Quantcast
Channel: KRITIKUS SASTERA
Viewing all 260 articles
Browse latest View live

Lima Novel Terbaik 2017

$
0
0

Saya akan mula dengan menyebut novel terbaik 2016 iaitu Light Years karangan James Salter. Sepanjang tahun ini Azrin Fauzi berkali-kali mengingatkan saya supaya menyiapkan senarai novel terbaik tahun lepas. Masalahnya Light Years ialah karya yang terlalu indah bahasanya sehingga susah untuk saya mencari bentuk atau penyusunan ayat yang akan memberi keadilan sewajarnya kepada buku ini. Cukuplah untuk saya katakan bahawa Light Years bukan sahaja novel terbaik saya baca pada tahun 2016, ia juga novel realisme terbaik yang pernah dikarang oleh seorang penulis Amerika.



* * *

Pada tahun ini saya tidak bercadang untuk menyenaraikan sepuluh buah novel seperti selalu, sekadar pilih lima yang terbaik. Malah ulasan saya pun ringkas. Saya harus akui tahun ini merupakan tahun paling sedikit saya membaca novel. Tenaga juga banyak dihabiskan ketika menulis dan menyusun novel keenam saya Di Kala Bulan Bermain Biola. Kenapa saya masih membaca novel? Barangkali ini soalan aneh dan tolol kerana seorang novelis sudah tentu akan membaca novel. Tetapi ada ramai juga penulis saya kenal yang tidak lagi membaca novel baru melainkan mengulangi membaca novel-novel kegemaran pada zaman muda mereka. Kalau mereka cuba membaca pun novel terkini Haruki Murakami atau Paul Auster, mereka tidak akan menemui apa-apa keistimewaan di dalamnya. Barangkali ia masalah generasi juga. Kalau penulis senior tidak tahan membaca Murakami, saya kira ada ramai juga penulis muda yang tidak tahan membaca Hemingway atau John Steinbeck. Baru-baru ini saya temui komen Peter Handke tentang novel Knausgaard My Struggle. Dia tidak boleh membaca buku itu kerana menurutnya tulisan Knausgaard "tidak ada udara." Dia percaya, "Sastera memerlukan udara." Saya tidak tahu apa udara yang Handke maksudkan kerana setiap kali saya membaca My Struggle, saya mendapat udara yang lebih daripada cukup. Handke pengarang yang lebih senior dan gaya bahasanya pun sangat berbeza dengan Knausgaard. Adakah ini masalah generasi atau sekadar citarasa terbatas seorang pengarang lama? Kemudian saya teringat: Knausgaard tidak suka novel Murakami. Mungkin udara Murakami tidak cukup Jepun. Apa-apalah. Ia sekurang-kurangnya menjawab soalan saya tadi: saya membaca novel - dan akan terus membaca novel - kerana saya tidak pernah mempunyai ruang cukup untuk bernafas. 

* * *
Saya jarang memasukkan novel klasik ke dalam senarai ini. Saya fikir novel klasik seperti MadameBovary atau Anna Karenina akan sentiasa dibaca oleh setiap generasi; ia tidak memerlukan sebarang sokongan dan pujian daripada saya. Tetapi kadang-kadang kita terlupa kenapa novel klasik masih ada bersama kita ibarat tukul yang tersimpan lama di dalam almari garaj. Di saat kita mencarinya, ia masih boleh digunakan, dan masih boleh membuat seseorang tercedera jika dipakai dengan terlalu kuat. Kalau tidak salah saya Thomas Bernhard tidak suka ahli falsafah bangsanya sendiri (Martin Heidegger misalnya), maka saya boleh membayangkan kemarahannya kalau saya kata membaca tulisannya adalah ibarat tangan yang dihentam tukul secara bertalu-talu. Tetapi saya tidak berdrama. Membaca Extinction memang menyakitkan sehingga saya terpaksa berhenti dan menunggu kemarahan dalam dada saya surut sebelum saya sambung membaca. Selain Bernhard, hanya Coetzee boleh membuat saya rasa begini. Tetapi Coetzee masih menggunakan cerita dan ketegangan di antara watak. Sementara Bernhard hanya memerlukan bahasa untuk membuat nadi kita melompat-lompat. Extinction sangat sesuai dibaca selepas ibu bapa menghalau kita daripada rumah, atau ketika kita merindui seorang pak cik yang jarang datang ke rumah kerana dia tidak tahan dikelilingi oleh orang ramai dan kerana dia berbeza daripada semua orang dalam keluarga.       


Ini adalah seorang novelis yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana Paul Auster sudah banyak kali masuk ke dalam senarai novel terbaik saya. 4321 bukan sahaja novel paling tebal dia pernah tulis, ia juga merupakan karyanya paling kompleks dan epik. Selalunya apabila sebut epik, kita akan terbayang novel seperti Moby Dick atau Karamazov Brothers (pengembaraan luar biasa dan pertembungan ideologi berbeza). Tetapi 4321 mengisahkan perjalanan hidup seorang lelaki bernama Ferguson. Kita membesar bersamanya dan kita dapat melihat empat kemungkinan (1, 2, 3, 4) yang boleh berlaku sekiranya dia menempuh jalan kehidupan berbeza. Secara teknikal, Auster memang bekerja keras untuk novel ini melebihi mana-mana novelnya yang saya pernah baca. Adakah hasilnya sama besar dengan skala epik yang dia ingin bawa? Menurut saya, Auster belum sampai ke tahap itu. Bahasa dan teknik naratifnya masih tipikal Auster. Ia mengingatkan saya kepada novel Murakami 1Q84 yang juga tidak menawarkan apa-apa pembahuruan kecuali memuaskan kerinduan kita sebagai seorang peminat.


Nak mencari novel komedi sangat susah dan bukan semua pengarang ada bakat untuk berkomedi (sesiapa pun boleh menulis drama dan tragedi). Fiksyen Malaysia yang paling lucu saya baca tahun ini ialah cerpen Anas dan novel Hadi M. Nor, kedua-dua pengarang baru yang bakal mengubah landskap pembacaan kita. Kemudian saya juga temui novel komedi falsafah Lars Iyer berjudul Exodus. Saya pertama kali menemui tulisan orang ini beberapa tahun lalu apabila ada makalah online menyebut novel Spurious yang bermula daripada blog dengan judul yang sama. Lars Iyer menggunakan kaedah komedi duet di mana dua watak saling berdialog dan saling mengkritik tindakan masing-masing. Kita menemui kaedah ini dalam novel Cervantes Don Quixote dan juga novel Flaubert Bouvard et Pecuchet. Exodus merupakan bahagian daripada trilogi yang dimulai oleh Spurious. Lars Iyer memperkenalkan watak Lars dan W., dua orang profesor falsafah yang sangat meminati Kierkegaard, tetapi pada masa sama, agak bengap dan tolol. Pemerhatian dan pendapat mereka tentang falsafah Eropah dan budaya universiti di England sangat melucukan dan bersahaja. Ini bukann novel untuk semua orang, tetapi peminat falsafah Eropah dan sastera kontemporari akan menikmati jenaka Lars Iyer yang manis dan bergetah.


Novel Jean-Philippe Toussaint Self-Potrait Abroad juga padat dengan jenaka seperti novel Lars, tetapi ketawa kita bukan ketawa hal-hal intelektual; bakat Toussaint  ialah melihat dan memberi warna kepada benda-benda harian dan membosankan. Setiap bab disusun mengikut negara yang dilawati oleh naratornya (Jepun, Czech, Vietnam antaranya). Ketebalan novel ini hanya sekitar 80 halaman dan Toussaint menggunakan setiap ruang dengan sebaik-baiknya. Malah kalau kita nak bercakap tentang karya minimalis, saya rasa kita mesti terlebih dahulu merujuk kepada tulisan Toussaint dan bukannya cerpen Raymond Carver. Minimalis menurut saya bukan soal menulis ayat dan dialog ringkas semata-mata; lebih penting adalah memadatkan waktu dan pengalaman harian manusia ke dalam bentuk naratif yang paling mudah dan senang dicerna imejnya.


Selepas saya selesai membaca novel Samanta Schweblin Fever Dream, ada dua benda yang berlaku kepada saya. Pertama, badan saya rasa seram sejuk seolah saya baru bangkit daripada mimpi ngeri. Kemudian saya terfikir, kalaulah novel ini ditulis oleh seorang pengarang Amerika (Schweblin ialah pengarang dari Argentina), adakah ia akan terbit sebagai novel sastera atau novel weird fiction? Secara mudahnya novel ini mengisahkan akibat yang berlaku apabila seorang ibu menggunakan ilmu bomoh untuk memindahkan roh anaknya yang sedang nazak ke tubuh anak lelaki lain. Fever Dream tidak memberikan langsung ruang untuk kita bernafas kerana suspensnya berterusan dari mula hingga akhir cerita. Kenapa saya pilih Fever Dream sebagai novel terbaik 2017? Apabila saya melihat kembali novel-novel terbaik saya pernah pilih untuk blog ini (seperti My Struggle dan Bartleby andCo.) saya boleh rumuskan semuanya dalam satu perkataan: baru. Bukankah itu juga maksud literal novel, sesuatu yang baru. Dan bila kata baru, benda baru apa yang saya cari? Permainan plot? Pemikiran? Ideologi? Watak segar? Gaya bahasa kompleks? Semua unsur itu penting, tetapi pembaharuan saya paling cari ialah pengalaman membaca novel yang berbeza. Tidak dinafikan, akhirnya, semua novel harus dibaca dari kiri ke kanan, dari halaman pertama hingga ke halaman paling belakang. Namun cara seorang pengarang mengisi perjalanan itu dan bagaimana dia membahagikan setiap halaman dan mengatur rentak pembacaan kita, akan menentukan di mana letaknya novel itu berbanding novel-novel yang telah datang sebelumnya. Sebagai sebuah novel, Fever Dream memang padat dan memuaskan; tetapi ia juga mempunyai satu kelebihan lain yang tidak ada pada kebanyakan novel berbentuk realisme: ia mencipta dunianya sendiri. Bandingan paling dekat saya boleh fikir adalah novel Henry James The Turn of the Screw atau cerpen terkenal Julio Cortazar "House Taken Over." Tanggapan kita tentang hubungan realiti dan alam bawah sedar bukan sahaja dicabar dalam karya-karya ini; kita juga akan mula mempersoalkan kesahihan sebuah cerita dan bagaimana fiksyen mempunyai kuasa untuk memukau dan membuat kita percaya sesuatu yang memang tidak akan pernah ada.
                    

Masa Depan Buku, Di Mana?

$
0
0

Soalan masa depan ini berada di fikiran semua orang sekarang, tetapi tidak ada sesiapa ingin menjawabnya. Politik. Ekonomi. Filem. Sastera. Kita menyerah. Menunggu. Tanpa berharap apa-apa akan berubah. Pagi tadi saya menerima WhatsApp daripada Azrin Fauzi tentang penutupan kedai buku Kitartb. Minggu lepas saya baca di Facebook yang Terfaktab dan Rabak-Lit telah diambilalih oleh syarikat baru bernama Write and Brave Publication. Menurut kenyataan media sosial syarikat baru ini, misi mereka adalah seperti berikut:

"... memastikan pembaca kembali membeli buku di kedai buku (rakan kongsi/rakan niaga). Kami tidak akan menjual sendiri buku yang baru terbit. Pengedaran buku adalah keutamaan kami. Kami hanya menjual sendiri jika buku-buku tersebut menjangkau tempoh yang lama atau kedai buku kembalikan semula stok kepada kami."

