Quantcast
Channel: KRITIKUS SASTERA
Viewing all 260 articles
Browse latest View live

Novel Ketujuh: My Struggle (Some Rain Must Fall)

$
0
0



Kali pertama saya mengetahui nama Sainte-Beuve adalah melalui buku kritikan Henry James The Art of Criticism. Ada banyak esei bagus dalam buku ini, dan suara kritikan serta kebijaksanaan James paling menonjol apabila dia membincangkan pengarang yang dikaguminya, berbanding pengarang yang membuatnya gusar (atau tercabar, seperti kritikan negatifnya terhadap Middlemarch). Salah satu esei penting itu ialah tentang Sainte-Beuve. Menurut James, segala-galanya tentang hidup Sainte-Beuve mengalir melalui sastera:

 "His mind was never diverted or distracted from its natural exercise - that of looking in literature for illustrations of life, and of looking in life for aids to literature."  

James mengukirkan potret Sainte-Beuve dengan sangat cantik sehingga saya rasa saya mengenali kritikus ini dengan hanya membaca esei James. Akan tetapi kekaguman James tidak dikongsi oleh rakan senegara Sainte-Beuve iaitu Marcel Proust. Bagi Proust, masalah terbesar kritikan Sainte-Beuve adalah menggunakan biografi seorang pengarang sebagai cermin ke dalam sebuah karya. Pendirian ini sudah tentu tidak mengejutkan kita kerana Proust sendiri adalah novelis yang sangat menyandar pada memori dan sejarah hidupnya. Lagipun, siapa yang membaca In Search of Lost Time dan tidak rasa, sedikit sebanyak, bahawa warna-warna dalam novel ini dipetik daripada taman kehidupan Proust?  

Kalau Sainte-Beuve masih hidup, barangkali dia akan menjadi salah seorang peminat tegar Karl Ove Knausgaard. My Struggle ialah novel yang tidak malu untuk dibaca sebagai autobiografi pengarangnya. Some Rain Must Fall ialah buku kelima dan mengambil bahagian hidup Knausgaard ketika dia baru mula menulis dan bekerja sambilan di hospital. Selalunya apabila kita sudah membaca sejumlah buku seorang pengarang, kita akan mula menemui corak penulisan dan permainan naratif yang akan dikitar dan digunakan semula berkali-kali. My Struggle memang sangat autobiografi, tetapi ia masih sebuah novel, bermaksud Knausgaard harus memilih rutin dan tindakan tertentu untuk ditunjukkan, sementara menyembunyikan bahagian lain. Knausgaard, misalnya, tidak pandai melakukan perincian latar sebuah bangunan atau suasana di dalam bilik. Kita jarang melihat imej; kita hanya melalui pengalaman yang diceritakannya. Ia ibarat menjadi penumpang di dalam sebuah kereta di mana kita hanya melintas sesuatu tempat sambil mendengar anekdot dan gosip daripada pemandu. Knausgaard tidak akan memberhentikan kereta, kerana dia terlalu asyik bercakap dengan dirinya sehingga dia terlupa kita berada di sebelah.

Antara benda-benda yang kita akan selalu dengar Knausgaard berceloteh: perempuan-perempuan dia ingin main tetapi gagal; betapa teruknya dia bermain drum; betapa hodoh wajahnya; parti demi parti; arak demi arak; menangis.... oh, saya belum jumpa satu novelnya yang dia tidak menangis; kekaguman Knausgaard pada karya Tor Ulven; keinginan Knausgaard untuk menulis seperti Thomas Bernhard (Extinction ialah buku Bernhard kegemarannya); dan rutin... malah kita rumuskan My Struggle sebagai konflik seorang lelaki pertengahan umur yang ingin menempuh kebosanan rutin hidupnya.

Tetapi saya harus membuat pengakuan di sini: setelah melalui kelima-lima novelnya (masih ada satu tinggal!), saya masih belum bosan dan saya masih bersedia untuk melihat Knausgaard mengulangi rutin hariannya. Ketika buku pertama, saya baru belajar nak mengenali lelaki emosional dari Norway ini, nama-nama saudara dan sahabatnya pun belum saya hafal. Sekarang perasaan saya dengan buku Knausgaard ialah ibarat perhubungan dengan seorang sahabat yang saya jarang jumpa. Saya sudah boleh menduga tindakan dan reaksinya dalam sesuatu situasi. Dalam kata mudah: saya sudah mengenalinya. Saya yakin hampir kesemua pembaca My Struggle merasai hubungan sama. Tetapi kritikan Proust terhadap Sainte-Beuve sentiasa akan mengingatkan saya bahawa sedekat mana pun biografi dan fiksyen cuba dirapatkan, ia akan sentiasa menjadi renggang.    



Novel Keenam: Perdido Street Station

$
0
0



"New Crobuzon was a city unconvinced by gravity.

Aerostats oozed from cloud to cloud above it like slugs on cabbages. Militia-pods streaked through the heart of the city to its outlands, the cables that held them twanging and vibrating like guitar strings hundreds of feet in the air. Wyrmen clawed their above the city leaving trails of defecation and profanity. Pigeons shared the air with jackdaws and hawks and sparrows and escaped parakeets. Flying ants and wasps, bees and bluebottles, butterflies and mosquitoes fought airborne war against a thousand predators, aspises and dheri that snapped at them on the wing. Golems thrown together by drunken students beat mindlessly through the sky on clumsy wings made of leather or paper or fruit-rind, falling apart as they flew. Even the trains that moved innumerable women and men and commodities around New Crobuzon's great carcass fought to stay above the houses, as if they were afraid of the putrefaction of architecture."


Perdido Street Station karangan China Mieville bukan novel megalopolis pertama yang pernah ditulis (sebelumnya sudah ada novel klasik M. J. Harrison berjudul Viriconium), tetapi kehadiran novel ini sangat penting dan sangat berpengaruh dalam mengembangkan tradisi penulisan cerekawala. Sebenarnya penulisan cerekawala, dari awal lagi, lebih intim dengan cerpen berbanding novel. Edgar Allan Poe, H. P. Lovecraft, Clark Ashton Smith, Algernon Blackwood, Robert Aickman boleh dikatakan menulis cerpen sahaja sepanjang karier mereka. Poe sendiri menegaskan falsafah "unity of effect" di mana semua unsur dalam sebuah cerita harus bersatu memberikan pengalaman emosi yang total. Apabila kita sampai kepada Lovecraft, cerita harus membangunkan mood atau suasana ketakutan berbanding membina plot yang kemas. Tidak ada langsung minat pada rekaan bentuk novel di kalangan pengarang-pengarang lama ini. 

Salah satu cerpen Lovecraft kegemaran saya adalah "The Shadow over Innsmouth". Ceritanya memang biasa sahaja, tetapi saya sangat tertarik bagaimana Lovecraft melukiskan kota ini dengan bau hanyir ikannya dan warna bangunannya yang suram dan kotor. Pengalaman sama saya temui apabila saya membaca Perdido Street Station, malah ia berkali-kali ganda lebih besar dan detail. Kita rasa kita boleh hidup dan berjalan-jalan di New Crobuzon sambil berselisih bahu dengan pelbagai makhluk aneh yang menghuni lorong-lorong dan ruang udaranya. Perbezaan paling ketara antara tulisan Mieville dengan generasi terawal cerekawala ialah gabungan genre fantasi, fiksyen sains, horor, dan satira politik ke dalam satu cerita. Ia bukan sahaja mencabar sebarang tanggapan awal kita mungkin ada terhadap Perdido Street Station, tetapi ia juga memberikan suatu pengalaman pembacaan yang baru dan mengujakan. 


   

Novel Kelima: Raden Mandasia Si Pencuri Daging Sapi

$
0
0



Jika ada satu benda saya belajar daripada pendapat penulis tentang penulisan ialah pendapat mereka selalu tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Penulis, sama ada mereka sedar atau tidak, mengkritik karya orang lain untuk mempromosikan karya mereka. Jarang (dan hampir mustahil) kita akan temui penulis yang mampu mencipta karya dan pada masa mengkritik karya orang lain tanpa menyandar pada rekaan dan roh dalam karyanya sendiri. Ya, Henry James, Virginia Woolf, Martin Amis memang cekap membuat kritikan dan ulasan buku, tetapi mereka pun melakukan dosa apabila mengkritik buku yang mereka tidak suka (Amis, misalnya, merasakan tulisan J. M. Coetzee tidak berseni dan membosankan). Di negara kita, Shahnon Ahmad merupakan salah seorang novelis yang rajin membuat kritikan dan ulasan buku, malah antara sumbangan penting Shahnon ialah tolong menjelaskan bentuk dan gaya kepengarangan penyair-penyair kabur. 

Saya sengaja membuat pengenalan panjang ini untuk mengutip salah satu pendapat Shahnon yang saya selalu ingat iaitu perbezaan antara novel yang mementingkan aksi dan novel yang mementingkan psikologi dalaman watak. Berdasarkan sejumlah besar karya Shahnon Ahmad, kita tahu psikologi dalaman adalah segala-galanya dalam dunia Shahnon. Ada waktunya psikologi itu berbaur cantik dengan psikologi alam (Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis), dan ada waktunya psikologi itu menjadi terlalu gila dan melelahkan (Sutan Baginda, Patriarch, Perdana). Tidak ada satu teknik paling sempurna kerana setiap teknik hanya sempurna buat pengarang yang tahu bagaimana untuk menggunakannya. Shahnon sering mengkritik novel berbentuk aksi kerana ini ialah bentuk penulisan yang sangat asing baginya, malah saya tidak bersedia untuk membayangkan kalau Shahnon Ahmad tiba-tiba menulis sebuah novel misteri atau pengembaraan.

Maka, akhirnya, kita sampai kepada novel fokus saya iaitu Raden Mandasia Si Pencuri Daging Sapi karangan Yusi Avianto Pareanom. Apabila novel ini memenangi Kusala Sastra Khatulistiwa tahun lalu, saya sangat gembira, kerana ia bukan sahaja mengejutkan saya, tetapi ia juga antara novel pengembaraan paling memuaskan saya pernah baca. Kalau ia bukan novel fantasi/pendekar, dan ia ditulis sebagai novel sejarah, misalnya, saya tetap rasa ia novel pengembaraan yang bagus. Secara ringkas (sambil membayangkan suara rungutan Shahnon Ahmad): ini ialah cerita balas dendam yang padat dengan aksi dari halaman ke halaman. Betul, sesiapa pun boleh merekakan cerita aksi, tetapi tidak ramai rasanya yang boleh mengolah dan membina suasana ketegangan dan suspens seperti Yusi Avianto Pareanom. Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja pembukaan kepada novel ini:


"Ambillah pisau dan daging paha sapi atau paha kambing yang tergantung di dapurmu. Tusukkan pisau ke daging. Bagaimana bunyinya? Jika tak ada daging, keluarlah ke kebun, cari pohon pisang, tikam batangnya. Jika kau tak juga mendapati pohon itu, bahkan pisau pun tak punya, kau kehilangan kesempatan mendengarkan salah satu bunyi paling empuk di telinga: jleb!

Pikiran ganjil tentang bunyi seperti itu semestinya tak mampir jika sebuah panah menancap di belakang paha kananmu. Aku pernah kena sabetan pedang, golok, belati, dan bahkan cakar binatang buas tetapi panah belum sehingga perkara bunyi itu yang justeru pertama terlintas. Baru setelah itu aku merasakan panas dan perih menjalar. 

