalah diari Virginia Woolf, dan ini pun bukan diari lengkapnya, hanya petikan yang disusun oleh suaminya Leonard.
 
Di Malaysia kita belum ada budaya menerbitkan diari seorang penulis. Kadang-kadang sahaja kita menemuinya. Buku Abdullah Hussain lebih kepada autobiografi dan Azizi Hj Abdullah hanya berkongsi proses kreatif. Shahnon Ahmad tidak ada diari. Mungkin dia ada, tetapi disembunyikan di bawah bantal atau katil. Rata-rata penulis kita masih malu untuk mendedahkan kehidupan peribadi mereka kepada dunia.
 
Apabila saya membaca, saya ingin pembacaan saya menjadi organik. Maksudnya saya tidak akan berhenti dengan sebuah buku kalau tulisan pengarang itu sangat memikat selera. Saya ingin tahu semuannya. Saya ingin tahu buku-buku lain pengarang itu tulis. Saya ingin tahu di mana dia tinggal, apa warna dinding rumahnya, kereta apa dia pandu, komik apa dia baca, filem apa dia tonton, berapa jam dia duduk di meja menulis, dan tuhan mana satu dia percaya.
 
Pembacaan adalah kebenaran yang diberikan kepada pembaca untuk mengintip. Ibarat lubang kecil yang sengaja ditinggalkan di dinding. Dan siapa yang tidak ghairah dan gementar apabila dia mengintip jiran di bilik sebelah?
 
Saya tidak mengintip semua penulis, tetapi boleh kata ramai juga yang menjadi mangsa kenakalan saya: Paul Auster, Haruki Murakami, Roberto Bolano, Henry James, Philip Roth, Karl Ove Knausgaard, Robert Walser dan sudah tentu Virginia Woolf. Mengintip kehidupan mereka memberikan saya semangat dan inspirasi. Kalau saya mengintip bilik Walser saya nampak sebuah bilik darjah dan seorang lelaki tua yang duduk di meja bersama pensil dan kertas seperti murid sekolah rendah. Kalau saya mengintip bilik Philip Roth saya nampak rumah kayu di tengah hutan dan sebuah katil dan lima orang Philip Roth berbadan bogel sedang tolong memberikan blow-job antara satu sama lain. Rasanya bilik Paul Auster paling sederhana: hanya ada meja, kerusi, dan mesin taip lama.  
 
Dulu saya hanya seorang pembaca. Sekarang saya juga seorang penulis dan mempunyai buku sendiri. Siapa agaknya, kalau ada, yang sedang mengintip saya dari dinding di sebelah sana?
 
 
Viewing all 259 articles
Browse latest View live