Saya menyokong sepenuhnya usaha untuk mengembalikan pembaca ke kedai buku, walaupun saya sedikit ragu-ragu akan kemampuan Write and Brave Publication untuk melaksanakannya. Pertama, mereka bukan pemilik toko buku besar seperti MPH atau Popular yang memang mempunyai sumber, tenaga kerja, dan pengankutan untuk memastikan buku yang masuk ke kedai mereka akan beredar ke seluruh negara. Malah dari sudut promosi atau potongan harga murah, ia lebih berkesan jika dilakukan melalui toko buku berbanding digerakkan sendiri oleh penerbit atau penulis (ingat, niat utama di sini ialah memastikan pembaca "kembali" ke toko buku). Kedua, adakah pembaca muda hari ini masih membeli buku di kedai? Soalan ini barangkali tidak relevan jika ditanya kepada penerbit buku agama, buku motivasi, atau buku rujukan sekolah. Namun memandangkan dua tiang asas syarikat Write and Brave Publication adalah Terfaktab dan Rabak-Lit, maka selamat untuk kita mengandaikan bahawa bahan yang mereka ingin terbit adalah untuk golongan Millennials. Turut ditulis dalam kenyataan media sosial itu bahawa pengedaran buku "adalah keutamaan kami." Setahu saya, kalau penerbitan mandiri, buku yang boleh jual laris dan beredar ke merata kedai buku adalah novel komersil (cinta, horor, jenayah dll) dan buku bukan-fiksyen separa ilmiah. Puisi? Novel sastera? Karya terjemahan? Cerpen? Jangan harap. Siapa masih ingat Buku Hitam Press yang dulu memang rajin terbitkan kumpulan cerpen dengan tema-tema berat? Entah di mana sekarang pun kita tidak tahu. 

Barangkali sebenarnya tanggapan saya tentang Write and Brave Publication awal-awal lagi sudah salah. Barangkali hasrat mereka bukan untuk menerbitkan buku berjiwa indie, tetapi buku-buku komersil untuk pasaran umum. Kalau begitu, ya teruskan membawa obor anda. Cuma saya tertanya-tanya juga, bagaimana buku komersil akan memastikan pembaca kembali ke kedai buku? Bukankah sudah ada banyak penerbit buku komersil dalam pelbagai bidang sedang melakukannya? Kalau di negera besar seperti Amerika, rumah penerbitan kecil memang menggalakkan pembaca untuk membeli buku di kedai atas dasar solidariti untuk toko-toko buku kecil. Situasi ini agak susah untuk berlaku di Malaysia kerana boleh bilang dengan jari toko buku kecil yang ada dan masih berdiri dengan kukuh. Dan apabila saya sebut toko buku kecil, saya bukan sedang bercakap tentang kedai alat tulis di Rawang atau pondok majalah di tepi hentian bas. Saya sedang bercakap tentang tempat seperti Tintabudi Bookshop di KL atau Bookalicious di Subang atau Gerak Budaya Bookshop di George Town atau BACA di Temerloh. Kalau kita nak bercakap tentang mengembalikan pembaca ke kedai buku, maka inilah tempat-tempat yang patut disokong kerana ia dibangunkan oleh orang-orang yang mencintai buku. Adakah tempat-tempat begini yang menjadi sasaran Write and Brave Publication? Kalau niat hanya untuk tembus senarai sepuluh buku terlaris MPH, maka apa bezanya syarikat anda dengan Fixi dan Dubook? Sekadar berhimpit-himpit dalam pasaran buku komersil yang memang sudah tepu dan mendatar kualiti bahan bacaannya. 

Baik, kita tinggalkan dulu Write and Brave Publication dan misi besar mereka. Menurut saya persoalan paling penting hari ini apabila kita membincangkan masa depan industri buku dan penulisan adalah: 

Bagaimana nak mengembalikan masyarakat membaca buku? 

Saya tidak kata masyarakat kita sudah tidak membaca, kerana dengan perkembangan teknologi digital, masyarakat Malaysia hari ini membaca dan mengumpul maklumat jauh lebih banyak berbanding generasi pada abad kedua puluh. Masalah kita adalah keutamaan hidup, terutama sekali buat mereka yang tinggal dan bekerja di bandar-bandar utama. Antara beras dan buku; antara minyak dan buku; antara sewa rumah dan buku; antara bil elektrik dan buku; antara cukai dan buku; antara kereta dan buku; antara kasut kulit dan buku; antara uniform sekolah dan buku; antara TV dan buku; antara PS4 dan buku; antara Netflix dan buku; antara Facebook dan buku; antara Twitter dan buku; antara Instagram dan buku; antara email dan buku; antara Spotify dan buku; antara YouTube dan buku; antara iPhone 8 dan buku; antara solat dan buku; antara bola dan buku; antara konsert dan buku; antara beer dan buku; antara kekasih dan buku; antara ibu bapa dan buku; antara Tuhan dan buku; antara simpan duit.... dan buku. Tidak kisahlah apa bandingannya. Buku sentiasa kalah.

Umberto Eco pernah ditanya sama ada buku akan pupus atau tidak? Menurut Eco, buku tidak akan pupus kerana ia sudah lama menjadi bahagian daripada hidup manusia, ibarat sudu dan garpu. Yang akan berubah barangkali adalah medium untuk membaca sebuah buku. Dan saya percaya ini sedang perlahan-lahan berlaku dalam masyarakat di seluruh dunia. Sebagai seorang novelis, adakah saya bimbang dengan perubahan ini? Bohong besar kalau saya kata saya tidak rasa bimbang. Menulis dan menerbitkan buku adalah pekerjaan utama saya selain membaca. Tetapi di sela-sela kebimbangan ini, saya juga teruja untuk melihat apa akan berlaku pada masa depan bahasa Melayu dan penulisan novel. Bagi saya bahasa bukan makhota yang berada di kepala seorang manusia atau sekelompok manusia. Ia tidak boleh dilindungi dengan membina tembok tinggi mengelilinginya. Bahasa berada di sekeliling kita; bahasa adalah bahagian daripada diri kita. Sekiranya kita ingin melindungi bahasa, kita harus membenarkan bahasa untuk hidup bebas, dan ada ketikanya membiarkan ia mati, supaya ia boleh bangkit dan hidup semula sebagai tubuh yang lebih bijak dan kaya dengan pengalaman.

Saya sedar masalah dunia perbukuan adalah masalah remeh-temeh di mata sebahagian masyarakat Malaysia hari ini. Kita dahagakan perubahan ekonomi, revolusi budaya, dan kedatangan seorang penyelamat bangsa. Adakah salah untuk kita berharap? Tidak. Adakah salah untuk kita melihat ke depan? Tidak. Adakah salah untuk kita memilih yang satu dan menolak yang lain? Tidak. Kita harus memilih dan kita harus berharap. Sekarang bukan masanya untuk berada di jalan tengah atau bergayut-gayut di atas pagar atau menyorok di dalam lumpur sambil memeluk salib dan molotov. Sekiranya hari ini kita tidak mampu untuk meruntuhkan penjara atau mencabut kasut tumit tirani, maka pulanglah ke rumah dan susun buku untuk anak-anak kita yang akan pulang dengan luka dan mata merah di hati.

Raymond Carver: Kenapa Kalian Tak Berdansa?

$
0
0
Saya ingat ada suatu masa saya membaca Raymond Carver hampir setiap hari. Bahasa dan dialognya yang ringkas kelihatan seperti mudah untuk ditiru (kalau setakat dua watak berbual-bual kosong, aku pun boleh buat). Tapi ternyata tidak; sangat-sangat tidak. Kadang-kadang saya akan tarik buku Carver dari rak dan saya akan baca secara rambang mana-mana cerpennya untuk ingatkan diri bahawa saya masih tidak boleh (dan tidak akan boleh) menulis sepertinya. 



Kenapa Kalian Tak Berdansa?
Oleh Raymond Carver

Terjemahan oleh Dea Anugrah


DI dapur, dia menuang minuman lagi dan memandangi isi kamar tidurnya di halaman depan. Kasur telanjang. Seprai bergaris-garis terlipat di samping dua bantal di atas lemari laci. Benda-benda lain tampak sebagaimana saat masih di kamar—meja kecil dan lampu baca di samping ranjang di sisinya, meja kecil dan lampu baca di sisi istrinya.
Sisinya, sisi istrinya.
Dia memikirkan itu sambil menyesap wiski.
Ada meja rias beberapa langkah dari ujung bawah ranjang. Dia memindahkan isinya ke sejumlah kardus pagi-pagi, dan kardus-kardus itu kini teronggok di ruang tamu. Pemanas ruangan mungil terpacak di samping meja rias. Kursi rotan dengan bantal hias bersandar di ujung bawah ranjang. Seperangkat alat dapur alumunium yang mengkilap berdesakan di jalur menuju garasi. Sehelai muslin kuning yang kelewat besar, hadiah dari seseorang, melapisi meja dan ujung-ujungnya terjulai. Di atasnya ada pot berisi tanaman fern, sekotak sendok-garpu, dan sebuah pemutar piringan hitam—juga pemberian orang.
Televisi model konsol berukuran besar bercokol di atas meja kopi, dan beberapa langkah dari situ ada sofa dan kursi dan lampu tegak. Dia mendesakkan meja kerja ke pintu garasi. Beberapa perkakas tergeletak di atasnya, juga sebuah jam dinding dan dua gambar berbingkai. Di jalur menuju garasi ada pula kardus-kardus berisi cangkir, gelas, dan piring, yang masing-masing terbungkus koran. Dia membongkar semua lemari pagi itu. Selain tiga kardus di ruang tamu, semua barang dikeluarkannya dari rumah. Rol kabel menghubungkan barang-barang elektronik dengan colokan listrik di dalam. Segalanya berfungsi, seperti saat masih di dalam.
Sesekali ada mobil melintas pelan dan orang-orang di dalamnya memandangi barang-barang itu, tetapi tak satu pun berhenti. Seandainya jadi mereka, pikirnya, dia pun takkan berhenti.
“Kayaknya ada bazar barang bekas,” kata seorang gadis kepada laki-laki muda yang bersamanya.
Mereka sedang menggenapi apartemen kecil yang mereka tinggali.
“Mari tanya berapa harga ranjang itu,” kata si cewek.
“Dan teve itu,” ujar si cowok.
Si cowok memarkir mobil di jalur menuju garasi, tepat di depan meja dapur.
Mereka turun dan mulai memeriksa barang-barang. Si cewek menyentuh kain muslin, si cowok mencolokkan kabel blender dan menjajal mode CINCANG. Si cewek meraih sebuah loyang, si cowok menyalakan televisi dan memutar-mutar kenopnya.
Si cowok duduk di sofa dan mulai menonton. Dia menyalakan rokok, memandang berkeliling, dan menjentikkan korek kayu bekas ke rumput.
Si cewek duduk di ranjang. Dia melepas sepatu dan berbaring, seakan-akan hendak memandangi bintang-bintang. “Sini, Jack!” katanya. “Cobalah kasur ini, bawa salah satu bantal itu.”
“Empuk?” kata si cowok.
“Coba sendiri.”
Si cowok memandang berkeliling. Rumah itu gelap.
“Aku sungkan,” kata si cowok. “Biar kupastikan apakah tuan rumah ada di dalam.”
Si cewek mengempas-empaskan badannya di kasur.
“Coba dululah,” katanya.
Si cowok berbaring dan mengganjal kepalanya dengan bantal.
“Bagaimana?” tanya si cewek.
“Terasa mantap,” katanya.
Si cewek memiringkan badan dan menempelkan tangannya di pipi si cowok.
“Cium aku,” katanya.
“Ayo bangun,” kata si cowok.
“Cium dulu.”
Si cewek memejamkan matanya dan memeluk si cowok.
Si cowok berkata, “Biar kuperiksa dulu apakah ada orang di rumah itu.”
Tetapi dia hanya duduk dan diam, pura-pura menonton televisi.
Lampu-lampu mulai menyala di rumah-rumah lain di sepanjang jalan itu.
“Sepertinya lucu juga kalau,” kata si cewek. Dia cengar-cengir dan tak menyelesaikan kalimatnya.
Si cowok tertawa, tetapi tak tahu mengapa. Dan tanpa tahu mengapa, dia menyalakan lampu baca di sisinya.
Si cewek mengibas-ngibas nyamuk, sementara si cowok berdiri dan merapikan kemejanya.
“Biar kuperiksa apa ada orang,” katanya. “Mungkin rumah itu kosong, tapi kalau  penghuninya ada, aku mau menanyakan apa yang terjadi.”
“Berapa pun harga yang mereka sebutkan, tawar sepuluh dolar lebih rendah. Biasanya begitu,” kata si cewek. “Lagi pula mereka pasti sedang kepepet atau semacamnya.”
“Tevenya boleh juga,” kata si cowok.
“Tanya harganya.”