Aku berusaha terus berlari tetapi kakiku benar-benar kesakitan dan kepalaku berdenyut cepat. Darah menetes-netes di sepanjang rerumputan yang kulalui. Aku menoleh ke belakang, sepertinya ada belasan orang yang mengejar - aku tak terlalu yakin berapa tepatnya, bulan sabit tak banyak menyiramkan cahaya. Sebagian besar dari mereka bertombak, sementara seseorang tampaknya terus saja menembakkan anak panah."


Deskripsi ini sangat jelas dan sangat mendebar-debarkan. Saya sudah boleh membayangkan ia sebagai pembukaan kepada sebuah filem arahan Guy Ritchie. Mula-mula skrin hitam, hanya monolog pencerita kedengaran, dan imej pertama muncul ialah dapur rumah kampung di Indonesia, seorang ibu sedang memotong daging, seorang ayah sedang menebas pokok pisang di belakang, dan kamera tiba-tiba membuat potongan mengejut ke suasana kejar-mengejar antara hero dan musuh-musuhnya. Sudut pandang kamera barangkali terletak di bawah dagu hero atau rapat dengan muka ibarat kesan daripada lensa mata ikan. Kita selalu merungut kenapa novel sastera Malaysia tidak diadaptasikan ke filem. Tulisan yang bagus memang kita ada, tetapi cuba kita fikir betul-betul, siapa nak adaptasikan novel yang sebahagian besar naratifnya adalah monolog dan keluhan tidak berkesudahan? Yusof Haslam pun akan terkencing, apatah lagi Guy Ritchie. 


           

Novel Keempat: Sudden Death

$
0
0



Sesiapa yang mengikut blog ini pasti tahu bahawa saya sering melontarkan kritikan negatif terhadap novel sejarah, terutama sekali novel sejarah di Malaysia. Saya bukannya alergik kepada sejarah, tetapi saya selalu ada masalah dengan keterbatasan tarikh dan fakta sejarah dan bagaimana keterbatasan itu turut mengikat dan merantai pemikiran kebanyakan orang (termasuk pengkarya seni) seolah-olah kalau kita bukan dalam  kumpulan A, kita pasti dalam kumpulan B. Maksudnya: kalau kita bukan pemenang dalam sesuatu peristiwa bersejarah, kita adalah orang yang kalah.   

Namun, menariknya, apabila kita membaca novel Alvaro Enrigue berjudul Sudden Death, kita melihat permainan sejarah diterjemahkan menjadi permainan sebuah novel. Tidak dinafikan lagi ini memang sebuah novel sejarah, tetapi ia bukan sebarangan novel sejarah; ia adalah novel sejarah dalam bentuk permainan tenis. Kalau kita boleh membayangkan sebuah stadium tertutup dengan beberapa gelanggang tenis di dalamnya, maka kita boleh membayangkan struktur novel yang inovatif ini. Terlebih dahulu mari kita melihat permainan utama yang diaturkan oleh pengarang untuk pembacanya iaitu perlawanan tenis antara dua tokoh sejarah: Francisco de Quevedo dan Caravaggio. Pemain pertama ialah seorang penyair Sepanyol dan pemain kedua ialah seorang pelukis Itali. Quevedo sedang lari daripada tuduhan jenayah bersama penaungnya iaitu seorang bangsawan bernama Pedro Tellez Giron. Sementara Caravaggio sedang berada di zaman kemuncaknya dan dia mempunyai tiga orang penaung: Cardinal del Monte, Vincenzo Giustiniani, dan Federico Borromeo. Tenang, ada banyak lagi nama lain dalam novel ini sehingga ada waktunya kita tidak tahu kita sedang membaca sebuah fiksyen atau menghafal nama dan fakta daripada buku teks sejarah sekolah. Alvaro Enrigue membahagikan naratif utamanya kepada tiga set dengan sejumlah pusingan permainan bagi setiap satu. Bahagian ini paling mudah untuk dibaca kerana ia padat dengan aksi, peluh, desah, judi, maki-hamun, dan perulangan kata Tenez! Tetapi bahagian ini juga yang paling membosankan melainkan anda peminat tegar tenis dan anda bersedia mengorbankan waktu menonton Novak Djokovic di ESPN untuk membaca deskripsi panjang seperti ini:


"The poet returned to his side of the court. Tenez! He served a slow ball with no backspin that floated like a balloon onto the far corner of the roof. He watched it go up and noted, from the moment it began its descent, that he'd put it just where he wanted it. It would bounce oddly, drop in an awkward spot, and the Italian would have to lunge for it, hopefully with his backhand."


Itu baru tenis. Bayangkan kalau Faisal Tehrani menulis novel tentang perlawanan sepak raga antara Hang Tuah dan Alfonso de Albuquerque. Ya Allah!  

Tetapi Sudden Death juga mempunyai iklan dan episod selingan di antara setiap pusingan perlawanan. Antaranya ialah rambut Anne Boleyn yang dijadikan bahan membuat bola tenis; jenis permainan bola orang Romawi; definisi raket tenis; ukiran di pisau milik Caravaggio; dan bab demi bab mengenai penjajahan Hernan Cortes di Mexico. Bayangkan anda masuk ke kelas sejarah dan guru anda mengajarnya secara melompat-lompat sehingga apabila loceng berbunyi, tidak ada satu nama dan tarikh anda boleh ingat. Serius, saya terpaksa membaca Sudden Death lebih daripada empat kali untuk ingat kesemua wataknya.

Tetapi saya bersedia untuk memaafkan semua itu kerana sistem novel ini sangat unik dan tepat dalam memberikan kritikan terhadap sejarah. Siapakah yang mencipta sejarah? Apakah faktor yang mencetuskannya? Bagaimanakah ia berlaku? Berdasarkan novel ini, nampaknya, punca Quevedo berlawan tenis dengan Caravaggio ialah mereka minum arak terlalu banyak pada malam sebelum itu. Dan punca tamadun Aztec boleh jatuh ke tangan Sepanyol ialah kegagalan Cortes untuk mendapatkan penterjemah tempatan yang bagus. Ya, tenez!
   

Membuka Kes: Paul Auster

$
0
0

Senarai novel terbaik 2016 belum habis dan saya sudah mula menulis tentang subjek lain. Tetapi novel terbaru Paul Auster 4321 muncul begitu awal di kedai buku, saya terpaksa membeli, lalu ia membangkitkan keinginan untuk menarik turun semua bukunya yang ada di atas rak perpustakaan rumah saya. Masih ada beberapa novelnya saya belum beli, dan saya akan pastikan tahun ini koleksi Auster menjadi lengkap. Kalau nak dibandingkan dengan pengarang Amerika lain, memang, Auster akan kelihatan lemah, dan ada waktunya, mengecewakan. Dia tidak boleh mencipta imej puitis seperti John Updike dan James Salter; dia tidak pandai bermain retorik seperti Philip Roth; dan dia tidak mendukung gagasan besar seperti Don DeLillo dan Saul Bellow. Namun antara semua pengarang Amerika, saya rasa Auster ialah yang paling misteri dan sukar dijelaskan. Membaca novelnya adalah seperti mencari jawapan kepada suatu kes pembunuhan. Sepanjang tahun ini, saya akan menyiasat satu demi satu karya yang pernah ditulis oleh Auster. Saya tidak berminat nak mencari pembunuh atau memahami motif pembunuhan tersebut. Saya cuma nak tahu bagaimana Auster merancang, menyusun, dan melaksanakan pembunuhan ke atas imaginasi pembacanya.   


Novel Ketiga: The Light And The Dark

$
0
0



Martin Scorsese dalam sebuah video wawancara menceritakan bagaimana kepekaan visual bermula dengan memahami bahasa sinema. Bagi seorang pengarah filem, sudah tentu, manipulasi dan pembingkaian imej adalah segala-galanya dalam menterjemahkan sesuatu idea atau pengalaman kepada penonton. Akan tetapi apabila kita bercakap tentang novel, kita jarang berfikir tentang imej. Protagonis, plot, sudut pandang, suspens. Ini ialah benda-benda asas yang kita selalu dengar dalam bengkel atau baca dalam buku panduan penulisan. Walaupun semua benda ini sering digunakan oleh seorang novelis untuk membangunkan naratif, ia masih terlalu asas, dan belum cukup untuk menerangkan sendi-sendi dan kod DNA dalam sebuah novel.   



Antara unsur penting dalam sebuah filem atau lukisan adalah pencahayaan. Kalau saya sedang melihat lukisan pemandangan, misalnya, saya akan melihat bagaimana pelukis itu membaurkan cahaya, warna, dan geometri untuk menghasilkan kedalaman imej. Kita mahu imej itu membuka jalan kepada mata kita untuk bergerak dan berada dalam lukisan tersebut. Salah satu keterbatasan novel atau prosa adalah unsur visual ini kerana pengarang hanya mempunyai bahasa sebagai alat penceritaan. Tetapi apabila saya fikir tentang novel Pramoedya Ananta Toer dan Virginia Woolf saya akan fikir tentang imej dan pencahayaan. Perburuan ialah satu contoh novel yang sangat nokturnal kerana peristiwanya berlaku dalam satu malam. Selalunya apabila pengarang memendekkan waktu, pengarang itu sebenarnya memanjangkan lagi pengalaman yang ingin diceritakan. Sekarang bandingkan pulak novel ini dengan Mrs Dalloway karangan Virginia Woolf di mana siang lebih panjang daripada malam. Kalau kegelapan dalam novel Pramoedya membuat kita rasa terasing, maka cahaya dalam novel Woolf membuat kita terdedah dan lebih peka terhadap benda di sekeliling.  

Namun pencahayaan dalam novel datang bukan sahaja melalui kerangka naratif, tetapi juga melalui satu unsur prosa yang jarang dibicarakan secara kritikal iaitu perenggan. Antara novel terbaik saya pernah pilih untuk blog ini adalah Dept. Of Speculation karangan Jenny Offill. Ini ialah contoh novel yang tahu bagaimana menggunakan serpihan episod sebagai mekanisme penceritaan, malah saya rasa ia jauh lebih berkesan daripada novel Alvaro Enrigue Sudden Death. Di tangan Jenny Offill, memori dibahagikan mengikut perenggan dan setiap perenggan menjadi semacam piring-piring petri ingatan. 

"Memories are microscopic. Tiny particles that swarm together and apart. Little people, Edison called them. Entities. He had a theory about where they came from and that theory was outer space."

Angkasa lepas? Kita tidak perlu pergi sejauh itu untuk faham tentang memori.

Satu lagi contoh terbaik adalah The Light and the Dark tulisan seorang pengarang Rusia bernama Mikhail Shiskin. Judulnya sudah memberitahu kita tentang dua unsur penting novel ini iaitu cahaya dan kegelapan. Kedua-dua unsur ini secara bergilir keluar dan masuk ke dalam novel melalui dua arus penceritaan yang saling berhubung tetapi tidak pernah bertemu. Di sudut cahaya kita ada Sashka yang menulis surat dari rumah di Rusia, kemudian di sudut gelap kita ada Voldoya yang menulis surat dari medan perang di China. Kita tahu kedua-dua orang ini pernah membina memori bersama, namun anehnya apabila mereka menulis surat mereka seakan-akan bercakap dengan diri sendiri.

Semasa saya membaca novel ini timbul suatu persoalan, kenapa surat boleh menjadi bentuk penulisan novel yang disebut sebagai epistolari? Apa yang istimewa sangat tentang surat? Dan kalau ia sangat istimewa kenapa kita sudah berhenti menulis surat? Barangkali salah satu keistimewaan itu adalah rahsia. Seperti membuka diari, surat membenarkan kita untuk mengintip ke dalam rahsia hidup seseorang. Justeru apabila ia diterjemahkan ke dalam bentuk prosa kita merasa lebih intim dengan naratif teks seolah-olah teks itu memang pernah ditulis oleh seseorang. Tetapi adakah pembaca bersedia membaca apa-apa jenis surat? Saya kira surat tentang hutang tanah atau senarai barangan pasar tidak akan menjadi bahan menarik untuk sebuah  novel. Maka sebahagian besar novel epistolari mengisahkan percintaan antara dua orang watak seperti dalam The Light and the Dark.