Pria itu turun dari trotoar, menjinjing kantong belanjaan. Dia membawa beberapa roti tangkup, bir, wiski. Dia melihat mobil pasangan itu di jalur menuju garasi dan si cewek di atas ranjang. Dia melihat televisi menyala dan si cowok di teras.
“Halo,” katanya kepada si cewek. “Kau menemukan ranjang. Bagus.”
“Hai,” kata si cewek sembari bangkit. “Aku cuma mencobanya.” Dia menepuk-nepuk kasur. “Boleh juga.”
“Memang ranjang bagus,” kata si pria. Ia meletakkan kantong belanjaannya dan mengambil bir dan wiski.
“Kami pikir tak ada orang,” kata si cowok. “Kami berminat pada ranjang dan, mungkin, teve. Mungkin meja kerja itu juga. Berapa yang kaumau untuk ranjang ini?”
“Kupikir lima puluh dolar pantas,” kata si pria.
“Bagaimana kalau empat puluh?” tanya si cewek.
“Boleh.”
Pria itu mengambil gelas dari kardus. Dia melepaskan koran yang membungkusnya, lalu membuka segel wiski.
“Teve berapa?” tanya si cowok.
“Dua puluh lima.”
“Bagaimana kalau lima belas saja?” tanya si cewek.
“Boleh. Kukira lima belas boleh,” jawab si pria.
Si cewek menatap si cowok.
“Kalian bakal kepengin minum, Dik,” ujar si pria. “Gelas-gelas kutaruh di kardus itu. Aku akan duduk. Aku akan duduk di sofa.”
Pria itu duduk di sofa, merebahkan punggungnya di sandaran, dan memandangi si cowok dan si cewek.
Si cowok mengambil dua gelas dan menuangkan wiski.
“Cukup,” kata si cewek. “Aku mau punyaku dicampur air.”
Dia mengambil kursi dan duduk di meja dapur.
“Ada air di keran sebelah sana,” ujar si pria. “Putar saja.”
Si cowok kembali dengan wiski campur air. Dia mendeham dan ikut duduk di meja dapur. Dia menyeringai. Tetapi dia tak meminum apa-apa dari gelasnya.
Pria itu menatap televisi. Dia menghabiskan minuman dan mengisi gelasnya lagi. Dia menjulurkan tangan buat menyalakan lampu tegak. Rokoknya terlepas dari jari dan jatuh di antara bantal-bantal.
Si cewek bangkit untuk membantunya mencari.
“Jadi, apa saja yang kaumau?” ujar si cowok kepada si cewek.
Cowok itu mengeluarkan buku cek dan menjepitnya dengan bibir seakan-akan dia sedang berpikir.
“Aku mau meja kerja,” kata si cewek. “Berapa harganya?”
Si pria mengibaskan tangan, menepis pertanyaan tak masuk akal itu.
“Sebut angka,” katanya.
Dia melihat mereka duduk di balik meja dapur. Wajah keduanya yang terkena cahaya lampu mengesankan sesuatu. Mungkin baik, mungkin buruk. Entahlah.

“Aku mau mematikan teve dan menyetel musik,” kata si pria. “Pemutar vinyl ini juga dijual. Murah. Tawar saja.”
Dia menuangkan wiski lagi dan membuka sekaleng bir.
“Semuanya dijual,” ujarnya.
Si cewek mengulurkan gelas dan pria itu menuangkan wiski.
“Terima kasih,” kata si cewek. “Kau baik sekali,” kata si cewek.
“Minuman ini naik ke kepalamu,” kata si cowok. “Aku merasakannya naik ke kepalaku.” Dia mengangkat dan mengguncang-guncang gelasnya.
Si pria menghabiskan minuman dan mengisi gelasnya lagi, lalu dia menghampiri kardus berisi piringan-piringan hitam.
“Pilih salah satu,” katanya kepada si cewek sembari menyodorkan beberapa.
Si cowok menulis cek.

“Ini,” kata si cewek, memilih satu, asal saja, sebab dia tak kenal nama-nama di label rekaman-rekaman itu. Dia bangkit dari kursinya dan duduk kembali. Dia tak mau duduk diam.
“Sisanya kubayar tunai,” kata si cowok.
“Oke,” kata pria itu.
Mereka minum. Mereka mendengarkan rekaman. Dan kemudian pria itu menggantinya dengan rekaman lain.
Dia memutuskan buat mengatakan: anak-anak muda, mengapa kalian tak berdansa saja? dan mengatakan, “Kenapa kalian tak berdansa?”
“Tidak, ah,” kata si cowok.
“Silakan saja,” kata pria itu. “Ini halamanku. Kalian boleh berdansa kalau mau.”
Lengan melingkari satu sama lain, tubuh saling menekan, cowok dan cewek itu bergerak maju-mundur di jalur menuju garasi. Mereka berdansa. Dan mereka berdansa lagi saat album itu selesai, dan ketika album kedua rampung, si cowok berkata, “Aku mabuk.”
Si cewek membalas, “Kau tidak mabuk.”
“Yah, aku mabuk,” kata si cowok.
Pria itu memutar ulang piringan hitam dan si cowok berkata, “Aku mabuk.”
“Ayo dansa denganku,” kata si cewek kepada si cowok, lalu kepada si pria, dan ketika si pria berdiri, dia menghampirinya dengan lengan terbuka.

“Orang-orang di sebelah sana memperhatikan,” katanya.
“Cuek saja,” kata si pria. “Ini rumahku,” katanya.
“Biar mereka memperhatikan,” kata si cewek.
“Ya,” kata pria itu. “Mereka pikir mereka sudah melihat semuanya di tempat ini. Tetapi mereka belum melihat ini, kan?” ujarnya.
Si pria merasakan napas si cewek di lehernya.
“Kuharap kau suka ranjangmu,” kata pria itu.
Si cewek memejam lalu membuka matanya. Dia membenamkan wajah di bahu pria itu. Dirapatkannya tubuh pria itu ke tubuhnya.
“Kau pasti putus asa atau semacamnya,” kata si cewek.

Beberapa pekan kemudian, cewek itu berkata: “Pria itu kira-kira paruh baya. Semua barangnya digelar di halaman. Serius. Kami teler dan berdansa. Di jalur ke garasi. Ya tuhan. Jangan ketawa. Dia menyetelkan album-album ini buat kami. Lihat pemutar piringan hitam ini. Dia memberikannya begitu saja. Dan semua album sampah ini. Coba lihat sampah ini.”
Ia terus bicara. Ia bicara ke semua orang. Ada sesuatu yang melampaui semua itu dan ia mencoba mengatakannya. Namun, tak lama kemudian, ia berhenti mencoba.

Pertemuan Malam Tahun Baru Cina dengan seorang Penulis Berjiwa Sentimental

$
0
0

Saya kali pertama berjumpa dan berbual dengan Syahmi Fadzil dua tahun lepas ketika novel sulungnya Insta baru diterbitkan. Kami berjalan keluar dari pesta buku di MAEPS Serdang (tempat paling jahanam untuk mengadakan pesta buku) dan saya mengajak Syahmi untuk minum kopi. Memandangkan Syahmi ini orang Kelang, saya mencadangkan sebuah kafe di Shah Alam supaya senang dia memandu pulang nanti. Kebanyakan penulis saya kenal (tidak kisahlah muda atau ultra-mapan) memang pendiam - a man of few words bak kata orang puteh - dan kalau mereka cakap banyak pun, selalunya mereka hanya mengutuk penulis lain atau kawan mereka sendiri yang mereka sangka lebih pandai bercakap daripada mereka. Syahmi juga pendiam, berkaca mata, berambut gondrong yang lebih sepadan dengan imej seorang penyair atau penyanyi rock berbanding seorang novelis avant-garde. (Lagipun apa yang romantiknnya tentang seorang novelis?) Tanpa dia menyalakan sebatang rokok pun saya tahu dia seorang mamat rebel yang berjiwa sentimental.    

Bulan lepas saya mengambil seorang penumpang Chile bernama Francisco. Saya memandunya dari Hotel Seri Pacific ke stesen KL Sentral. Perjalanan itu singkat, dia sempat memuji kecantikan kota Kuala Lumpur, dan rutin kerjanya yang harus berulang-alik dari Santiago ke Malaysia. Dia juga memaklumkan kepada saya suatu berita yang menyedihkan: kematian penyair Nicanor Parra. Saya sangka Parra masih hidup; rupa-rupanya dia meninggal dunia pada bulan Januari lepas. "He was a genius. He could do anything, not just poetry," Francisco bercerita ketika kereta saya menghampiri pintu utama KL Sentral. Suara Francisco perlahan dan tersusun (barangkali tanggapan klise bahawa orang Chile sensitif dan bercakap perlahan seolah berbisik, ada benarnya). Kalaulah perjalanan itu lebih lama, pasti banyak cerita yang saya boleh dapat daripadanya.

Semalam Anas Mohd. berkongsi di Instagram pertemuannya bersama penyair ikon Melaka Salleh Ben Joned. Barangkali Salleh ialah sosok paling mirip Nicanor Parra kita akan dapat (walaupun genius mereka sangat jauh berbeza). Hanya penyair boleh menjadi legenda ketika masih hidup, dan apabila anda menjadi legenda, anda tidak perlu turun padang bertemu peminat. Biar peminat datang mencari anda di rumah. Dan dalam kes Nicanor Parra, dia pernah dikunjungi oleh Roberto Bolano dan Alejandro Zambra. Saya ingat Bolano pernah tulis tentang kucing-kucing yang datang ke rumah Parra untuk diberi makan oleh "penyair terbaik dalam bahasa Sepanyol". Sama seperti dirinya juga, dia datang ke rumah Parra untuk diberi makan.

Malaysia mempunyai sejarah penulisan biografi yang sangat teruk; ia hampir tidak wujud. Sehingga ke hari ini belum ada orang menulis secara komprehensif biografi Shahnon Ahmad atau Arena Wati atau T. Alias Taib, sekadar beberapa nama. Selalunya sarjana yang akan membuat kerja ini kerana penulisan biografi memerlukan penyelidikan yang sangat terperinci, bukan sahaja kehidupan seorang penulis tetapi latar budaya dan politik setiap zaman. Malaysia belum ada seorang James Boswell atau seorang Richard Ellmann yang membina karier melalui penulisan biografi secara profesional. Penting sangatkah biografi? Bukankah sebuah novel atau puisi boleh dibaca tanpa kita mengetahui sejarah hidup pengarangnya? Ya, memang boleh, namun apa salahnya kita memperkayakan lagi pengalaman pembacaan kita dengan sesuatu karya. Bayangkan kalau kita tidak pernah tahu masalah rendah diri yang Kafka alami terhadap ayahnya, barangkali kita masih akan meneka-neka makna serangga dan binatang dalam cerpennya. Saya mempunyai dua buku biografi mengenai Virginia Woolf, dan apabila saya membacanya saya bukan nak memburu hubungan langsung antara Mrs. Dalloway dengan Woolf. Saya sekadar nak memahami bagaimana Woolf berfikir, bagaimana dia melihat dunia dan orang lain, dan bagaimana perkara tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk prosa.