Tetapi kalau surat adalah jambatan waktu serta emosi antara dua orang individu, apakah akan terjadi kalau bahasa sudah menjadi bisu? Barangkali ia sama sahaja seperti surat yang tidak ke sampai ke alamatnya. Penulisan harus mencipta alamat kepada seorang pengirim tanpa pengarang itu sendiri mengetahui apakah alamat tersebut. Kalau tidak ia akan jadi seperti surat yang ditulis dan disimpan di dalam laci meja. Itu gambaran saya dapat apabila membaca novel Shiskin di mana dua kutub kehidupan iaitu cahaya dan kegelapan telah terpisah akibat keruntuhan fungsi bahasa.  

Kemudian kita ada cara Shiskin menggunakan perenggan yang saya rasa adalah antara kekuatan terbesar novel ini. Dalam satu perenggan Shiskin akan membina imej, kemudian apabila dia bergerak ke perenggan seterusnya, imej itu berubah - atau memori itu berubah - seolah-olah imej Shiskin ialah butir cahaya yang tidak boleh duduk diam dan sentiasa melompat-lompat. Sebagai pembaca, apa yang kita patut buat dengan butir cahaya atau bayang kegelapan ini? Satu cara ialah mengambilnya dan simpan di dalam saku seluar untuk dibaca dan direnungkan di kemudian hari.


     

Mendewakan Gergasi

$
0
0


John Banville dalam eseinya berjudul "Survivors of Joyce" mengatakan bahawa ada dua jenis seniman: pertama, seniman yang kita boleh pelajari sesuatu daripada karyanya (dia bagi contoh Beethoven dan Henry James), kedua seniman yang tertutup dan akan sentiasa kekal misteri karya mereka (dia bagi contoh Mozart dan James Joyce). Argumen Banville berakar daripada prinsipnya tentang kesenian:

"To repeat: great art, I am convinced, does not 'reveal' itself to us, does not open outward to our needs; on the contrary, it is great precisely because it is closed against us."

Tertutup bagi Banville bukanlah bermaksud karya itu tidak boleh ditafsir, tetapi baginya karya agung sentiasa melangkaui kebolehan kita untuk mentafsir apatah lagi memahaminya. Contoh utama Banville adalah novel Ulysses karangan James Joyce. Sepuluh tahun lalu (ketika saya masih seorang pengikut tegar Harold Bloom) mungkin pemikiran sebegini akan mengagumkan saya kerana ia mewujudkan mitos gergasi dalam dunia kesusasteraan. Mula-mula apabila ia turun ke tengah gelanggang kita akan terpana mendengar ia mengaum dengan gema suara yang barangkali sudah berusia beratus tahun. Kemudian sayap sisiknya dikembangkan dan taringnya memancar kilauan mentari. Mata kita menjadi buta dengan kegemilangan tubuhnya. 

Tetapi sampai bila kita sanggup duduk di bangku penonton kalau setiap kali gergasi sama sahaja yang dibebaskan daripada sangkar? Entah-entah anjing laut di dalam akuarium atau monyet di dalam kereta badut sama seronok dengan persembahan epik gergasi tadi. Orang lama seperti Banville, Harold Bloom, dan Maurice Blanchot apabila mereka bercakap tentang karya sastera, mereka menggambarkan seolah-olah ia adalah objek kaku yang tidak bernyawa. Ya, menatap gereja atau tugu memang ada waktunya mengagumkan, tetapi ia terhenti di situ. Kalau boleh saya tidak mahu melihat sahaja, saya nak jadikan tugu itu pedang laser atau perisai untuk melawan naga berkepala tujuh.

Saya nak seni menjadi suatu permainan.

Di esei lain berjudul "The Personae of Summer" Banville kata dia sering ketawa apabila dia terdengar novelis bercakap tentang watak yang mengambil alih tugas pengarang untuk menentukan takdirnya. Banville merasakan novelis sebegitu mengambil fiksyen terlalu serius seolah-olah watak adalah manusia sebenar. Tetapi bagi saya Banville juga melakukan dosa sama. Dia mengambil sastera terlalu serius dengan meletakkan novel James Joyce ke tingkat keramat. Ulysses memang sebuah novel yang kompleks tetapi ia masih sebuah novel yang menggunakan mekanisme-mekanisme tertentu dalam tradisi penulisan novel. Sudah tentu, ada mekanisme yang Joyce patuhi dan ada mekanisme yang Joyce langgar terus untuk mencipta pengalaman naratif yang berbeza kepada pembacanya. Cuba kita bandingkan novel Ulysses dengan novel Marcel Proust In Search of Lost Time. Kalau nak cakap tentang tertutup, novel Proust pun bukan mudah untuk difahami oleh kebanyakan orang, malah jarang ada orang membacanya secara lengkap. Tetapi daripada buku pertama lagi, iaitu Swan's Way, Proust sudah mengajar kita terlalu banyak tentang memori, cinta, usia, agama, kepura-puraan masyarakat, keindahan alam dan hal-hal kecil di sekeliling kita. Sebuah novel agung seperti ini, termasuklah Ulysses, tidak akan pernah selesai dibaca, bukan kerana ia tertutup atau tidak boleh difahami, tetapi kerana ia terlalu kaya dengan keindahan dan pengajaran hidup. 

Sebesar mana pun sebuah novel, akhirnnya ia masih sebuah permainan fiksyen dengan peraturan-peraturan tertentu. Hanya kerana kita tidak faham semua peraturannya, itu tidak bermaksud kita tidak boleh terhibur dan meraih sedikit sebanyak pengajaran ia boleh berikan. 
          

Dua Minggu Di Melaka

$
0
0


Bukan tempoh yang singkat. Memilih untuk mengurungkan diri di dalam sebuah rumah semata-mata untuk menulis novel ialah seperti menutup pintu kepada suara-suara kehidupan yang datang berkunjung. Sebahagian daripada suara itu, secara tidak langsung, berkaitan juga dengan diri saya (masalah politik negara, naik turun harga petrol, kepulangan adik-beradik ke kampung); dan sebahagian lagi adalah suara-suara yang membutuhkan perhatian walaupun sekarang bukan waktunya untuk saya mendengar (kematian seorang penulis, serangan pengganas di Eropah, filem fiksyen sains terbaru di pawagam). Ada semacam ironi kepada kerja dan penyembunyian saya di rumah ini: saya menukangi kata-kata untuk mencipta dunia asing dan ganjil kepada pembaca, di samping itu saya membelakangkan diri kepada kehidupan sebenar.

Meja kerja saya terletak di ruang tamu. Saya berasa agak malu menyepahkan ruang ini dengan buku-buku dan kertas catatan saya kerana rumah itu memang sangat bersih dan lapang. Ia seolah-olah saya sedang menceroboh masuk ke ruang peribadi seseorang. Apabila Azrin Fauzi datang melawat saya di Melaka, dia tanya, adakah saya bekerja dalam persekitaran begini dan saya kata ya. Saya perlu melihat buku, saya perlu melihat kertas seperti seorang pelukis perlu melihat botol-botol warna di bawah kakinya. Tetapi Azrin kata dia tidak boleh menulis dalam persekitaran begitu. Dan saya faham maksudnya. Ada ketika persekitaran boleh mengganggu proses penulisan, justeru kenapa sesetengah pengarang seperti Auster dan Roth harus keluar dari rumah mereka. Tetapi masalah ini jarang berlaku kepada saya dan saya boleh menulis dalam apa-apa persekitaran. Jadi kita kembali semula ke Melaka. Meja kerja saya menghadap pintu masuk rumah, dan kawasan sekitarnya sedikit berbukit, maka pada siang hari saya boleh dengar dan nampak kenderaan naik turun tanpa henti. Suasana ini langsung tidak menghalang kerja saya kerana saya menulis untuk mencipta sebuah dunia asing daripada kehidupan sebenar, dan dunia itu sangat jelas dalam fikiran saya. Cabaran terbesar saya bukan untuk membayangkan dunia itu, tetapi menterjemahkan dunia itu ke dalam bahasa dan imej yang boleh digarap oleh pembaca.

Saya kira ini bertentangan dengan kaedah kerja seorang pengarang realistik seperti Karl Ove Knausgaard. Dalam kebanyakkan wawancaranya, dia selalu kata yang dia menulis mengikut gerak hati. Berfikir membina jarak dengan hidup, sementara emosi merapatkan jarak tersebut. Ya, kalau anda menulis sebuah novel setebal enam jilid, dan bergantung hampir seratus peratus pada memori, sudah tentu emosi adalah segala-galanya. Namun satu hal yang kebanyakkan orang salah faham apabila mereka membaca My Struggle ialah mereka sangka dengan membaca keenam-enam jilid ini, mereka menemui potret lengkap seorang lelaki Norway bernama Karl Ove Knausgaard. Saya percaya ia adalah di sebaliknya. Dengan menulis novel, Knausgaard tidak mencipta sebuah potret, tetapi dia menghapuskan atau menghilangkan potret itu sama sekali.

Dalam perbualannya dengan pengarang Kanada, Sheila Heti, Knausgaard memberi contoh tulisan Gustave Flaubert untuk membezakan antara penciptaan fiksyen dan kehidupan. Di satu bahagian kita ada Flaubert yang menulis novel Madame Bovary; di satu bahagian lagi kita ada Flaubert yang menulis surat. Bagi Knausgaard, suara Flaubert dalam surat-suratnya sangat kaya dengan kehidupan (malah ada waktunya agak melucahkan). Tetapi dalam Madame Bovary, ia bukan lagi sekadar suara kehidupan, tetapi penjernihan suara itu "menjadi kristal" yang lebih padat dan indah. Knausgaard mengakui dia pernah cuba menjadi pengarang yang mencipta kristal - pengarang yang mencipta fiksyen - tetapi fiksyen tidak cukup menampung suara kehidupan yang membanjiri fikirannya.

Ketika berada di Melaka, saya dengar ada seorang pengarang mapan kita telah dipanggil masuk ke makhamah untuk mempertahankan buku-bukunya yang diharamkan. Saya juga dengar pengarang mapan ini merungut apabila tidak ada penulis lain datang memberikan sokongan kepadanya. Selain itu, ketika berada di Melaka, saya menemui penulis dan penggiat seni lokal yang selesa dan berbahagia membangunkan komuniti mereka sendiri jauh daripada kesibukkan dan permainan politik di Kuala Lumpur. Jadi kita ada satu pihak yang ingin berada di tengah gelombang masyarakat, dan kita ada satu pihak yang ingin berada di luar lingkaran gelombang itu. Rasanya di lingkaran mana pun kita pijak, apabila kita membaca sastera, lingkaran itu akan terputus kerana sastera tidak mempunyai pusat graviti. Ia berada di mana-mana dan pada bila-bila masa kita memerlukannya.

    



2666: Hans Reiter Berlari Ke Pantai

$
0
0

Setiap novel harus ada satu atau beberapa detik pengalaman yang sangat mengesankan sehingga susah untuk kita lupa walaupun bertahun selepas novel itu selesai dibaca. Kadang-kadang pengalaman itu sangat berkait rapat dengan plot, dan tanpanya, mungkin ia akan menjadi novel yang berbeza terus. Misalnya, penderitaan Lahuma akibat terpijak duri, atau detik mencemaskan ketika Meursault mengarahkan muncung pistol ke badan seorang lelaki Arab. Kadang-kadang pengalaman itu memalukan dan menjatuhkan maruah wataknya, seperti wanita kulit putih yang dirogol oleh kumpulan lelaki kulit hitam dalam novel J. M. Coetzee Disgrace, lalu kita menjadi sangat marah apabila nasib watak itu tidak diselematkan oleh pengarang. Kemudian ada juga pengalaman yang datang sekejap di tengah novel tetapi ia begitu aneh serta melucukan (novel Murakami sangat kaya dengan pengalaman jenis ini). Dan ada satu lagi pengalaman istimewa, malah jarang-jarang muncul, dalam novel yang saya sebut sebagai pengalaman membebaskan tekanan. 

Saya temui pengalaman ini ketika membaca semula novel mega Roberto Bolano 2666:


"During his regiment's stay in Normandy, Reiter often swam, no matter how cold it was, off the rocks of Portbail, near the Ollonde, or off the rocks north of Carteret. His battalion was based in the town of Besneville. In the mornings he went out, with his weapons and a rucksack in which he carried cheese, bread, and half a bottle of wine, and walked to the coast. There he chose a rock well out of sight, and after swimming and diving naked for hours, he would stretch out of his rock and eat and drink and reread his book 'Animals and Plants of the European Coastal Region'.

Sometimes he found starfish, which he stared at for as long as his lungs would hold, until finally he made up his mind to touch them just before he returned to the surface. Once he saw a pair of gobies, Gobius paganellus, lost in a jungle of seaweed, and he followed them for a while (the seaweed jungle was like the locks of a dead giant), until he was seized by a strange, powerful despair and had to come up quickly, because if he had stayed down any longer the despair would have dragged him to the bottom. 

Sometimes he felt so good, drowsing on his damp slab of rock, that he might have chosen never to rejoin the battalion. And more than once he gave serious thought to deserting, living like a tramp in Normandy, finding a cave, feeding himself on the charitable offerings of peasants or small thefts that no one would report. I would learn to see in the dark, he thought. In time my clothes would fall to rags and finally I would live naked. I would never return to Germany. One day I would drown, radiant with joy."


Bagi peminat Bolano, babak ini mungkin akan mengingatkan mereka kepada budak lelaki dalam cerpen "The Last Evening on Earth" yang meninggalkan kamar hotel untuk pergi berenang di pantai. Babak ini walaupun tidak ada sebarang kepentingan kepada perjalanan naratif, ia tetap membuka ruang sebentar untuk Hans Reiter lari dari medan perang, dan menjadi dirinya. Malah kita boleh juga kata apabila Hans dapat lari daripada tekanan naratif, Bolano juga dapat lari daripada tekanan untuk menulis dan menghabiskan novelnya. Seperti mana laut dan buku "Animals and Plants of the European Coastal Region" menjadi dunia peribadi untuk Hans membebaskan tekanan, maka fiksyen menjadi dunia untuk seorang novelis bernama Roberto Bolano menghilangkan dirinya. Ibarat menjadi tua dan mati di dalam sebuah gua di tepi pantai.

       

Auster: Menulis Pada Dinding

$
0
0


Saya selalu ada perasaan janggal apabila mengetahui seorang pengarang fiksyen menulis puisi. Ia berbeza dengan jurnal atau esei kerana mediumnya masih prosa walaupun di sini suara pengarang itu lebih intim, lebih jelas, dan mungkin lebih jujur. Tetapi kejujuran sebuah puisi adalah kejujuran yang menakutkan buat saya. Ia seperti mengajak seorang kawan yang anda sudah lama kenal ke pusat karoke. Selama ini anda kenalnya sebagai jejaka bekerjaya tinggi, berjiwa liberal, berbudaya tinggi, dan mungkin berperwatakkan kacak. Namun sebaik sahaja dia memegang mikrofon dan membuka mulut untuk menyanyi lagu Anuar Zain, kawan yang anda kenal sebelum ini tiba-tiba menjadi alien dari planet Klingon. 

Tetapi puisi memang bahasa alien kerana hanya penyair akan bercakap dalam bahasa alien. Tidak ada orang pergi ke KFC dan membuat pesanan menggunakan bahasa Afrizal Malna. Sama seperti tidak ada orang berzikir selepas solat menggunakan bahasa Kemala. Bahasa puisi adalah bahasa dalam kesepian. Ia adalah percakapan dengan bayang kerana fikiran kita dipenuhi dengan bayang-bayang dari masa lalu. Apabila seorang penyair sudah berjaya menghalau semua bayang dalam dirinya, ada kemungkinan besar dia tidak akan boleh menulis puisi lagi. Paul Auster bermula dengan menulis puisi dan dia menulis puisi selama sepuluh tahun sebelum beralih sepenuhnya kepada fiksyen. Rasanya sepuluh tahun akan datang siapa pun tidak akan ingat puisi Auster, tetapi kadang-kadang salah satu cara untuk memahami karya terbaik seorang pengarang adalah dengan membaca karya terawalnya yang pengarang itu sendiri mungkin malu untuk melihat kembali. 

Sebelum kita masuk ke dalam puisi Auster, ada baiknya juga kalau kita terlebih dahulu memahami mitos renungan Orpheus. Saya kira Maurice Blanchot memberikan penjelasan terbaik tentang hubungan renungan Orpheus dengan renungan seorang penulis:


"When Orpheus descends to Eurydice, art is the power that causes the night to open. Because the power of art, the night welcomes him; it becomes the welcoming intimacy, the understanding and the harmony of the first night. But Orpheus has gone down to Eurydice: for him, Eurydice is the limit of what art can attain; concealed behind a name and covered by a veil, she is the profoundly dark point towards which art, desire , death, and the night all seems to lead. She is the instant in which the essence of the night approaches as the other night.

Yet Orpheus' work does not consist of securing the approach of this point by descending into the depths. His work is to bring it back into the daylight and in the daylight give it form, figure and reality. Orpheus can do nothing except look this point in the face, look at the center of the night in the night. He can descend to it, he can draw it to him - an even stronger power - and he can draw it upwards, but only by keeping his back turned to it. This turning away is the only way he can approach it: this is the meaning of concealment revealed in the night. But in the impulse of his migration Orpheus forgets the work he has to accomplish, and he has to forget it, because the ultimate requirement of his impulse is not that there should be a work, but that someone should stand and face this point and grasp its essence where this essence appears, where it is essential and essentially appearance: in the heart of the night."


Hampir semua penulis melalui dilema sama dengan Orpheus apabila dia terjun ke dalam kegelapan diri untuk memburu inspirasi. Tetapi langkah awal ini masih mudah kerana inspirasi boleh datang kepada sesiapa pun. Masalahnya apabila penulis, atau Orpheus, ingin membawa Eurydice kembali ke dalam kehidupan. Bagaimanakah untuk mengabadikan Eurydice tanpa menatapnya lalu hilang?

Seni bermula sebagai bayang sebelum cahaya mengeraskannya menjadi patung. 

Sekarang kita sampai kepada puisi Auster. Ada tiga puisi saya ingin kongsikan. Pertama, judulnya "Wall Writing:"


Nothing less than nothing

In the night that comes
from nothing,
for no one in the night
that does not come.

And what stands at the edge of whiteness,
invisible
in the eye of the one who speaks.

Or a word.

Come from nowhere
in the night
of the one who does not come.

Or the whiteness of a word,
scratched 
into the wall.


Puisi kedua judulnya "White Nights:" 


No one here,
and the body says: whatever is said
is not to be said. But no one  
is a body as well, and what the body says
is heard by no one
but you.

Snowfall and night. The repetition
of a murder
among the tress. The pen
moves across the earth: it no longer knows
what will happen, and the hand that holds it
has disappeared.

Nevertheless, it writes.
It writes: in the beginning,
among the tress, a body came walking
from a night. It writes:
the body's whiteness
is the color of the earth. It is earth,
and the earth writes: everything 
is the color of silence.

I am no longer here. I have never said
what you say
I have said. And yet, the body is a place
where nothing dies. And each night,
from the silence of the trees, you know
that my voice
comes walking toward you. 


Puisi ketiga judulnya "Shadow to Shadow:"


Against the facade of evening:
shadows, fire, and silence.
Not even silence, but its fire - 
the shadow 
cast by a breath.

To enter the silence of this wall,
I must leave myself behind.          


Dinding; cahaya; suara; kata-kata. Kurungan seorang penulis dalam dirinya. Dinding menjadi sempadan antara fikiran dan mimpi; antara hidup dan mati; antara makna dan ketiadaan. Auster kalau boleh ingin meninggalkan tubuhnya dan hilang terus ke dalam kata-kata. Tetapi kalau mengikut puisi "White Nights," pena atau bahasa di sini boleh juga merujuk kepada kuasa Pencipta yang menurunkan kata-katanya ke atas alam. Jika suara di dalam dinding - iaitu suara di dalam minda - sudah menjadi bisu, maka suara yang akan datang ialah suara Pencipta dari "kesepian pohon." Saya rasa di sini sudut pandang Auster terhadap bahasa sedikit berbeza dengan sudut pandang Beckett (kehadiran Beckett sangat dirasai dalam sajak-sajak Auster). Walaupun kedua-duanya melihat kelesuan tubuh manusia sebagai tanda kepada kemunduran fungsi bahasa, saya rasa Auster masih ada kepercayaan bahawa Eurydice boleh dikembalikan ke dalam cahaya.

Sayang sekali apabila kita melihat tiga puisi ini, kita terpaksa membuat kesimpulan bahawa kepercayaan Auster terhadap Eurydice masih terlalu naif dan tergesa-gesa. Dia tahu dan mendengar suara yang memanggilnya dari dalam dinding. Namun apabila dia menemui Eurydice, dia tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkannya. Auster belum menemui Daniel Quinn atau David Zimmer untuk menjelmakan Eurydice menjadi watak hidup. Auster hanya mempunyai kata-kata, dan di tangan Auster, kata-kata hanya kepingan bayang yang terlalu ringan dan rapuh.


  

Novel Kedua: The Other Side

$
0
0
lukisan Alfred Kubin

lukisan Alfred Kubin



Sastera telah melahirkan banyak tempat imaginasi. Di saat ini tempat imaginasi paling terkenal barangkali adalah Westeros. Saya percaya peminat tegar Westeros akan merasa lebih intim dengan dunia tersebut berbanding dunia Middle-earth. Tolkien membahagikan secara jelas sempadan moraliti antara baik dan jahat; antara hero dan musuh; antara manusia dan raksasa; antara kebebasan dan tirani. Sementara dalam dunia George R. R. Martin sempadan ini sangat kabur, malah ia terbuka luas untuk diisi dan ditafsirkan oleh pembaca. Watak yang pada mulanya kelihatan jahat melalui tindakan dan perbualannya, boleh mendedahkan sisi kemanusiaan apabila kita memahami konteks dan sejarah silamnya.

Dua hari lepas saya mengadakan syarahan ringkas mengenai novel autobiografi Karl Ove Knausgaard. Antara persoalan saya bangkitkan dalam syarahan itu: apakah yang mendorong Knausgaard untuk menulis novel ini? Saya menyandarkan argumen saya pada pendapat Sigmund Frued mengenai gejala melankolia di mana seseorang itu mengalami kesedihan dan rasa benci pada diri sendiri. Penulisan menjadi semacam pengakuan ego seorang pengarang dengan dunia. Ibarat seorang mangsa jenayah yang terpaksa bercakap di kandang saksi. Lalu pengarang itu akan ada kecenderungan untuk mendramakan situasinya sebagai mangsa. Bagi saya itu antara kelemahan fiksyen berbentuk autobiografi atau psikologi dalaman: ia membataskan pengalaman kita pada minda seorang manusia.