Dulu seorang wartawan bernama A. F. Yassin pernah menulis buku berjudul Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan. Ia bukanlah biografi, lebih kepada himpunan anekdot dan pertemuan wartawan ini dengan penulis-penulis Malaysia. Penulisannya santai dan paling hampir dengan apa kita boleh panggil sebagai gosip dunia persuratan. Buku ini mempunyai 64 bab mengenai 64 orang penulis, dan di bawah setiap bab diberi judul-judul yang memang sedap dibaca:


Lokman Ali: Pertemuan Satu Dekad Kemudian

S. Othman Kelantan: Putera Pantai Timur Yang Suka Bercanda

Shamsuddin Jaapar: Dunia Romantis Dalam Jiwanya

Usman Awang: Sepetang Bersama Tongkat

Zam Ismail: Karyanya Sewarna Namanya


Saya sedar saya sudah menyimpang jauh daripada pertemuan saya bersama Syahmi Fadzil. Ia berlaku baru-baru ini, malam Tahun Baru Cina. Saya silap kerana mengatur pertemuan itu di kafe Coffee Stain, Jalan Dutamas. Mana ada orang buka kedai. Kemudian talian telefon saya pula disekat. Sepanjang perjalanan dari rumah ke Publika, saya tidak dapat menghubungi Syahmi (dalam hati saya berdoa Coffee Stain akan ada Wifi). Selepas parkir kereta baru saya sedar tempat itu lengang. Sudah. Maka saya merayau-rayau mencari kafe yang masih menyala. Mujur kafe Chawan beroperasi. Saya duduk, pesan segelas kopi tupai sejuk, dan tunggu dekat sepuluh minit juga untuk sambung ke Wifi. Pesanan WhatsApp pun masuk; rupa-rupanya Syahmi sudah lama sampai. Malam itu tidak banyak yang kami bualkan: saya kongsi pengalaman masa kecil bermain Sega dan Syahmi kongsi buku-buku Jepun yang dibacanya. Agak lama selepas minumannya habis, baru Syahmi keluarkan sebatang rokok. Syahmi lebih banyak diam daripada berbicara. Tetapi itulah Syahmi Fadzil yang saya selalu jumpa dan kenal. Dia sekarang lebih banyak menulis sajak kerana sibuk bekerja. Saya tanya adakah dia akan berhenti menulis sepuluh tahun lagi? Katanya tidak. Dan memang itu yang saya nak dengar.
            

Membaca The Plains 1

$
0
0
Gerald Murnane


20 Mac 2018

Saya sedang menghampiri penghujung novel Gerald Murnane The Plains dan saya tidak ingin ia berakhir. Saya masih ingin berdiri dan melihat keluar jendela. Ada tiga jendela saya sedang maksudkan di sini. Jendela apartmen saya, jendela buku Murnane, dan jendela dalam buku Murnane. Ketiga-tiga bahagian tidak boleh dipisahkan apabila saya membaca atau berhenti membaca The Plains. Saya melihat keluar jendela Murnane untuk saya melihat keluar jendela apartmen saya.  

* * *

Pagi tadi saya bangun lewat kerana selsema saya belum lega. Benda pertama saya lakukan selepas membuka mata ialah merangkak ke tepi katil dan mencari video tentang Murnane di YouTube. Saya tahu Murnane ialah pengarang Australia dan beberapa tahun lepas saya pernah menonton video tentang bilik menulisnya. Masa itu saya sedang membaca Inland dan agak lama saya meninggalkan Murnane untuk beralih ke tulisan pengarang lain. Saya jarang membaca berturut-turut karya seorang penulis kerana saya memerlukan masa untuk menyerap gaya bahasanya dan menterjemahkan imaginasinya ke dalam bentuk emosi yang lebih mudah. Hasil carian saya hanya menemukan tiga video tentang Murnane. Saya tonton wawancara yang dibuat oleh penerbit Murnane iaitu Giramondo Publishing. Sekali lagi saya dibawa masuk ke bilik menulis Murnane dengan ruang serba Spartan dan kabinet fail yang dia sebut sebagai arkib. Murnane mempunyai minat yang luar biasa dengan negara Hungary; dia bukan sahaja membaca sastera Hungary, dia mempelajari bahasa tersebut. Dia mempunyai satu laci khas untuk apa-apa bahan berkaitan bahasa Hungary. Kalau kita fikir betul-betul, fiksyen Hungary selalunya suram dan sarat dengan kritikan sosial. Ia sangat berbeza dengan dunia tanah rata dan terbentang luas Murnane. Hujung minggu lalu, saya memandu kereta seorang diri ke Kedah, dan apabila saya melintas sawah sekitar Sungai Petani dan Gurun, saya teringat tentang Shahnon Ahmad dan betapa dekatnya dunia Shahnon dengan dunia Murnane.

* * *

Cicero pernah kata kalau seseorang ingin hidup bahagia, dia hanya memerlukan sebuah perpustakaan dan taman. Saya kutip falsafah ini daripada catatan Karl Ove Knausgaard mengenai pemandangan di luar jendela biliknya. Menurut Knausgaard semasa dia masih remaja, dia merasakan pendapat Cicero sangatlah borjuis serta bosan. Knausgaard sendiri membesar dengan seorang ayah yang gemar membuat kerja taman dan mengumpul setem. Kemudian apabila dia mencapai pertengahan umur, rutin sama dan pemandangan sama melintas di luar jendelanya. Taman. Dan perubahan waktu yang perlahan. Ibarat daun yang menyalinkan warnanya pada setiap musim. 

* * *

Apabila kita melihat keluar jendela, kita sebenarnya membingkaikan pemandangan, dan secara tidak langsung membingkaikan sudut pandang dunia kita. Bagi seorang ahli realisme spekulatif seperti Graham Harman, sudut pandang ini bukan sudut pandang hakiki tentang dunia; ia masih sudut pandang subjektif kerana kita memilih apa kita ingin lihat dan bagaimana kita melihatnya. Saya kira proses ini tidak ada beza dengan perjalanan membaca sebuah novel. Seperti saya kata tadi, The Plains mempunyai tiga lapisan jendela. Lapisan kedua ialah lapisan yang Murnane sendiri lihat apabila dia menulis. The Plains dibahagikan kepada tiga bahagian, dan sekali lalu, saya belum nampak secara jelas apakah perbezaannya. Saya selalu percaya fungsi kritikan ialah untuk memahami sudut pandang seorang pengarang dan menterjemahkan pengalaman tersebut dalam bahasa paling mudah kepada pembaca. Tetapi ada kemungkinan besar Graham Harman tidak akan bersutuju dengan kaedah kritikan saya ini. Dia akan melihat The Plains sebagai objek mandiri walaupun asalnya ia ditulis oleh Murnane. Dan setiap objek mandiri, dalam falsafah Object Orientated Ontology (OOO), tidak boleh bersentuhan secara langsung. Justeru keinginan saya untuk melihat keluar jendela bersama Murnane hanya akan memberikan saya kefahaman terbatas tentang The Plains. Saya perlu membuka jendela dan berjalan ke tengah padang. Saya perlu mencari dan melihat dunia novel ini melalui jendela yang lebih luas dan terbuka.   

Gerald Murnane dan Virginia Woolf

$
0
0

Dalam masa terdekat ini saya akan banyak menulis tentang Gerald Murnane (saya tidak sabar untuk mendapatkan dua buku terbarunya). Murnane menyatakan dalam sebuah esei bahawa dia menulis untuk mencipta ayat:


"Saya menulis ayat. Saya menulis satu ayat, kemudian saya menulis ayat seterusnya. Saya menulis ayat demi ayat.

Saya menulis seratus ayat lebih setiap minggu dan beberapa ribu ayat setiap tahun.

Selepas saya selesai menulis setiap ayat saya membacanya dengan lantang. Saya cuba mendengar bunyi ayat itu, dan saya tidak akan menulis ayat baru selagi saya belum puas hati dengan bunyi dalam ayat saya sedang dengar."


Setahu saya Flaubert juga mempunyai tabiat membaca tulisannya secara lantang. Saya tidak pernah melakukannya kerana saya tidak selesa mendengar suara saya sendiri. Lagipun ketika menaip pada komputer dan membaca ayat pada skrin, saya sudah dapat rasa adakah ayat itu mengalir atau tidak bunyinya. Dan apabila bercakap tentang pengaliran bahasa, saya mendapati ada persamaan antara Gerald Murnane dan Virginia Woolf. Malah dalam esei sama Murnane memetik kata-kata Woolf tentang apa yang dikatakan gaya bahasa:


"Style is very simple matter, it is all rhythm. Once you get that, you can't use the wrong words... This is very profound what rhythm is, and goes far deeper than words. A sight, an emotion, creates this wave in the mind, long before it makes words to fit, and in writing one has to capture this, and set this working, (which has nothing apparently to do with words) and then, as it breaks and tumbles in the mind, it makes word to fit in."


Rima (atau rhythm) ialah suatu benda yang tidak boleh diajar. Kita tahu apabila kita mendengarnya dan kita tahu apabila ia tidak menjadi. Penulis yang taksub menukangi ayat seperti Woolf, Murnane, dan Flaubert selalunya memberikan kepuasan luar biasa kepada kita kerana ayat mereka jelas, sangat peribadi, dan beralun-alun dalam minda kita seperti ombak. James Salter ialah seorang lagi pengarang yang cekap menyusun ayat dan mengisinya dengan imej-imej yang indah.   

Di Malaysia saya tidak pernah dengar lagi sesiapa bercakap tentang kemahiran menulis ayat secara serius. Itu belum buka perbincangan tentang gaya bahasa yang bukan sahaja melibatkan ayat, tetapi juga diksi, tanda baca, nada, dan rima. Ya, teknikal belaka. Namun apa maknanya menjadi penulis prosa kalau benda teknikal begini pun malas nak kaji dan perhalusi? Ia bukan soal nak mencipta ayat sedap dan cantik. Perkara paling penting di sini ialah membuka pintu seluas mungkin kepada emosi dan imaginasi yang seorang pengarang ingin lahirkan. 

Kalau nak dibandingkan dengan Woolf, bahasa Murnane jauh lebih mudah dan senang dipegang apabila kita mendengarnya. Sebagai orang Utara yang sering berulang ke Kuala Lumpur dari kecil, saya kerap lalu lebuh raya dan kadang-kadang saya akan biar tingkap kereta ayah saya terbuka supaya angin sawah boleh menyusup masuk. Saya kira begitu juga perasaan saya apabila membaca dan mendengar ayat-ayat Murnane. Jantung saya seolah-olah sedang berlari di tengah gurun Austarlia yang luas dan tidak berbatas. 
   

Masih Membaca Autofiksyen

$
0
0

Sergio Pitol

Saya memilih buku mengikut naluri, selain mempertimbangkan nama pengarang, judul, dan rekaan sampul depan. Entah kenapa kebelakangan ini saya banyak memilih buku autofiksyen iaitu tulisan yang meminjam secara langsung daripada kehidupan seorang pengarang.  Lebih kurang empat bulan lepas saya kembali membaca Gerald Murnane yang saya tinggalkan selepas membaca novelnya Inland. Saya sedar ketika membaca prosa pendeknya hubungan rapat antara fiksyen Murnane dengan kehidupan peribadinya. Kita tahu Murnane tidak pernah mengembara luar dari Australia, dia minat perlumbaan kuda, dan dia jarang sekali menonton wayang. Fakta-fakta ini akan muncul semula dalam tulisan prosanya. Adakah tulisan Murnane sebuah autobiografi? Mungkin ya, mungkin tidak. Murnane bukan seorang Karl Ove Knausgaard yang ingin menenggelamkan kita dalam realiti kehidupan harian. Murnane tidak mencipta ruang supaya imaginasi pembacanya boleh merewang ke mana-mana (malah dia memang tidak gemar fiksyen yang mencipta imej semata-mata seolah kita sedang menonton filem). Murnane ingin mengkaji hubungan antara ruang, atau hubungan antara imej, seperti mana ia terbentuk dalam ruang minda seorang penulis. 