Maka ada waktunya, apabila saya membaca novel, saya ingin melihat kanvas yang lebih luas. Saya ingin melihat dunia dalam sebuah fiksyen. Ia tidak semestinya terlalu imaginatif dan fantasi seperti Westeros atau Arkham. Gerald Murnane, W. G. Sebald, Robert Walser, dan Teju Cole saya rasa antara pengarang fiksyen yang tahu bagaimana untuk membina hubungan antara alam dengan kanvas dalam sebuah teks. Mereka bukan sahaja membuka mata kita kepada bentuk dan ruang dalam sesuatu tempat, tetapi mereka juga membingkaikan persepsi dan pengalaman tersebut menjadi naratif dan aliran bahasa. Ini contoh pengarang realistik yang tahu bagaimana untuk menggunakan latar secara maksimum. Kemudian kita ada pengarang yang memetakan dunia dari alam mimpi. Dan antara semua pengarang jenis ini, Alfred Kubin yang paling terabai dan dilupakan sumbangannya.

Alfred Kubin merupakan pengarang Austria dari abad kedua puluh yang lebih dikenali melalui lukisan-lukisannya yang mengerikan. Kubin hanya menulis satu novel, judulnya The Other Side. Saya meletakkan novel ini sebagai salah satu teks penting dalam tradisi penulisan cerekawala kerana ia merupakan perintis kepada tulisan berbentuk metropolis yang kemudian dikembangkan oleh pengarang new weird seperti China Mieville dan Jeff VanderMeer.

Di sini Kubin memperkenalkan sebuah kota imaginasi bernama Perla yang merupakan ibu kota Kerajaan Mimpi di tengah negara China. Penduduknya lebih kurang dua puluh ribu orang. Perla sentiasa gelap dan suram kerana matahari dan bintang tidak pernah kelihatan di langitnya. Pengasas kota ini bernama Klaus Petra dan di peringkat awal novel, dia merupakan figura misteri yang sentiasa tersembunyi di dalam istananya. Kita menemui dan mengembara kota ini melalui sudut pandang watak seorang penghuni yang baru sampai ke kota itu. Secara umumnya Perla ada empat bahagian. Pertama, disebut kawasan The Train Station di mana terletaknya bangunan pentadbiran dan pejabat pos. Kedua, kawasan Garden City yang suram dan menjadi tempat tinggal golongan kaya. Seterusnya kita ada Long Street berhampiran sungai, tempat tinggal golongan kelas menengah dan kedai-kedai dibuka. Keempat disebut kawasan French di mana kita boleh bayangkan sebagai gubuk dan longkang kaum buruh pelbagai bangsa.

Sebagai novel yang lebih mengutamakan aspek pembangunan dunia berbanding pembangunan cerita, naratifnya bergerak secara episod. Kita yang pada mulanya berasa jijik dan asing dengan kota itu, akan perlahan-lahan menyesuaikan diri sehingga kita berfikir dan berkelakuan seperti penduduk Perla. Salah satu episod saya ingat daripada novel ini ialah sewaktu Perla dicerobohi oleh binatang liar. Ular masuk ke dalam paip dan kalau selak selimut katil akan jumpa ular di bawahnya. Amaran kepada pembaca yang belum pernah sampai ke Perla: kalau anda mengalami kemurungan atau baru kehilangan seorang tersayang, saya nasihatkan jangan melawat kota ini. Ia akan memerangkap anda dan anda akan jatuh ke dalam kegelapan yang tiada penghujung.
       

Di Manakah Objek Dalam Novel?

$
0
0

Kalau nak buat perbandingan, di satu bahagian kita ada novel Georges Perec Life A User's Manual, barangkali novel paling banyak objek dalam sejarah sastera, dan di satu bahagian lagi kita ada novel Gabriel Josipovici Everything Passes, sangat minimal dan hampir tidak ada objek melainkan tingkap, dinding, dan suara manusia yang bergema. Manusia juga merupakan objek. Perec melihat keberadaan manusia dari segi hubungannya dengan objek sekeliling, malah dalam Life A User's Manual manusia bukan lagi subjek utama kerana peranan tersebut digantikan oleh sebuah apartmen serta rumah, bilik, tangga, dan perabot di dalamnya. Antara kritikan utama James Wood terhadap Perec (dan juga Eco serta Julian Barnes) adalah lambakkan detail tanpa sebarang perincian yang bermakna. Namun itu yang Wood tidak faham di sini (seperti mana dia kadang-kadang salah faham terhadap tulisan berbentuk pascamoden): lambakkan itu sendiri adalah makna penting kepada kerangka pemikiran Perec sebagai novelis, seperti mana sudut pandang terbatas dan perincian selektif merupakan kerangka pemikiran Flaubert. Perec ingin meletakkan manusia di kedudukan sama dengan objek harian kerana keberadaan kita sangat dipengaruhi oleh objek-objek lain. Meja bukan sekadar meja, kopi bukan sekadar kopi, majalah bukan sekadar majalah. Setiap satu objek ini bersifat mandiri dan saling berkaitan dalam mempengaruhi pengalaman hidup kita. Apabila manusia menjadi hero atau protagonis dalam sebuah novel, ia seolah-olah kita telah meletakkan manusia sebagai graviti kehidupan, dan alam sekeliling hanya berfungsi sebagai subset kepada sensualiti terbatas kita. DonQuixote awal-awal lagi mengingatkan pembaca bukan sahaja kepada bahaya membaca fiksyen, tetapi juga kepada bahaya mempercayai imaginasi dan prinsip moral seorang tokoh (dalam kes ini, prinsip kesatriaan seorang lelaki gila bernama Don Quixote). Saya percaya sejarah penulisan novel ialah sejarah yang terlalu optimis terhadap peranan manusia sebagai tokoh utama sebuah cerita. Ada waktu ia memang boleh memberikan inspirasi, namun apabila ia terlalu berlebihan, kita akan menjadi seperti watak dalam novel Gabriel Josipovici: kita akan bercakap sendiri dengan dinding.      

Borges: Mimpi Sebuah Pembacaan

$
0
0

Siapakah aku dalam sebuah pembacaan? Aku ialah apa yang aku baca. Aku ialah Lahuma. Aku ialah Noboru Wataya. Aku ialah Stephen Dedalus. Aku ialah Hang Tuah. Aku ialah semua persona itu. Aku bukan sesiapa kerana aku boleh menjadi sesiapa yang aku baca ke atas diri aku. Maka aku sebenarnya tidak membaca kerana sentiasa ada persona lain yang membaca aku. Tetapi berapa persona? Banyak, sangat banyak. Aku sentiasa membaca sendirian, kerana apabila aku sendirian, aku sebenarnya larut dalam keramaian pembacaan. 

Borges ialah enigma; Borges ialah pembacaan di atas pembacaan yang datang sebelum dan selepas pembacaan Borges. Maka siapakah Borges dalam sebuah pembacaan Borges? Malam menyimpan siang seolah-olah malam menyimpan waktu dalam sakunya. Malam juga menyimpan hingar. Kita berbisik dalam gelap kerana kita tidak tahu siapa atau apa yang berbicara dalam gelap. Mata harimau yang mengintip ialah mata mimpi yang lapar. Kenapa kita takut apabila kita melihat seseorang bercakap dalam tidurnya? Kata-katanya terlalu kabur, terlalu abstrak. Kita tidak memahami konteks percakapannya kerana mimpi tidak mempunyai konteks dan sempadan. Mimpi ialah hingar; mimpi ialah kepelbagaian suara dalam gelap.

Aku bangun sendirian pagi ini tanpa suara yang aku boleh berkata. Aku buka mulut dan hanya hingar yang keluar daripada dasarnya. Aku terlalu takut untuk membisukan suaranya. Aku membiarkan suaraku lemas. Aku membaca puisi Borges "The Dream" untuk memujuk diriku supaya menjadi berani.


While the clock of the midnight hours are squandering
an abundance of time,
I shall go, farther than the shipmates of Ulysses,
to the territory of dream, beyond the reach
of human memory.
From that underwater world I save some fragments,
inexhaustible to my understanding:
grasses from some primitive botany,
animals of all kinds,
conversations with the dead,
faces which all the time are masks,
words out of very ancient languages, 
and at times, horror, unlike anything
the day can offer us.
I shall be all or no one. I shall be the other
I am without knowing it, he who has looked on
that other dream, my waking state. He weights it up,
resigned and smiling. 


Waktu sentiasa melimpah; hanya memori yang membataskannya. Dalam mimpi Borges menerima suaranya dari masa lalu dan  suaranya dari masa depan. Dalam pembacaannya: Borges tidak menjadi sesiapa kerana Borges menjadi semua yang bukan dirinya.
    

Percakapan Dalam Kamar Sapardi

$
0
0


1. Kebelakangan ini saya banyak berfikir tentang objek dan percakapan di antara objek. Kafka dalam perbulannya dengan Gustav Janouch menjelaskan perbezaan muzik dan puisi:

"Muzik mencipta kepuasan yang baru, halus, lebih rumit, dan sudah tentu lebih bahaya... Tapi puisi memperjelaskan kepuasan liar ini melalui  penyucian dan secara intelektual sehingga ia lebih bersifat manusia. Muzik menggandakan kehidupan sensual; sementara puisi mendisplinkan dan mengangkat darjatnya." 

2. Kafka dan Janouch juga banyak berjalan apabila mereka berbual. Berjalan mengisi ruang kerana ruang bukan sesuatu yang diberi, ia hanya boleh ditemui dalam suatu perjalanan. Kita mengenal sebuah kota bukan dengan melihatnya di atas peta GPS; kita mengenali sebuah kota dengan berjalan di dalamnya. Kita melihat sempadan kota itu berkembang dan horizonnya terbuka tanpa batas. 

3. Tristan Garcia membezakan di antara benda dan objek. Benda boleh menjadi apa-apa sahaja, termasuk objek, tetapi benda juga adalah benda yang bukan objek atau ia adalah kedua-duanya secara serentak. Sementara objek sentiasa menyandar pada objek yang lain. Objek sentiasa menjadi percakapan di antara objek. 

4. Ada air di dalam dinding rumah saya. Kalau saya cuba menyentuh suis bilik bacaan, elektrik akan mengigit jari saya seolah dinding ini bukan lagi wilayah peribadi saya. Dengan menjajah sebuah ruang, ia mengubah keberadaan ruang tersebut, yang secara tidak langsung mempengaruhi hubungan saya dengan ruang itu juga. 

5. Apabila objek dalam puisi Sapardi bercakap, siapakah yang bercakap? Sapardi atau objek itu sendiri? 

6. Sebilah pisau di atas meja ialah sebilah pisau tidak kira berapa kali kita melihatnya atau dari sudut mana kita melihatnya atau di meja mana kita meletakkannya. 

7. "siapa berbisik di seberang kabut?"

8. Kalau saya membaca Sapardi sekarang, saya tidak boleh membacanya seolah ia adalah pengalaman kali pertama; pengalaman tanpa hujan, tanpa pisau, tanpa epal, tanpa beranda, tanpa jendela, tanpa sepatu, tanpa perahu kertas, tanpa bola lampu, tanpa akuarium, tanpa ulat, tanpa rama-rama, tanpa jam, tanpa topeng, tanpa bunga plastik, dan tanpa puntung rokok. Saya sudah mendengar percakapan di sebuah kamar bernama Sapardi.

9. Dalam kitab klasik Jepun bernama Otogi-zoshi diceritakan bagaimana perabot yang dibuang daripada sebuah rumah boleh marah lalu menjelmakan diri mereka menjadi raksasa demi membalas dendam.      