Saya fikir pendekatan Murnane sangat berbeza dengan pendekatan Sergio Pitol. Saya baru mula membaca The Art of Flight dan hati saya rasa bebas seolah ada kapal terbang baru meninggalkan landasan setelah begitu lama terperangkap dalam hujan. Hanya seorang pencinta sastera dunia akan menulis buku begini. Tulisan Pitol mengingatkan saya kepada pengalaman kali pertama membaca novel Enrique Vila-Matas (mereka pernah bersahabat ketika Pitol masih hidup, barangkali ibarat hubungan guru dan anak murid). Seperti Murnane, kita menemui unsur autobiografi dalam tulisan Pitol, terutama hal-hal berkaitan pengembaraan luar negara serta rakan-rakan penulis yang ditemui. Tetapi Pitol tidak membataskan dirinya pada ruang minda penulis. Dia langsung melihat dunia dan menurutnya dalam "semua benda terdapat semua benda." Saya kongsikan bahagian kecil daripada bukunya The Art of Flight:

"We, I would venture to guests, are the books we have read, the paintings we have seen, the music we have heard and forgotten, the streets we have walked. We are our childhood, our family, some frieds, a few loves, more than a few disappointments. A sum reduced by infinite subtractions. We are shaped by different times, hobbies, and creeds."  

Saya masih bersependapat dengan Borges bahawa "semua tulisan adalah autobiografi." Ia bukan soal karya itu jujur atau benar. Yang penting ialah sejauh mana ia merapatkan jarak antara bahasa dan kehidupan. Antara mata yang melihat dan minda yang membaca maksudnya. 

    

Penyair Yang Lari Bersembunyi Dalam Koleksi Puisinya

$
0
0

"Khuldi adalah sebuah naskhah yang mengimbau. Hasil menung panjang tentang perilaku manusia yang menghuni di belukar konkrit," tulis Adam Aizat untuk kata pengantar buku puisinya. Ia merupakan hasil "menung panjang" buat penyair, namun selepas saya membaca buku ini beberapa kali, renungan itu tidak sampai kepada saya. Kadang-kadang renungan seorang penyair bukanlah profound dan mendalam sangat. Kita mudah tertipu dengan idea bahawa puisi mesti mempunyai makna tersirat dan berlapis-lapis emosinya. Ia seolah semua puisi mesti meronta-ronta seperti tulisan Chairil Anwar. Puisi bukan bantal peluk, puisi bukan "sigaret" Gudang Garam, puisi bukan sejadah untuk menumpahkan air mata. Dan puisi bukan tempat untuk penyair menyembunyikan kelemahan dirinya. 

Di bahagian awal Khuldi kita menemui sebuah sajak pendek berjudul "mengusir lampau" yang saya kira memberi gambaran kasar mood dan tekstur penulisan Adam:


seteguk
kafeina
sebalut
tembakau

buat bara
berjaga
menghalau 
lampau. 

Tidak syak lagi penyair kita ini seorang manusia sepi, nostalgia, dan sering tenggelam dalam lamunan emosi. Apakah memori yang ingin dilupakan sehingga perlu "mengusir lampau" daripada baris-baris puisinya? Kita tidak pernah tahu secara jelas. Adam hanya melukiskan samar-samar memori tersebut. Ada ketika ia datang menjelma secara sureal seperti dalam sajak "sapi dan serigala." Ada ketika ia datang menjadi rupa seorang gadis seperti dalam sajak "untuk gadis yang seringkali ditinggalkan." Ada ketika ia datang menjadi suara Tuhan yang penyair cuba gambarkan dalam sajak "ampunkan aku (Tuhan)." Saya mengeluh panjang baca judul sajak ketiga itu dan rasa nak pecahkan tingkap bilik dengan buku puisi Adam. Tetapi mujur ada stanza dalam sajak itu yang menyelamatkan keadaan:


tuhan, ampunkan aku
bila aku kurang gemar dengan kelas tambahan
kerana guruku pernah mencemuh 
'syair tidak bisa membangunkan rumah'
guru engkau perlu tahu
syair (menurutku) bakal meruntuhkan
apa yang telah kau bina selama ini.      


Secara teknikal, ini bukan stanza yang bagus. Kalimatnya tidak padat dan nadanya mendatar. Namun kita dapat rasa kegelisahan seorang anak muda yang ingin menulis tetapi diasingkan oleh orang sekeliling. Dilema sama kita turut temui dalam sajak berjudul "engkau yang memanggilku pulang" yang merupakan salah satu sajak terbaik buku ini. Sekali lagi baris sajak Adam diterangi oleh remang nostalgia dan beban kedukaan:


khuatir jua aku pun
untuk berkelana jauh
konon demi mentafsir keunggulan puisi
sedang keberadaan cumanya sementara.

engkau yang memanggilku pulang
seakan berdoa nadamu, serupa ombak
bergesit tunjal ke langit. 


Barangkali inilah renungan hidup paling jauh yang Adam Aizat mampu tawarkan kepada pembacanya. Dia baru nak hembus bau kopi dan asap sigar ke muka kita, tetapi datang mengacau bunyi bising daripada sajak-sajak urbannya yang klise. Apabila Adam kata dia ingin "memanjat atap rumah" dan "telanjang," saya terus ingat sajak-sajak awal Baha Zain. Tetapi sudah berapa banyak sajak pengakuan ditulis dalam sejarah puisi negara ini? Sudah berapa banyak sajak tentang keterasingan seorang lelaki di tengah kota? Sudah berapa banyak sajak tentang aku, aku, aku.... melawan dunia dalam diri aku? Terlalu banyak barangkali. 

Terlalu banyak puisi dijadikan rumah tumpangan untuk penyair menyembunyikan diri. 
 

Happy Birthday

$
0
0


"The river is wide and mighty and its surface is broken by the heads of at least twenty-five writers under fifty, under forty, under thirty. How many will drown? I'd say all of them." - Roberto Bolano

Hari ini ialah hari lahir saya. Ada orang enggan meraikan hari lahirnya, malah dia tidak mahu menerima sebarang ucapan selamat. Adakah usia menakutkan sesetengah orang? Barangkali ya. Dia berdiri di depan cermin, setiap tahun, melihat rambutnya berubah warna dan kesegaran wajahnya perlahan-lahan menjadi layu. Semua orang ada menyimpan sekeping potret Dorian Gray di dalam almari atau di bawah katil atau di dalam peti besi yang dicampak jauh ke dasar bumi. Kita enggan menjadi tua. Dan kita enggan menghadapi kematian.  Setiap kali saya datang ke seminar di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, saya akan mencari kelibat penulis yang lebih muda daripada saya. Kadang-kadang ada seorang dua, kadang-kadang tidak ada langsung. Mereka tidak peduli tentang penerimaan dewan. Lagipun ada sungai yang mengalir deras di depan mereka. Tidak, itu terlalu murni. Ia bukan sungai, hanya gaung yang tidak kelihatan lantainya. Masih ramai belum menyeberang. Dan ramai juga yang sudah jatuh. Pada hari ini, saya bukan hendak meraikan usia saya yang sudah meningkat. Saya ingin meraikan mereka yang sudah jatuh dan bakal dilupakan oleh dewa-dewa sastera Malaysia. Adakah mereka akan hidup semula? Saya tidak pasti. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berani melompat tanpa menunggu dewan bandaraya menyediakan jambatan. 
 

Novel yang Tercipta dari Usus Seorang Pengarang

$
0
0

Antara Shahnon Ahmad, A. Samad Said, dan Anwar Ridhwan, saya masih rasa Shahnon ialah novelis yang sebenar, malah novelis terbaik kita pernah ada. Kalau dari segi teknikal (dialog, susunan plot, perincian latar dll) Shahnon memang kelihatan amatur, seperti budak baru nak belajar pukul bulu tangkis dengan raket. Samad dan Anwar akan menang mudah dalam dua set permainan. Tetapi bagaimana dengan visi seorang novelis? Bagaimana dengan garapan waktu? Bagaimana dengan kekuatan gaya bahasa? Ketika pengarang lain pada zamannya hanya menggunakan novel sebagai alat untuk bercerita, Shahnon mencipta novel daripada peluh imaginasinya sendiri. 

Isteri saya pulang dari Jogja hari ini dengan beberapa buah buku puisi dan sebuah novel yang saya sangka ialah kumpulan puisi. Museum Masa Kecil oleh Avianti Armand; buku ini mempunyai konsep yang menarik, tentang memori masa kecil, tapi secara keseluruhan suara Avianti masih terlalu sayup, masih terlalu sepi untuk kita mengerti. Buku LatihanTidur oleh Joko Pinurbo; bukan buku favorit Jokpin, tapi bacalah mana-mana sajak pun, kehadiran Jokpin sangat jelas, sesuatu yang saya tercari-cari setiap kali membaca Avianti. Cuaca Buruk Sebuah Buku Puisi oleh Ibe S. Palogai; belum mula membaca; minta Ainunl beli sebab judulnya. Lubang dari Separuh Langit oleh Afrizal Malna; sangat bahasa Afrizal dengan objek-objek Afrizal (bantal, tiang listrik, dll), tapi ia bukan sebuah novel, Afrizal terlalu asyik dan seronok bermain dengan simbol sehingga kita yang membacanya tersumbat tekak dan terbatuk-batuk keluar garpu, sabun, serigala, dan gaun pesta para malaikat. 

Namun kata-kata Afrizal di pengenalan novel itu sungguh gila dan mengesankan: "Novel untuk saya adalah dunia di mana manusia seperti memiliki kesempatan untuk masuk ke dalam ususnya dan meledakkan dengkulnya menjelang tidur."

Saya percaya Afrizal dari dulu lagi sudah berenang jauh ke dalam ususnya. Dia bukan setakat tidur di situ, dia membina istana dengan tujuh lapisan tembok memori. Kebanyakan pembaca Afrizal hanya berpeluang berdiri di seberang sungai, melihat dengan kagum bangunan aneh dan ajaib ini. Kalau  ada yang agak serius, mereka mungkin akan lepas sampai ke lapisan kedua dan ketiga. Selebihnya itu terlalu rumit sehingga ia menjadi penjara dan rumah buat Afrizal sendiri.   

Sebenarnya pengakuan Afrizal itu lebih persis dengan kerja seorang penyair. Namun apabila kita fikir tentang Shahnon atau Kafka atau Bernhard atau Knausgaard, kita boleh nampak bagaimana sesetengah novelis selesa berumah tangga di dalam usus. Mereka ingin mati dan bangkit semula dalam sebuah novel. Kita bukalah mana-mana buku Shahnon, kita akan menemui seorang Shahnon Ahmad di situ. Tetapi apa yang berlaku kepada novel Malaysia selepas Shahnon sudah tidak ada? Cuba anda selak baju, letak tangan pada perut. Ada dengar tak suara sesiapa berdengkur dengan nyenyak? 

Bolehkah Seorang Pengarang Membenci?