10. Percakapan di antara objek Sapardi tentang seseorang di sebuah kamar ialah percakapan di luar bahasa seseorang itu yang ingin mendengar percakapan dalam percakapan fikirannya, namun hanya mampu mendengar percakapan tentang percakapan seseorang itu. Ketika seseorang itu masih duduk dan menyedut asap rokok, dia tidak merasa perbezaan di antara dirinya dengan objek-objek tersebut kerana dia masih dalam proses penggunaan. Kerusi masih kerusi; rokok masih rokok. Perlahan-lahan urat belakang akan lenguh dan rokok di tangan akan semakin pendek. Dia berhenti menjadi pengguna dan kekurangan objek mula bangkit daripada tidur. Kerusi bukan lagi sekadar kerusi; rokok bukan lagi sekadar rokok. Tetapi dia tidak boleh memperkatakan kekurangan dan keanehan ini walaupun dia tahu ia ada dan wujud sebagai sesuatu yang tidak boleh diperkatakan di samping masih mempunyai keupayaan tersendiri untuk diperkatakan oleh sesuatu kata-kata yang baru dan puitis. 

11. Setiap rokok yang dinyalakan dalam sebuah karya sastera akan berpindah tangan dan diulang hisap dan dinyalakan semula tanpa henti (mungkin ia bermula di mulut Chairil Anwar, kemudian melompat ke mulut Charles Bukowski, sebelum kembali ke mulut paling jantan apabila menghisap rokok iaitu mulut Albert Camus). 

12. Ketika isteri saya menggerudi dinding, semut berlari meninggalkan sarang. Bunyi menjajah dan bunyi menghalau ruang kesepian. 

13. Seseorang dalam puisi Sapardi terpisah daripada objek Sapardi bukan kerana dia seseorang di kalangan seseorang. Dia terpisah kerana dia bukan objek seperti mereka. Dia hanya bayang. 

14. Dalam dunia Sapardi, objek harian juga membutuhkan perhatian; ia juga ingin menjadi suatu objek renungan. 

15. "Sebuah bola lampu ingin memejamkan dirinya. Ia merasa berada/ di tengah hutan. I bising mendengar hingar-bingar/ kawanan binatang buas itu. Ia tiba-tiba merasa asing/ dan tak diperhatikan."

16. Tetapi bukankah bola lampu ini berfikir bukan lagi seperti bola lampu? Bukankah ia sudah diajar kata "harimau,""gajah,""babi hutan," dan "kera"? Ia merasa asing di tengah kebisingan kerana ia tidak lagi mendengar dengan telinganya sendiri.

17. Bagi orang beragama yang mempercayai kewujudan roh, konsep materialisme sering dipandang negatif kerana dia takut membayangkan dirinya sebagai seseorang yang mencintai kebendaan. Dia tidak mahu menjadi jam yang dipakainya atau kereta mewah yang dipandunya setiap hari ke pejabat. Dia harus terpisah dengan setiap benda kerana dalam dirinya punya roh dengan darjat kejadian lebih tinggi. Tetapi pemisahan antara diri dan objek berlaku dalam diri orang itu sendiri melalui pemikiran konseptual. Ia bukan salah kilang, tuan tanah, pedagang, pemborong, agen pemasaran, atau media sosial. Dia yang mencipta sempadan antara fikirannya dengan alam kebendaan. Padahal jam adalah jam; kereta adalah kereta. Ia tidak perlu menjadi simbol kepada sesuatu.

18. Sekali lagi saya teringat perbualan Kafka bersama sahabatnya Janouch. Menurut Kafka, "Bagi saya muzik ialah seperti lautan... Ia membuat saya lemah, kagum, terpesona, malah takut, saya takut dengan keluasannya yang tidak berpenghujung. Saya memang tidak boleh menjadi kelasi."

19. Percakapan juga tidak berpenghujung, terutama sekali percakapan yang tersembunyi di antara dua percakapan dalam diam.

20."ia semakin mirip pembuatnya kerana sedang menahan kata-kata"       
    

Kesumat: Perbualan Bersama Johan Radzi

$
0
0


Malaysia menerbitkan beratus buah cerpen setiap tahun dan kebanyakkannya akan hilang apabila tidak dibukukan, malah kalau menjadi buku pun, masih belum ada jaminan ia akan dibeli apatah lagi dibaca. Cerpen ialah genre paling kerap ditulis, namun ia genre paling kurang dibaca (selain drama pentas). Nak baca satu sajak, ya, sekali nafas boleh selesai; novel memang panjang, tetapi pembaca sudah menanti kepuasan pembacaan apabila sampai ke halaman terakhir. Cerpen? Nak kata bahasanya puitis seperti puisi, tidak; nak kata ceritanya memuaskan seperti novel, pun tidak. Padahal cerpen boleh memberikan kedua-dua pengalaman itu secara serentak di tangan penulis yang betul. 

Kali ini saya sengaja nak menjemput cerpenis berkongsi pengalaman mereka kerana kita jarang membaca proses kreatif sebuah cerpen. Kebetulan penulis baru kita yang berbakat memang rata-ratanya cerpenis, dan Johan Radzi merupakan salah seorang daripada mereka. Dia baru sahaja menerbitkan kumpulan cerpen berjudul Tinju & Peluru daripada Roman Buku. Saya akan turunkan terlebih dahulu petikkan daripada cerpen Johan berjudul "Kesumat."

* * *

Sidek berkhayal lagi. Matanya terkatup. Dia mengenang semula luka dan derita yang terpaksa ditanggung semenjak tujuh tahun lepas. Dari kehilangan dan kematian, sengsara menggilirnya seperti tiada belas kasihan. Tikaman yang mengguris sukmanya tidak pernah pulih. Ia kekal sebagai parut, sebagai satu peringatan jelas bahawa kejadian-kejadian yang menimpa akan menghukum jiwa selama mana dia bernafas atas bumi ini.

Dia melihat jam - dua suku pagi - dan Datuk Yazid masih berdegil. Masa sedang berlalu. Dia tahu dia tidak boleh tunggu terlalu lama di kawasan perumahan golongan bangsawan itu sendiri adalah satu kejanggalan. Sepuluh minit sebelum ini pun dia mengesan mata-mata tidak enak memandang, seperti sedang memberitahu, "Orang miskin dilarang wujud di kawasan ini."

Ah, musibat!

Sidek melangkah dari keretanya dan memijak rokok yang berbaki. Lawi ayamnya disarung di sisi pinggang. Tekadnya membulat. Dia sudah menanti lama, tujuh tahun lamanya. Dia tidak sanggup menanti lima atau sepuluh minit lagi. Nak atau tidak, dia harus bertindak sekarang.

* * *

AZRIQ: Selalunya apabila diminta memberi penjelasan kepada karya, ada penulis akan bersembunyi di bawah tapak kasut Roland Barthes. Pengarang sudah mati kononnya. Tetapi selepas dipijak mati pun, aku percaya ada sisa memori, idea, dan roh yang ditinggalkan si penulis dalam karyanya. Agaknya apa pembaca akan temui apabila mereka membaca "Kesumat"?

JOHAN: "Kesumat" ialah cerpen pertama yang aku hasilkan. Aku menulisnya sebab nak menang sayembara anjuran Roman Buku dan dapatkan wang untuk melancong ke Bali. Aku mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan cerpen ini dan aku tahu ia akan masuk senarai pendek. Dalam "Kesumat" aku banyak cuba bereksperimen dengan kaedah-kaedah aku kutip daripada buku dan filem. Aku cuba menulis secara bukan linear dan memasukkan kerangka budaya Malaysia tahun 80an. Mungkin memang itu tujuannya pun di mana aku nak mencari suara Malaysia dan sampaikan ia dalam bentuk cerita. Waktu itu aku masih terpesona dengan filem "Bunohan" maka senjata utamanya ialah lawi ayam. Orang yang membaca "Kesumat" akan menemui Johan Radzi yang masih muda, masih nak bereksperimen, dan tekad untuk bercerita kepada pembaca. Aku tidak rasa ini cerpen terbaik aku, tetapi ia antara paling lega aku menulis dan barangkali aku tidak dapat menulis dengan mood seperti ini lagi. 

A: "Lawi ayam yang diasah sejak pagi tadi berkilat memantulkan lampu jalan." Ini antara ayat menarik kau lukiskan lawi ayam. Apa kepentingannya pada cerpen kau?

J: Aku tertarik dengan lawi ayam kerana ia senjata yang kecil tetapi penuh berbisa. Saiz kecilnya menjadikan ia mudah disembunyikan. Banyak samseng di Malaysia, Thailand, Borneo, dan Indonesia yang memakai senjata ini dalam operasi mereka. Lawi ayam melambangkan dendam Sidek. Cahaya yang terpantul pada bilahnya adalah keghairahan dendam. Sewaktu Sidek gagal mengelar musuhnya malam itu, senjata itu dibiarkan di meja. Itu tanda dia tidak mahu dikuasai oleh dendamnya lagi.

A: Boleh kata majoriti penulis Malaysia datang daripada golongan kelas menengah. Tidak banyak cerita ditulis dari dunia kelas bawahan atau atasan. Dendam Sidek aku kira dendam orang kampung terhadap orang politik yang korup. Adakah kau rasa ini satu tanggungjawab sebagai penulis atau kau sebenarnya bersimpati dengan mereka yang tertindas?

J: Barangkali intipati kepengarangan di Malaysia pun sangat  menengah sifatnya. Golongan bawahan jarang menulis kerana sibuk dengan kepayahan hidup, sementara golongan atasan jarang menulis kerana sibuk dengan kemewahan mereka. Barangkali mereka jarang luangkan masa untuk hal-hal renungan dan kontemplatif yang biasanya dilakukan oleh kelas menengah kerana mereka punya masa lenggang. Tetapi aku tertarik jika suatu masa nanti golongan imigran juga menulis karya Malaysia. Semasa aku menulis "Kesumat" aku menyangkutkan idealisme yang tinggi kepada sastera. Aku nak mempersembahkan medan pertarungan kelas dengan kesan yang mendalam terhadap individu-individu yang terlibat, terutama sekali anak yang belum dewasa. Aku pernah dibesarkan di desa dan aku melihat bagaimana kawan-kawan aku terlibat dengan gejala sosial. Jadi ini sedikit sebanyak berkaitan dengan tugas seorang pengarang - atau tugas aku secara khusus - untuk menyampaikan suara mereka yang terbungkam. Tetapi kita tidak perlu rigid sangat. Sensitiviti pengarang berfungsi dengan cara masing-masing. 

A: Kalau Hemingway baca cerpen ini agaknya apa dia akan kata?

J: Mungkin orang tua itu akan mengamuk kerana tidak ada perempuan Sepanyol atau Itali yang seksi. Atau rum atau bir atau wain paling sedap Eropah pernah hidangkan.

A: Kalau Faisal Tehrani macam mana? Akan kecewa tak kalau dia kata cerpen ini belum cukup ilmu atau kritikan sosialnya?

J: Barangkali aku tidak akan peduli pun kerana karya-karya yang terlalu sarat dengan kritikan sosial akan memendapkan cerita. Persuratan Baru selalu gagal dalam bercerita. Terlalu ghairah berkhutbah dan melaung dan berseru dan mengepal tinju ke udara. 

A: Setakat ini ada penyesalan tak apabila menulis cerpen?

J: Belum lagi.    

Blanchot: Malam Yang Panjang

$
0
0


Saya rasa setiap ahli falsafah akan mempunyai tempat dan cuaca di mana pemikirannya boleh bernyawa dengan bebas. Dalam dunia Michel Serres, misalnya, saya boleh dengar deru dan deburan ombak menghempas kalimatnya. Sementara dunia Gaston Bachelard ialah dunia pintu, tangga, laci, dan dinding. Kalau Maurice Blanchot lebih mudah untuk saya bayangkan: malam. Sebuah dunia di mana semua penulis telah hilang dan bahasa meninggalkan gema langkahnya di atas aspal jalan. 