$
0
0
Edouard Louis

Dalam wawancara bersama Electric Literature, pengarang Perancis Edouard Louis tidak menyembunyikan rasa bencinya terhadap golongan borjuis. Dia menyerang Sartre dan ahli intelektual Perancis yang dikatakan berjuang untuk golongan kelas bawahan, namun mereka sendiri adalah golongan borjuis. Edouard Louis bukan sahaja datang dari masyarakat kelas bawahan, dia juga seorang homoseksual, dan mangsa rogol. Dia menceritakan semua ini dalam novel autobiografinya History of Violence. Saya belum membacanya, di kedai buku pun belum nampak. Ya, sebuah lagi autofiksyen (saya percaya pengikut aliran ini akan terus meningkat). Seingat saya, Martin Amis pernah kata novelnya semua tentang golongan kelas bawahan, tidak ada satu pun tentang golongan kelas menengah. Tetapi bukankah Amis lahir dan membesar dalam suasana borjuis? Barangkali tulisan Amis (dan mungkin juga tulisan saya) tidak akan disenangi oleh Louis. Barangkali dia akan melihat cerita Amis sebagai dibuat-buat dan bukannya pengalaman yang autentik. Hanya orang yang pernah mengalami kesakitan boleh menulis tentang kesakitan; atau hanya orang yang pernah hidup susah boleh menulis tentang kesusahan. Lebih kurang begitulah nada dan retorik yang kita selalu dengar. Namun adakah kesakitan mewajarkan kita untuk membenci manusia lain? Ada banyak novel yang membuat kita sakit - membuat kita marah - ketika membacanya. Ranjau Sepanjang Jalan ialah novel tentang kesusahan dan kesakitan hidup golongan petani. Musuh utama dalam buku ini bukan tuan tanah atau ahli politik, tetapi alam. Dan kematian. Kita rasa derita Lahuma menghadapi kematian. Kesakitan dalam novel-novel J. M. Coetzee lebih kompleks, terutama sekali apabila isu rasisme berbaur dengan masalah politik. Disgrace ialah novel terakhir yang membuat saya marah selepas saya selesai membacanya. Adakah saya marah sebab jenayah seksual dalam novel itu tidak diselesaikan? Mungkin ya; dan mungkin itu juga realiti kehidupan di Afrika. Tetapi adakah dalam kemarahan itu, ia turut menanam rasa benci dalam diri saya? Tidak. Seorang novelis sentiasa melihat kehidupan dari jarak yang lebih jauh daripada pengalaman peribadinya. Tidak kisahlah ia fantasi atau autofiksyen. Penulisan mencipta ruang kerana bahasa mencipta jarak dengan kehidupan. Sukar untuk saya membayangkan menulis novel dalam suasana kebencian. Atau menulis novel untuk mengajak seorang manusia membenci manusia yang lain. Barangkali kesakitan saya alami dalam hidup tidak seberat pengalaman Edouard Louis. Maka saya tidak berhak untuk bersuara. Atau bak kata Wittgenstein: "Kita harus diam mengenai perkara yang kita tidak mampu ungkapkan."     

Hantu Kugiran Kota

$
0
0

Keindahan ialah memori yang disembunyikan di belakang mata. Memori siapakah yang sedang bersembunyi ini? Diri kita? Keluarga kita? Sebuah masyarakat? Sebuah negara? Atau semangat dari masa lampau yang kita tidak pernah tahu ada bersama kita sentiasa? 

Barangkali ia memori sebuah kota seperti yang digambarkan dalam puisi ikonik Baha Zain "Di Kota Kecilku":

sesaat tiba di muka sekolah
telah lama kutinggalkan 
kini sudah berubah
terasa sepi
suara guru yang memberikan markah
pada pangkat pertama
buat si anak desa
dan ayahku tak berkata bangga

di sinilah anak desa
mengenal dunia
di kota kecilnya
padang speedy
dan durian sebatang
meski berubah pandang
mengimbau rindu dan kenangan,
sayang.  


Tetapi nada Baha di sini terlelalu sentimental sehingga kota yang dilihatnya hanya kota yang "mengimbau rindu dan kenangan." Barangkali ada bangunan baru atau pokok yang baru tumbuh atau jiran yang baru pindah. Sukar untuk melihat perubahan kecil seperti ini kalau mata kita buta dengan lapisan selaput memori.

Barangkali ia memori tamadun lama yang menyelinap dan menjelma menjadi imej harimau, pedang, cermin, dan kapal lanun seperti Borges sering lihat dalam mimpinya.

W. G. Sebald memberi pendapat tentang memori dalam salah satu wawancara terakhir sebelum beliau kemalangan: "The moral backbone of literature is about that whole question of memory. To my mind it seems clear that those who have no memory have the much greater chance to lead happy lives"

Barangkali ia memori suatu zaman, suatu budaya yang pernah gemilang dan kini dilupakan. Seperti muzik city pop atau kugiran kota dari Jepun. Saya sekarang sibuk membuat terjemahan dan menggali sejarah Melaka. Keutamaan saya ialah naratif Melaka yang dilupakan. Memori yang orang tidak ingin kenang atau anggapnya sebagai sejarah. Jadi sesuailah rasanya, saya membuat kerja sambil kugiran kota bergema di belakang mata dan telinga. Melodinya seolah-olah seruan dari runtuhan sebuah kota. Terdapat satu siaran di YouTube bernama Van Paugam, kurator siaran ini memang peminat tegar kugiran kota, dan dia memberikan deskripsi terbaik tentang maksud muzik city pop:

"Many would ask why. Why is it called City Pop? Why do they sing parts in English? Why does it sound so familiar? The answers are all pretty vague, and those who lived the era in which City Pop flourished aren't in a rush to tell the whole story. Like much of Japan's intimate history unknown to outsiders, City Pop also might remain an enigma left in time for someone try to explain, but only ever grasping at silhouettes of ideas, thoughts, and expressions impossible to ever really understand completely. Sometimes music is left forgotten in time, but like sonic necromancy, once reanimated from the tombs of time it can roam the mortal plane of existence once again among the living."




 
Kegelisahan terbesar manusia bukanlah nak mencari siapakah dirinya di dunia ini. Ia bukan juga kegelisahan untuk duduk tenang di dalam sebuah bilik seperti Pascal sangkakan. Manusia sebaliknya ingin memahami kenapa dia terpisah dengan dunia di sekeliling.

Kenapa dia terpisah dengan lelaki dan wanita yang duduk di sebelahnya di dalam bas?
Kenapa dia terpisah dengan ucapan seorang menteri di parlimen?
Kenapa dia terpisah dengan lampu isyarat dan papan tanda jalan?
Kenapa dia terpisah dengan ikan-ikan di dalam akuarium?
Kenapa dia terpisah dengan watak-watak adiwira dalam sebuah filem?
Kenapa dia terpisah dengan cacing-cacing di bawah lantai bilik mandinya?
Kenapa dia terpisah dengan pen, gunting, dan kertas di atas mejanya?

Semua benda mempunyai memori. Namun memori yang kita tahu hanya memori dalam diri kita. Keindahan yang kita tahu hanya keindahan di depan mata, bukan keindahan di belakang mata. Bahasa dan memori peribadi seakan-akan meluaskan jarak antara masa lalu dan masa kini.

Apabila saya mendengar kugiran kota, kegelisahan dalam diri saya hilang sebentar. Walaupun Jepun bukan lagi kota futuristik seperti orang bayangkan pada tahun 80an. Tetapi memori zaman itu membuka mata saya. Mana tahu, masih ada matahari yang menyingsing di luar jendela.

Shahnon Ahmad Tidak Suka Karya Hamzah & ASAS 50

$
0
0
Shahnon Ahmad

Kalau kita membaca sebuah buku, patutkah kita mengenali pengarangnya? Jawapan saya, tidak. Lebih baik tidak. Jangan cari suaranya di Twitter, jangan suka mana-mana gambarnya di IG, jangan tegur kalau anda tersempaknya di kaunter tiket GSC. Pengarang tidak boleh dipercayai! Maaf, saya berlebihan pula. Sebagai manusia, ya, kita boleh tegur, kita boleh ajak minum, dan mungkin boleh datang rumah minta duit dan kuih raya. Tetapi apakah kemungkinan anda akan temui diri sebenar seorang pengarang? Barangkali tidak, apatah lagi kalau dia sangat berpengalaman menulis. Ingat Darth Sidious/ Palpatine dalam dunia Star Wars? Pada mulanya semua orang sangka dia hanya politikus yang pandai senyum dan berbudi bahasa. Tetapi di sebalik wajah tenang itu tersembunyi wajah merekah seorang mahaguru Sith. Kita sangka penulis adalah mahaguru Jedi yang mampu memukau fikiran kita dengan permainan kata-kata. Tetapi, in reality, mereka adalah Sith Lord. Kalau anda tidak percaya cakap saya, cubalah jadi ahli mana-mana persatuan penulis di negara ini.

Tadi saya kata jangan kejar seorang pengarang, jadi kenapa pula saya nak gali dan kongsi pendapat Shahnon Ahmad dari tahun 1965? Pertama, sebab Shahnon sudah meninggal dunia, dan saya tidak pernah mengenalinya secara peribadi. Fikiran saya hanya melihat Shahnon sebagai bayang-bayang pada dinding gua. Selepas ini kalau ada 100 buku biografi tentang Shahnon Ahmad, kita masih tidak dapat menghidupkannya kembali dari kubur. Yang tinggal hanya karya dan bayang-bayang kehidupan peribadi seorang pengarang. Pada malam 30 September, Shahnon Ahmad memberikan ceramah di Alor Setar untuk acara Malam Cerpenis Utara. Kita harus ingat, ini bukan Shahnon-SHIT atau Shahnon-Sastera-Islam. Waktu ini dia hanya dikenali sebagai Shahnon yang menulis novel Rentong. Selesai ceramah, penonton di situ mula bertanya kepada sasterawan muda kita. Peristiwa malam itu dilaporkan oleh wartawan Berita Harian bernama Y. Hussin yang saya akan kutip dan turunkan di bawah.

* * *

Seorang hadirin mengemukakan pertanyaan: "Apakah tanggapan saudara terhadap cerpen-cerpen Hamzah?"

Shahnon bangun lambat-lambat dengan senyuman lebar. "Hamzah hidup lama sebagai seorang cerpenis," kata Shahnon. "18 tahun lamanya. Tetapi hasilnya tidak setimpal dengan kelanjutan usianya dalam menulis."

Menurut Shahnon karya-karya Hamzah hambar, tidak ada kekuatan. "Ini mungkin kerana dia terlalu mementingkan motif dari segi-segi lain penulisan cerpen," kata Shahnon. 

Novelis ini kemudiannya memberitahu bahawa Hamzah pantang dikritik karyanya. 

"Apakah fikiran saudara tentang kecaman Hamzah terhadap saudara?" pertanyaan berlanjutan. 

Shahnon tenang lagi. "Saya anggap sepi," katanya. Diterangkannya bahawa pendapat Hamzah tidak semestinya pendapat umum. Mungkin ada orang tidak menyetujui pendapatnya "Dan begitu juga dengan pendapat saya," kata Shahnon Ahmad. "Jadi apa nak dihiraukan sangat?"

Pertanyaan berpindah kepada: "Apakah tidak baiknya cerpen-cerpen Angkatan 50? Haruskah mereka dikecam habis-habisan sekarang?"

Shahnon Ahmad mengesat dahinya dua tiga kali. Dia tercegat beberapa detik sebelum menjawab: "Cerpen-cerpen pengarang Angkatan 50 bagus pada zamannya. Tetapi untuk waktu ini ketinggalan sedikit kerana mereka terlalu mementingkan tujuan. 

Shahnon menjelaskan bahawa kerana kepentingan tujuan itu, maka watak-wataknya menjadi lemah. Bahasanya mendayu-dayu. "Walau bagaimana pun tidaklah harus kita angkatan ini bangun mempersalahkan mereka... Kita harus menghormati mereka sebagai peneroka cerpen-cerpen Melayu moden," katanya. 

Masalah seks dalam sastera ditimbulkan oleh seorang peserta. "Mengapakah hasil-hasil karya yang tidak disisipkan dengan peristiwa seks tidak menarik minat pembaca," peserta itu bertanya.

Shahnon tersenyum. "Siapa kata?" dia bertanya.  

Pada pendapat Shahnon unsur seks tidak perlu ada untuk menarik minat pembaca. Ada ciri-ciri lain yang boleh memikat. Dikemukakan karya-karya Nora sebagai contoh.

"Karya-karya Nora tidak ada seks, bahasanya agak kesat, tapi kerana kejayaannya mengolah dan menyusun plot dengan bahasa yang bersahaja, karya-karya itu menarik minat," kata Shahnon. 

"Mereka yang menganggap seks sebagai daya penarik ialah orang-orang muda yang belum mengerti tentang seks," sambung penulis Debu Merah ini. 

* * *

Adakah tahun-tahun kemudian Shahnon mengubah pendiriannya? Mungkin ya, mungkin tidak. Pengarang pun manusia. Keghairahan pada zaman muda barangkali terpadam apabila tangan dan mata makin termengah-mengah hendak mencapai ufuk senja. Namun saya percaya Shahnon Ahmad dari dulu lagi ialah novelis yang berani melawan, atau berani "melanggar," bak kata kritikus Mana Sikana. Selepas 1965, keberanian itu juga yang terus menolaknya ke depan untuk menghasilkan antara novel-novel terbaik di negara ini. Siapa kata pengarang dulu tidak liar dan angkuh melawan?

   

Novel Terbaik 2018

$
0
0

Nampaknya saya terlambat lagi untuk mengemukakan bacaan novel terbaik saya dalam satu tahun. Kalau ikutnya, saya boleh sahaja abaikan senarai ini. Tidak ada sesiapa pernah memaksa saya. Senarai bacaan novel bukannya laporan belanjawawan di Dewan Rakyat. Ia tidak akan mengubah ekonomi negara. Melainkan memberi kepuasan, dan peringatan, kepada diri saya, ke mana saya telah pergi, apa saya telah temui, dan ke mana pula saya ingin menjelajah pada tahun ini. 

Saya kira, pada zaman sekarang, membaca novel bukanlah suatu keperluan. Jangan kata pembaca, golongan seniman pun belum tentu minat membaca novel. Ketika memandu Grab tahun lepas, Noh Salleh masuk ke dalam kereta saya di pintu ketibaan KLIA2. Terkejut? Memang! Bukan setiap hari dapat kutip seorang penyanyi. Dalam perjalanan menuju ke Ampang, kami sempat berbual sekejap. Rupa-rupanya vokalis kumpulan Hujan ini tidak minat membaca novel. Malah lirik lagu "Di Kala Bulan Bermain Biola" bukan dia yang tulis. Ini mengingatkan saya kepada pengarang Amerika, Wendel Berry, yang pernah menulis esei tentang keengganan untuk membeli sebuah komputer. Daripada membayar pihak yang "merogol" alam sekitar, Berry lebih rela menggunakan pen dan kertas. Eseinya disiarkan dalam majalah Harper dan Berry menerima surat kutukan daripada beberapa orang pembaca. Saya bukan nak menyamakan semangat alam sekitar Berry dengan penolakan novel oleh Noh. Cuma nak tunjuk bahawa lebih mudah untuk katakan tidak tidak pada teknologi yang sudah dianggap kuno (buku), berbanding pada teknologi yang masih dianggap penting dan bermakna (komputer). 

10. The Flemish House oleh Georges Simenon 

 
Sebahagian daripada novel dalam senarai saya ini sangat kuat pembangunan latarnya. Gerald Murnane pernah kata, semasa dia membaca novel Thomas Hardy, dia akan terfikir apa yang menanti di sebalik bukit atau lembah yang si novelis telah lukiskan? Tidak ada dunia yang boleh dilukis dengan lengkap oleh seorang pengarang. Pasti ada ruang kosong yang akan ditinggalkan juga untuk pembaca. Novel Georges Simenon masuk ke senarai ini bukan sebab misterinya (dari segi itu, ia agak membosankan), tetapi cara pengarang menggunakan latar rumah, bar, dan pelabuhan untuk membangunkan cerita. Ini juga dibantu oleh bahasa maskulin Simenon dan sikap Inspektor Maigret yang gemar berjalan, memerhati, sambil mengendap perbualan orang. Barangkali setiap tahun saya akan baca satu novel Simenon. Entah bilalah akan selesai membaca semua kes penyiasatan Maigret!

9. Zeroville oleh Steve Erickson


Di permulaan novel The Art of Flight, narator Sergio Pitol kehilangan kaca mata ketika berada di Venice. Namun ini tidak menghalangnya daripada keluar berjalan: "I walked among shadows. I could and could not see, I caught fragments of a shifting reality; the feeling of being trapped between light and dark grew increasingly more pronounced as a fine, trembling drizzle gradually created the chiaroscuro in which I was moving." 

Kali pertama narator Pitol berjalan di Venice ialah sama seperti kali pertama kita membaca sebuah novel. Mata kita kabur. Dunianya belum jelas. Dari halaman ke halaman, kita meraba-raba mencari sumber cahaya dan warna. Tempat itu tidak semestinya tempat yang terlalu asing. Novel AciPatmabi, misalnta, menggunakan latar Pulau Pinang yang saya sudah sangat biasa berjalan. Tetapi Azmi Merican masih mampu menimbulkan rasa keterasingan melalui pengalaman subjektif watak-wataknya. Barangkali ini yang Freud maksudkan dengan uncanny. Keanehan atau keterasingan apabila berada dalam situasi yang misteri.   

Novel Steve Erickson Zeroville menggunakan unsur uncanny ini dengan sangat berkesan melalui pembahagian bab yang pendek-pendek belaka. Kita mengikuti petualangan seorang pecandu filem bernama Vikar di Hollywood. Kepalanya botak, pada satu bahagian terdapat tatu Elizabeth Taylor, dan pada bahagian satu lagi terdapat tatu Montgomery Clift. Novel ini memang untuk orang minat filem kerana Vikar sentiasa menonton filem di panggung. Setiap bab pendek novel ini mempunyai kesan berhantu seolah-olah ia adalah filem yang boleh berdiri sendiri. Separuh kedua Zeroville saya rasa agak meleret naratifnya, terutama sekali apabila Vikar tidak berada di Hollywood. Erickson sudah tentu tidak akan membiarkan protagonisnya merewang tanpa hala-tuju. Tetapi perasaan merewang, dan keluar masuk panggung wayang, semasa separuh pertama novel, ialah pengalaman yang paling berbekas di ingatan saya.    

8. A Terrace in Rome oleh Pascal Quignard 



Tentang novel erotik yang nipis ini, dan daripada penerbit kegemaran saya Wakefield Press, apa saya  boleh kata? Kita tahu ia berlaku pada abad ketujuh belas mengenai obsesi seorang pemuda terhadap wanita yang dicintainya. Novel ini terbit pada tahun 2000, tetapi tekstur tulisan Quignard terasa seperti dikorek keluar dari dalam tanah. Terdapat 47 bab, dan seperti Zeroville, naratifnya bergerak cepat. Warna latar hampir tidak wujud. Segala-galanya hadir secara hitam dan putih. Kalau kita renung dengan agak lama, kita dapat menangkap bayang-bayang seorang lelaki yang cacat separuh mukanya. 

7. Far Tortuga oleh Peter Matthiessen



"Melukis," menurut John Berger, "ialah rekod autobiografi tentang penemuan suatu peristiwa - dilihat, diingati, atau dibayangkan. Karya lengkap ialah percubaan untuk membangunkan peristiwa itu sendiri."  Peristiwa dalam novel Peter Matthiessen Far Tortuga sangat mudah: sekumpulan kelasi pergi ke laut untuk menangkap penyu. Dari segi itu, ia mirip dengan novel Hemingway dan Melville. Tetapi perbezaan paling ketara Matthiessen dengan mereka ialah keberanian untuk bermain dengan ruang putih. Kadang-kadang Matthiessen akan membiarkan satu perkataan terapung sendiri di tengah halaman. Makna tenggelam. Kata-kata meninggalkan cengkerang. Hanya untuk dibasuh oleh lautan putih yang kosong. Far Tortuga ialah novel makan angin saya untuk 2018. Kalaulah saya boleh bacanya di tepi pantai atau di atas sebuah kapal. Asyik!

6. The Warren oleh Brian Evenson 



Kalau Samuel Beckett boleh menulis sebuah novel fiksyen sains, barangkali dia akan menulis TheWarren. Latar: dunia pasca-kiamat yan gersang. Watak: seorang manusia dan seorang android yang percaya dirinya ialah manusia. Babak: perbualan dan monolog dalam sebuah kamar bawah tanah. Belum cukup Beckett lagi? Cuba fikir ini: kalau manusia boleh mencipta watak kembar kepada dirinya, adakah watak itu juga seorang manusia? Brian Evenson membangkitkan persoalan ini melalui watak X yang menyimpan pelbagai memori dan personaliti dalam dirinya. Semua personaliti ini tunduk kepada seorang Aku, tetapi Aku yang berfikir ini tidak tahu Aku itu sendiri apa sebenarnya. The Warren mempunyai potensi untuk menjadi sebuah novel falsafah yang bergetah-getah urat pemikirannya. Sayang sekali, Evenson menghabiskan ceritanya dengan agak cepat sebelum kita sempat meneroka keberadaan personaliti kita dengan lebih mendalam. 

5. The Art of Flight oleh Sergio Pitol 

 
"Penulisan diperkaya oleh pembacaan," tulis Sergio Pitol. Dan novelnya, The Art of Flight, memang padat dan penuh dengan pengalaman pembacaan. Buku ini bukan sekadar himpunan kisah pengembaraan seorang pengarang di Eropah dan Mexico, ia juga mengisahkan pengembaraan seorang pembaca ke dalam sastera. Pendekatan yang dipilih oleh Pitol ialah pendekatan seorang pengarang esei. Bab-babnya juga diberi tajuk seolah kita sedang membuka sebuah kumpulan esei: "Siena Revisited,""Diary from Escudillers,""An Ars Poetica?""Our Contemporary Chekhov,""Two Weeks with Thomas Mann." Pitol ialah orang yang kuat mengembara, dia pernah bertukar-tukar kerja semasa di Eropah. Akhirnya pengalaman ini bersilang dengan pembacaan dan penulisan. "Kembara ialah pengalaman dunia nyata," tulis Pitol, "tetapi membaca membawa saya ke dalam diri di mana jadualnya tidak membataskan saya kepada ruang, ia sebaliknya membebaskan saya untuk bergerak merentas waktu." 

4. The End oleh Karl Ove Knausgaard



Dengan terbitnya terjemahan Inggeris keenam My Struggle, kita tidak dapat menafikan lagi kedudukanya sebagai salah satu novel terpenting di abad ini. Ia akan terus dibaca dan dibincangkan, seperti mana kita masih membaca Proust dan Cervantes. Justeru kenapa saya tidak meletakkan novel ini di kedudukan lebih atas? Pertama, sebab saya sudah lelah membaca Knausgaard selama lima tahun berturut-turut. Tidak ada lagi kejutan dari segi gaya bahasa atau pembangunan naratif kerana Knausgaard tidak pernah peduli tentang semua benda itu. Yang terus memikat dan menguatkan semangat saya membaca ialah kesungguhan Knausgaard untuk memerah kehidupannya ke dalam setiap buku. 

The End boleh dikatakan buku paling berat dalam siri ini kerana Knausgaard secara sedar memandang penulisan dan sastera dengan serius. Keseluruhan bahagian awal menceritakan kebimbangan Knausgaard menghadapi serangan pak ciknya yang ingin menghalang buku pertama My Struggle daripada diterbitkan. The End adalah buku terakhir anda patut baca jika anda bercadang untuk mengenali penulisan Knausgaard. Tetapi ia adalah pengalaman sekali seumur hidup yang patut dilalui oleh mana-mana pencinta novel. 