Kita boleh juga kata sastera dan penulisan ialah falsafah Maurice Blanchot. Tetapi Blanchot bukan seorang pengkritik kerana dia bukan seorang Hermes. Dia bukan pentafsir, penterjemah, dan pembawa berita dari Olympus. Blanchot ialah hantu Orpheus. Nyanyian Blanchot ialah nyanyian bahasa di dalam kubur. Hanya orang mati boleh bercakap tentang kematian penulisan dan kehilangan pengarang. Sebab itu pemikiran Blanchot tidak boleh ditangkap dan dikurung di dalam botol. Bahasanya bukan bahasa dari alam kesedaran kita.  

Tetapi saya tidak ingin tidur terus-menerus dan bermimpi. Ada hari saya ingin bangun juga. Ada hari saya ingin berdiri di balkoni dan melihat matahari panas seperti yang digambarkan oleh Karl Ove Knausgaard dalam memoirnya Autumn. Kemudian saya ingin melihat gula-gula getah, epal, katak, lalat, dan butang baju. Bagaimana pula dengan burung? Susah nak nampak di Kuala Lumpur burung melakukan migrasi. Knausgaard melihat sekumpulan burung terbang sewaktu dia menggoreng sosej dan keluar rumah sebentar untuk membuang sampah. Burung tidak membuatnya rasa takut atau rasa dunia ini akan berakhir. Dia tidak melihat keterbatasan bahasa. Dia melihat keterbatasan hidup:

"Once, in childhood, the world was boundless. Africa, Australia, Asia, America, these were places beyond the horizon, far away from everything, with inexhaustible reservoirs of animals and landscapes. That one could actually travel there was unthinkable as that one might journey into one of the many books I read at that time. But slowly - for it didn't come to me as a sudden insight - I began to understand what the migration of birds signified. That they flew all that was way under their own power, and that the world wasn't boundless but limited, and neither the place they left nor the place they arrived at were abstract but concrete and local.

Yes, that is what I sensed as I wedged the spatula under the slices of sausage and placed them on the green serving dish, then poured the macaroni into a glass bowl. The world is material. We are always in a certain place. Now I am here."

Itu juga yang saya selalu cari. Sesuatu yang konkrit dan lokal. Sesuatu yang ada di sini.    

Gratiagusti: Penyair Yang Tidak Boleh Tidur Malam

$
0
0


"Aku sangat mencintai malam," ujar pencerita di permulaan sebuah cerpen karangan Guy de Maupassant. Orang ini merasa lelah dan bosan pada siang hari. Hanya apabila matahari terbenam, dan burung hantu menggelintar di angkasa, dia kembali bertenaga dan melihat malam dengan genangan mata seorang kekasih. Marguerite Duras pernah kata "kemandirian bukan sesuatu yang dicari, ia harus diciptakan." Tetapi Duras bukan seorang pengarang nokturnal, dia bukan seorang pejalan kaki. Dia menulis pun dari dalam sebuah bilik yang menghadap taman dan kolam yang berkaca-kaca airnya. Duras mengambil masa dua puluh tahun nak menggambarkan pemandangan di luar jendela biliknya. Terlalu lama menurut saya. Kegilaan ini tidak mungkin berlaku kepada seorang pejalan kaki. Daripada terkurung di dalam bilik, lebih baik keluar malam dan berjalan ke mana-mana seperti pencerita Maupassant.

Gratiagusti Chananya Rompas ialah penyair muda dari Indonesia yang mungkin pernah atau tidak pernah berjalan malam di sekitar kota Paris. Tetapi Gratiagusti dan Maupassant mempunyai satu persamaan jelas: mereka ada semacam kegilaan pada tiang lampu.

Lihat Gratiagusti menulis dalam sajaknya: "kota ini merekam sejarah di tiang-tiang listrik."

Lihat pula Maupassant dengan deskripsi jauh lebih panjang dan meleleh-leleh liriknya (saya langsung petik versi terjemahan Inggeris): "The electric bulbs, like pale dazzling moons, like eggs from the moon, fallen from heaven, like monstrous living pearls, caused the streaks of gaslight, filthy, ugly gaslight and the garlands of colored, lighted glasses to growpale beneath their pearly, and regal light."

Ia seolah-olah Gratiagusti dan Maupassant hanya boleh menulis dengan menjadi kelkatu yang menyalibkan sayap pada kaca bola lampu. Lihat pula kali ini Gratiagusti menggambarkan tiang lampu dalam sajak berjudul "Membelah Aspal Di Bawah Langit Malam."

tiba-tiba aku berhenti
berdiri di tengah jalan
lampu-lampu beterbangan
melesat
diam
diam
lampu lalu lintas berganti warna
kuning merah hijau
lalu hitam menja-
di bola mata-
mu

Mata yang melihat siang ialah mata yang tunduk kepada silau dan order makna. Tetapi mata yang melihat malam ialah mata yang menelan warna dan silau dan membiarkan makna menjadi kaos dan sepi. Matanya ialah mata yang berjalan dan mata yang memburu bayang sebuah kota. Barangkali ia akan mengingatkan kita kepada mata hantu Jake Gyllenhaal dalam filem Nightcrawler dan kalimat pertamanya kepada penonton: "I'm lost."

Judul buku Gratiagusti ialah Non-Spesifik dan ia melanjutkan sejarah penulisan nokturnal yang sudah sangat sinonim (mungkin terlalu sinonim) dengan puisi Indonesia. Siapa boleh lupa sajak Toto Sudarto Bachtiar dan "gadis kecil berkaleng kecil" yang dikejar penyair ke bawah jambatan? Malah di sajak lain Toto pernah bertanya, "Dimana berakhirnya mata seorang penyair?" Jawapan Toto ialah kuburan. Dunia sebelum tidur. Gratiagusti juga bermain di dunia sama, tetapi ternyata dia bukan seorang Chairil yang takut kepada kegelapan dan cakaran ranting pada kaca jendela. Dia keluar berjalan ke tengah kota. Dia tidak boleh tidur bukan kerana matanya sedang berjaga. Dia tidak boleh tidur kerana dia tidak tahu matanya sedang bermimpi. 

Justeru Jakarta menjadi semacam dunia kubur Pedro Paramo di mana seorang penyair boleh berjalan dan mengumpulkan kata-kata yang hanya tinggal cengkerang tanpa makna. Malam akan membawa penyair ke mana-mana kerana "ke mana mana seringkali bukan pilihan." Di kota ini kata ialah mayat mutan yang bergetah. Penyair memijak kata demi kata sehingga langkahnya sendiri menjadi berat: mobil, gerbang, rumah, pohon, reklame, sepeda, warung, kerikil, dinding, lumut, gang, aspal, anjing, hantu, kucing, babi panggang, neon, petromaks, gitar, teh es, kopi. Apakah ini bayang runtuhan sebuah kota Jakarta atau bayang runtuhan mimpi seorang penyair?

Gratiagusti menulis dalam satu sajak turis adalah hantu kerana hanya turis akan "gentayangan dari satu tempat ke tempat yang lain." Kita juga adalah hantu dalam sajak-sajak Gratiagusti. Mimpi kita ialah mimpi yang non-spesifik.   

     

Taiping: Berjalan dalam Hujan

$
0
0


Saya terlebih minum kopi putih semalam. Itu kali pertama saya meneguk dua gelas kopi sejuk secara berturut-turut. Asalnya kami bercadang hendak bergegas ke Ipoh mencari kopi putih paling asli dan paling kaw. Tetapi hari pun sudah petang. Dan Taiping masih tenang memerahkan baju lusuhnya yang basah.

THE RED BAWAL

YOU'LL NEVER EAT ALONE 

Saya dan Azrin ketawa membaca papan tanda sebuah gerai di Medan Selera Padang Sarkas. Kreatif juga orang kita memancing pelanggan ke kedai mereka. Tetapi malangnya tempat itu tidak memuaskan selera makan kami. Mahal pun mahal: Yong tau foo sampai RM22 sepinggan. Johan dan Azrin mengeluh nasih goreng seafood mereka tidak mempunyai rasa. Saya dan Yana pula kecewa tidak dapat menikmati ais krim istimewa medan selera itu. Maka saya pun membuka telefon dan menggoogle kopitiam Taiping dan belum sempat saya memilih hasil carian, Johan bersuara:

"Wei! Aku baru ingat ada chicken chop sedap kat Taiping." 

Ya Allah Johan! Sekarang baru dia nak cakap. Padahal sotong dan sosej basi sudah mengaum dan berenang-renang dalam perut masing-masing (mengalahkan Cthulhu). Johan tidak ingat nama kedainya. Saya semak Google dan menemui Yut Sun Restoran. Kebetulan medan selera dekat dengan Jalan Pasar, lebih kurang lima minit berjalan kaki.

Menurut isteri saya, kalau kami akan pindah rumah, kami akan pindah ke Taiping. Bukan Ipoh dan bukan George Town. Kota ini lebih sunyi dan lebih terpelihara keaslian budaya dan warisan seni binanya. Saya tidak peduli sangat soal budaya itu. Yang penting makanannya mesti sedap dan murah. Dan apabila saya mengunyah cebisan chicken chop di Yut Sun, saya bertambah-tambah setuju dengan pendapat isteri saya. Meja, kerusi, dan lantai restoran ini juga berwajah lama seperti dalam gambar hitam putih. Saya kata kepada Johan, "Inilah istimewanya Perak. Ada banyak sisa zaman kolonial." Kemudian sambil menyandar dan meneguk kopi putih ais, saya terfikir: Siapakah penulis Taiping? Ada tak puisi atau novel yang ditulis tentang kota yang sentiasa berbantal basah ini? Saya kata kepada Johan dan Azrin yang saya gemar mengikuti tulisan yang khusus mengenai sebuah kota. Saya beri contoh A. S. Laksana dan kota Semarang yang selalu menjadi latar ceritanya. Lovecraft pun sama, malah dia menjadikan sebuah kota kecil pintu kepada alam kosmik yang mengerikan.

Masa bergerak perlahan di Taiping. Azrin membuat gurauan yang sebuah universiti tidak boleh dibuka di Taiping kerana cuacanya yang sejuk dan suasananya yang tenang akan membuat pelajar (dan pensyarah) malas untuk bangun ke kuliah. Kami pun waktu itu rasa malas nak meninggalkan Yut Sun. Tetapi Kuala Lumpur masih jauh dan kami tidak mahu terperangkap dalam jaringan waktu.

Kami berempat berjalan perlahan meredah hujan. Tidak rasa pula nak berlari ke kereta. Bayangkanlah kalau Taiping adalah sebuah negara, dan bayangkanlah warganegara dan kerajaan yang memerintahnya. Nak pilihan raya pun entah berapa puluh tahun sekali, dan nak pilih seorang pemimpin baru, entah berapa ratus tahun lamanya.


Menggeledah Perpustakaan

$
0
0

"Buku dekat rumah pun belum habis dibaca," jelas kebanyakan orang apabila saya tanya jika mereka sudah berkunjung ke Big Bad Woolf. Di rak perpustakaan saya pun ada banyak buku yang belum habis dibaca (dan mungkin tidak akan pernah habis). Tetapi adakah kita pernah selesai membaca sebuah buku? Halaman pertama dan halaman ke-300 dalam sebuah novel berdiri sebagai tembok sempadan yang mengawal perjalanan cerita dan waktu pembacaan kita. Tidak kisahlah apa novel kita baca, kita akan rasa puas apabila kita sampai ke penghujungnya. Kemudian selepas beberapa jam atau beberapa hari, kita akan mula tertanya-tanya: adakah ceritanya berakhir di situ sahaja? Bagaimana kalau saya memanjat tembok terakhir? Bagaimana kalau saya berdiri di atasnya dan membiarkan imaginasi saya terbang dan menggelintar ke dunia tanpa batas di sebelah sana?

Tahun ini boleh dikatakan tahun paling sedikit saya membeli buku di Big Bad Woolf. Bahagian buku fiksyen dikurangkan dan ditambah meja untuk buku kanak-kanak dan buku bahasa Melayu. Saya dan Ainunl pulang dengan beg plastik kurang daripada lima. Saya belum pernah pergi ke Big Bad Woolf seorang diri. Selalunya hanya saya dan isteri saya, Ainunl (salah satu rutin tahunan kami). Kali ini saya membawa Azrin, Sufian Abas, dan Aan Mansyur. Membeli-belah buku harus dilakukan secara berjemaah kerana apabila kita melihat orang lain memasukkan buku secara pukal ke dalam troli, kita pun jadi teruja nak melakukannya.

Ini mengingatkan saya kepada haiku yang saya temui dalam buku puisi Billy Collins berjudul Aimless Love: New and Selected Poems (kebetulan memang dibeli di Big Bad Woolf). Haiku itu ditulis oleh Soshi dan ia berbunyi begini:


Walking the dog,
you meet
lots of dogs.


Sangat mudah dan sangat organik imej dalam haiku ini. Ibarat muzik yang tidak pernah berhenti berputar. Saya kira apabila saya membeli (atau membaca) buku, saya mengalami pengalaman sama dengan penyair haiku tersebut. Saya menemui seorang pengarang dan daripada seorang pengarang, saya menemui ratusan pengarang berjalan senyap di belakangnya.

Judul "Menggeledah Perpustakaan" saya pinjam daripada esei Geoff Dyer "Unpacking My Library" yang dia sendiri pinjam daripada esei Walter Benjamin dengan judul yang sama. Saya lebih menyenangi esei Dyer kerana saya tidak pernah melihat diri sebagai seorang pengumpul buku seperti Benjamin. Salah satu keseronokan menggeledah perpustakaan ialah melihat kembali - dengan rasa kagum - buku yang telah dibeli selama beberapa tahun. Dyer menceritakan keterujaan ini dalam eseinya:

"Finding myself, at last, in the perfect situation for, I don't want to do any work. I can't go for more than a few moments without sliding back my chair and gazing with massive self-love at my library. Needless to say, I have no impulse to read. Books are to be arranged and classified, shuffled around. At the very most I want to take a volume from the shelves, consult it, perhaps smell it, and replace it, carefully. Sometime in the future I may want to add a few incremental volumes but, for the moment, I just want to sit here, gazing at my life. For that's what it is, this library; it's not just the story of my life, it is my life."

Ketika menggeledah perpustakaannya, Dyer kata dia tidak ingin membaca; tetapi semakin saya menggeledah buku, semakin saya rasa ingin membaca. Terutama sekali novel yang bertahun tidak diulang baca - seperti Epitaph of a Small Winner oleh Machado de Assis, atau Don Quixote oleh Cervantes. Isteri saya baru setahun berpindah tinggal bersama saya. Koleksi bukunya sahaja pun banyak gila - bayangkanlah apabila ia bergabung dengan perpustakaan saya. Mula-mula  kami campak semua buku di atas katil tetamu kerana rak tidak cukup. Kemudian apabila ada rak, kami cadang nak susun buku mengikut abjad dan kategori. Malangnya sampai sekarang kami belum buat. Apa boleh buat, buku bukanlah benda paling penting dalam sebuah perkahwinan, lebih-lebih lagi ketika harga barang runcit mahal dan harga minyak petrol naik setiap minggu. 

"Buku adalah seperti hantu," kata Roberto Bolano. Dan melihat buku-buku yang bersepah di atas lantai perpustakaan ini, saya terfikir, hantu mana saya patut simpan dan hantu mana saya patut tendang masuk ke neraka?
      

Apa-Apa Yang Ditambah Kosong: Perbualan Bersama Syafiq Ghazali

$
0
0


Sewaktu saya kali pertama membaca tulisan Syafiq Ghazali beberapa tahun lepas, ada dua benda timbul di fikiran saya: budak ini minat Paul Auster dan dia seorang pencinta kucing. Sekarang dia sudah ada sebuah novel (Jahat) dan dua kumpulan cerpen (Bahagia di dalam Balang Kaca dan DebuBidadari). Syafiq rajin menulis cerita dan ceritanya sentiasa berjalan di garisan yang mudah untuk kita ikuti walaupun ia mungkin menyimpang ke dunia di luar batas kebiasaan. Terbaru cerpennya berjudul "Apa-apa yang Ditambah Kosong" telah memenangi Hadiah Sastera Selangor Kategori Cerpen. Syafiq tinggal dan menulis di Kelantan, jadi memang susah untuk saya jumpa dan berborak panjang dengannya. Dua hari lepas kami bertemu di kamar media sosial dan bertukar pendapat di sana.

* * *
Satu malam dia terjaga dan mendengar satu suara yang tak jelas dan berkutil-kutil persis rintihan orang yang selalu dilibas cemeti berduri. Dia mencari punca suara itu dan mendapati ia berpunca dari dalam dirinya. Ia suara kesepiannya. Dia menekup telinganya, cuba menyekat suara itu dari imaginasinya, dan sehingga matahari tercuit dari perut bumi dan ayam melaungkan kokokan, dia masih melakukannya.
Kemudian ia bertambah teruk: satu pagi dia disergap sawan. Sebabnya dia tak dapat merasa dirinya sendiri. Dia meragui sentuhan tangan dan pandangan matanya. Dia fikir mustahil untuk buktikan kewujudan diri melalui pengetahuannya sendiri; ia hanya boleh dilakukan melalui pengetahuan orang lain, dan itu hanya boleh terlunas jika ada orang yang bercakap atau menyentuhnya. Tapi dia kini seorang diri.

* * *
AZRIQ: Ada dua ideologi besar dalam cerpen yang kau tulis. Pertama, "apa-apa yang ditambah kosong akan menjadi kosong;" kedua ialah ideologi yang "mengatakan apa-apa yang ditambah kosong akan menghasilkan apa-apa." Semua ini berlaku di kota bernama Ou Tis. Aku memang terus fikir cerpen Borges berjudul "Tlon, Uqbar, Orbis Tertius." Kau setuju tak dengan persamaan ini atau ia hanya kebetulan sekala kosmik?

SYAFIQ: Memang cerita itu diinspirasikan daripada cerita Borges. Cuma aku dah lupa mana satu sebab draf awalnya aku tulis pada 2015 sewaktu aku sedang siapkan novel Jahat. Aku ingat sebab aku bercadang nak masukkan cerita tu dalam manuskrip. Tapi sebab tak ada idea nak kembangkan, aku pilih untuk memasukkan cerita lain (pasal Panoptikon). Aku belek semula buku Borges dan memang ada persamaan. Tapi anehnya aku tak rasa aku pernah baca cerita tu. Mungkin aku tak habiskannyya sebab terlalu panjang. Cerita dia yang pendek pun dah kompleks, ini kan pula yang panjang haha. Jadi aku tak dapat beri jawapan samada cerita tu beri aku inspirasi untuk tulis draf asalnya atau tak. Mungkin secara bawah sedar inti cerita tu masuk ke dalam kepala aku. Tapi yang pasti cerita Borges yang berjaya buat sudahkan cerpen tu adalah "The Circular Ruins". Bahagian kedua cerpen aku ada persamaan dengan cerita tu dari segi mimpi, meditasi, dan pencerahan.

A: Sebelum ini cerpen kau berselisih bahu antara realiti dan fantasi. Kali ini kau terjun terus ke alam abstrak dan filsafat. Malah wajah Kota Bharu pun sudah tidak kelihatan. Adakah Syafiq Ghazali sedang masuk ke fasa baru yang lebih gelap dan metafizikal?

S: Kalau terjun terus ke fasa metafizikal dan abstrak mungkin tak. Kalau sesekali menjengah tu bolehlah. Bergantung pada idea bagaimana yang singgah dalam kepala. Lagi pun cerpen gaya macam tu bukanlah makanan aku sebenarnya. Ia ibarat hidangan yang terlalu mahal sedangkan aku hanya mampu bayar untuk hidangan yang lebih murah.

A: Cerpen siapa kau rasa menawarkan hidangan murah tetapi berbaloi sedapnya?

S: Kalau penulis luar Raymond Carverlah. Kalau lokal Anas Mohd. Tapi nak kata cerpen Anas murah macam tak best pula. Lebih tepat lagi cerpen dia simple tapi sangat sedap. Baca Tentang Aku &Perempuan Sigaret buat aku ragu-ragu dengan kemampuan aku sendiri. 

A: Kau dengar lagu tak bila menulis cerpen?

S: Malangnya tak. Aku tak minat sangat dengar lagu. Jadi boleh dikatakan aku sifar pengetahuan dalam soal lagu dan muzik. Aku selalu baca rata-rata penulis dengar lagu ketika menulis sebab ia bagi inspirasi dan mood. Aku pernah cuba tapi tak rasa sangat perbezaannya. Kalau aku ada minat mungkin ia beri kesan.

A: Ni kalau Murakami tahu, dia pasti kecewa dan sumpah kau jadi kucing.

S: Haha. Entahlah, mungkin sebab aku tak membesar dengan lagu. Dulu aku pernah cuba nak jinakkan diri dengan lagu. Aku cuba dengar Nirvana, tapi tak dapat rasa sedapnya. Lepas tu aku cuba dengar The Cranberries. Aku suka tapi tetap tak dapat buat aku jatuh cinta pada lagu dan muzik.

A: Kalau muzik tak boleh beri kau inspirasi, bagaimana pula dengan percintaan?

S: Kalau ikutkan cerpen-cerpen yang aku tulis, boleh dikatakan percintaan tak begitu beri kesan. Yang lebih banyak beri inspirasi adalah novel, cerpen, komik yang aku baca. Dan juga berita atau artikel yang menarik. Dan juga bila tengok kucing aku.

A: Dari dulu aku perasan kau minat kucing. Montaigne pun minat kucing. Dia pernah kata, "Apabila saya main dengan kucing, saya tidak pasti dia sedang main dengan saya atau saya main dengannya?" Kalau kucing kau boleh baca cerpen, kau nak dia baca cerpen kau yang mana?

S: Aku suka kucing sebab bila kau tengok ke dalam matanya, dia tengok ke dalam mata kau balik. Ada satu rasa yang mutual kat situ, rasa yang tak ada pada binatang lain. Lagipun perangai kucing lebih kurang manusia juga. Aku nak kucing aku baca cerpen "Manual Memasukkan Kucing ke dalam Peti Sejuk"  sebab ia nakal macam dia. Tapi cerpen tu belum siap. Jadi kalau yang lama dia boleh baca "Virginia Hilang di dalam Bah." Sebab ia terinspirasi terus daripadanya.

A: Kau lebih rela jadi anak Paul Auster atau adik angkat Roberto Bolano?

S: Dilema juga ni. Dua-dua aku sangat suka. Tapi kalau perlu pilih salah seorang, aku pilih Bolano. Dia buat aku percaya dan yakin sastera boleh jadi sangat menyeronokkan. 

A: Terima kasih Syafiq. Jangan lupa belanja aku minum bila datang KL.

S: Sama-sama. Semestinya. 
        
Viewing all 260 articles
Browse latest View live