3. Aci Patmabi oleh Azmi Iskandar Merican 


Aci Patmabi ialah novel terakhir saya baca pada 2018. Azrin Fauzi yang sungguh-sungguh menjual novel ini kepada saya, katanya ada babak orang boria bergaduh. Dan memang ada, tetapi kehebatan novel ini lebih daripada itu. Ia bukan sahaja novel terbaik tentang Pulau Pinang selepas PerangkapHitam, ia juga salah satu novel Malaysia terpenting pada abad ini. Dari segi struktur, gaya bahasa, dan penyusunan naratif, Aci Patmabi tidak menawarkan apa-apa pembaharuan. Malah ia membawa semangat novel realisme sosial dari era kegemilangan Asas 50. Tetapi dari segi penceritaan, Azmi Iskandar Merican membuktikan dia adalah seorang novelis yang tulen. Aci Patmabi, Pakwan, Biyo, dan Naina Jambu ialah watak-watak yang hidup apabila mereka bergerak dan bercakap. Dan Azmi Merican berjaya meletakkan mereka dalam latar Pulau Pinang pada abad kesembilan belas. Ini ialah Pulau Pinang yang kita tidak pernah tahu, dan mungkin tidak akan pernah jumpa dalam mana-mana buku lain. 

2. Balcony in the Forest oleh Julien Gracq

 
Novel perang, seperti novel sejarah, ialah sub-genre yang tersendiri. Boleh buat satu buku untuk mengkaji novel War & Peace. Pengalaman saya membaca novel perang memang terbatas, walaupun saya obses dengan sejarah era kolonial atau sejarah Perang Dunia Kedua. Tetapi novel Julien Gracq Balcony in the Forest masuk ke senarai ini kerana ia adalah novel perang paling puitis saya pernah baca. Ia juga novel perang di mana peperangan tidak berlaku, kecuali hampir penghujung buku. Sebagian besar waktu kita dihabiskan bersama Leftenan Grange yang harus mempersiapkan kubu pertahanan di sempadan Belgium. Kalau tidak bersama orang-orang bawahannya, Grange akan keluar bersiar-siar di hutan. Perasaan membaca novel ini adalah seperti baru bangun dari tidur. Pandangan kita kabur, fikiran kita masih terperangkap di alam mimpi. Kalau boleh kita ingin membiarkan masa berlalu. Barangkali angan-angan itu juga yang dirasai oleh tentera Perancis apabila Perang Dunia Kedua meletus. Mereka masih sesat di hutan ketika jentera perang musuh sudah melanggar tembok rumah mereka.     

1. Reservoir 13 oleh John McGregor



Di halaman awal Reservoir 13, John McGregor meletakkan puisi Wallace Stevens: "The River is moving./ The blackbird must be flying." Pergerakan waktu (sungai) dan pandangan alam yang berubah-ubah (burung). Dua kualiti yang jarang ditemui dalam sebuah novel; dua kualiti ini juga yang menjadi tiang utama kepada Reservoir 13. Ini ialah sebuah novel tanpa watak utama dan plot sebagai tulang belakang cerita. Ia bermula dengan kehilangan seorang gadis di sebuah kampung di England. McGregor menjadikan peristiwa ini sebagai titik tengah di mana watak-watak lain di kampung itu berjalan mengelilinginya. Perspektif kita berubah-ubah, sekejap kita bersama orang kampung di gereja, sekejap kita bersama anak-anak muda di tepi bukit, sekejap kita bersama musang yang sedang melahirkan anak. Setiap bab adalah tahun yang baru. Waktu bergerak cepat dalam dunia McGregor. Kita tidak sempat ingat nama semua orang di kampung itu. Lama-kelamaan kita pun lupa akan kehilangan si gadis. 

Arus terus mengalir. Burung hitam berpindah dahan. Kita menutup satu novel dan bergerak ke novel yang seterusnya. 
       

Siapakah Pengarang Hikayat Abdullah?

$
0
0


Seperti kedengaran retorik pula soalan ini: semua orang tahu pengarangnya ialah Munsyi Abdullah. Tetapi bagaimana kita boleh pasti? Tidak ada dokumen atau wasiat, sekadar catatan dua orang mat salleh  (Alfred North dan J. T. Thomson) mengenai Munsyi Abdullah. Tidak ada ulasan atau kritikan pembaca pada zaman Munsyi Abdullah. Tidak ada kata pengantar oleh Raffles (seperti kata pengantar Raffles untuk terjemahan Sejarah Melayu oleh sahabatnya John Leyden) walaupun Munsyi memuji Raffles sampai ke langit. Barangkali kita perlu melihat teks itu sendiri dan membuat perbandingan dengan karya Munsyi yang lain, pasti ada persamaan dari segi pemikiran dan gaya bahasa. Ya, pendekatan sebegitu memang lazim dibuat, tetapi akan timbul satu halangan lain: versi manakah kita ingin rujuk? Saya yakin para peminat (ada ke peminat?) dan pengkaji (masihkah dikaji?) tegar Munsyi Abdullah akan menuduh saya melebih-lebihkan variasi naskhah HikayatAbdullah. Niat saya sebenarnya bukanlah nak merendah atau menafi kepengarangan Munsyi Abdullah, tetapi membebaskan Munsyi daripada penjara tafsiran yang sedia ada. 

Saya bukanlah pakar dalam kajian sastera Melayu tradisional, malah boleh bilang dengan jari hikayat-hikayat saya pernah baca. Tetapi saya tertarik dengan kajian filologi ke atas sebuah teks lama, terutama sekali kajian terhadap teks Sejarah Melayu. Sepanjang sejarah kajiannya, saya perasan, ada semacam kegilaan di kalangan sarjana dan sejarawan untuk membuktikan versi atau naskhah Sejarah Melayu manakah yang paling lama. Winstedt kata Raffles No. 18 ialah naskhah paling lama, sementara Ahmat Adam pula kata naskhah Krusenstern paling lama. Entah suatu hari nanti ada sarjana akan terjumpa naskhah Sejarah Melayu di bawah piramid Mesir atau di dalam laci bilik tidur Leonardo da Vinci, dan umum ke seluruh dunia bahawa inilah naskhah paling tua! Hebat betul ya pengarang kita dulu? Katakanlah dengan izin Tuhan kita dapat menemui manuskrip asal SejarahMelayu (sebelum ia dilarikan ke Gowa dan kemudian "dikarang" semula oleh Tun Sri Lanang pada 1612), dan sungguh-sungguh menelitinya, dan mendapati ia tidaklah sehebat mana pun. Barangkali susunan asal manuskrip itu berselerak dan tidak kemas berbanding teks yang diselenggarakan oleh Tun Sri Lanang. Barangkali bahasanya mendatar dan tidak ada pun babak pertarungan antara Tuah dan Jebat. Barangkali manuskrip asal itu tidak lebih daripada senarai sultan-sultan yang pernah memerintah negeri Melaka. Adakah pada masa itu para sarjana kita akan kata inilah teks SejarahMelayu yang paling autentik? Tidak perlu lagi baca versi Tun Sri Lanang, terus pergi kepada manuskrip asal. Saya serahkan kepada pembaca untuk fikir, kerana saya ingin kembali kepada Hikayat Abdullah.  

Pada mulanya hanya terdapat dua bentuk Hikayat Abdullah: naskhah dan edisi cap batu 1849. Antara 1880 dan 1917, teks dalam edisi cap batu itu diulang cetak sebanyak 14 kali di Singapura. Ada cetakan Jawi, dan ada cetakan Rumi. Kebanyakan versi cetakan ini digunakan di sekolah, malah ada ketika judulnya ditambah menjadi:

Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang Berguna di dalam Tempat Belajar Kanak-Kanak Melayu yang di dalam Singapura, Pulau Pinang dan Melaka

Sejauh mana buku ini memberi kesan yang "Berguna" pada anak-anak Melayu zaman itu kita tidak tahu. Kita yang hidup di zaman media sosial barangkali sudah naik muak membaca kritikan terhadap sikap "malas" orang Melayu dan keboborkkan raja-raja Melayu. Tetapi bayangkan anak-anak muda di penghujung abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh; membaca Munsyi Abdullah ketika itu pasti seperti dicurah air dingin ke muka.

Hanya terdapat tiga naskhah salinan Hikayat Abdullah. Pertama, terdapat di Library of Congress, disalin oleh Husein bin Ismail, jurutulis Alfred North. Kedua, di Houghton Library, Harvard, juga disalin oleh Husein bin Ismail. Ketiga, di Hocken Library, Dunedin, inilah naskhah yang disalin oleh J. T. Thomson. Menurut Thomson, pada 1846, dia menerima manuskrip daripada Munsyi yang minta ia diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Antara ketiga-tiga salinan naskhah ini, mana satukah yang paling autentik dan bagus? Saya sendiri tidak pernah menatap naskhah ini, maka saya hanya boleh berpegang pada kajian terperinci yang dibuat oleh Amin Sweeney. Jawapannya: tidak ada satu pun naskhah sempurna. Masing-masing ada kelemahan dan ciri-ciri menarik untuk dikaji. Itu baru variasi naskhah, kita belum tengok suntingan-suntingan yang dibuat dalam edisi cetakan kemudian. Maka apabila teks Hikayat Abdullah sampai ke tangan Kassim Ahmad, kita boleh bayangkan sahaja bahawa ia semakin jauh meninggalkan manuskrip asal yang dikarang oleh Munsyi.

Maka sipakah sebenarnya pengarang Hikayat Abdullah? Seorang kerani kelahiran Melaka bernama Abdullah bin Abdul Kadir? Seorang pengarang bernama Munsyi Abdullah yang menulis tentang "watak" bernama Munsyi Abdullah? Keasberry (penerbit pertama buku ini)? Thomson? Husein bin Ismail? Alfred North? Barangkali semua nama ini boleh dikumpul di bawah satu nama ibu atau induk iaitu MUNSYI ABDULLAH. Saya tidak fikir satu naskhah harus diutamakan di atas naskhah yang lain. Pokok induknya tetap sama; cuma akar yang membumi itu bercabang dan berselirat.

Dari segi bentuk, Hikayat Abdullah sebenarnya meminjam idea daripada teks-teks Melayu klasik yang lain seperti Sejarah Melayu dan Taj Us-Salatin. Tetapi saya tertanya-tanya juga jika Munsyi Abdullah pernah membaca Hikayat Amir Hamzah. Ini merupakan kisah klasik dari India pada zaman kegemilangan  Empayar Mughal. Seperti Sejarah Melayu, Hikayat Amir Hamzah (atau Hamzanama) dikarang di istana sekitar tahun 1557 dan 1572 berdasarkan titah seorang maharaja yang baru berusia empat belas tahun. Namun perbezaan paling ketara ialah teks ini dikarang secara kolektif yang melibatkan ratusan pelukis dan pengarang. Hamzanama mengandungi 46 jilid dan 48000 halaman dengan illustrasi berwarna. Betapa hebatnya karya klasik ini, ia disebut dalam Sejarah Melayu ketika Portugis menyerang Melaka di mana ia dibaca untuk membangkitkan semangat pahlawan Melayu. Maka tidak mustahil Munsyi Abdullah juga pernah membacanya.

Tetapi kalau proses penciptaan Hamzanama itu melibatkan begitu ramai seniman, siapakah pengarang yang sebenarnya? Menurut Salman Rushdie "the true Overartist" karya ini tidak lain tidak bukan ialah Maharaja Akbar sendiri.
  

Buku yang Datang Tanpa Diundang

$
0
0
 
Membeli sebuah buku ialah seperti menerima seorang tetamu ke dalam rumah. Masalahnya tetamu ini tidak akan beredar selepas menikmati makan malam dan pencuci mulut; dia akan berlegar; dia akan berbual; dia akan terus menginap di dalam rumah kita. Saya fikir setiap buku akan diberi layanan berbeza: dulu Henry James saya akan biarkan dia duduk seorang diri di sofa, saya sediakan teh dan biskut, saya menunggu dia membuka mulut, tetapi sebenarnya apabila dia mula bercakap, saya akan terus terlelap. Sekarang James saya suruh duduk di bilik belakang. Biar orang lain yang lebih seronok dan bertenaga bermain di ruang tamu.

Tetapi saya perasan ada juga buku yang datang ke dalam hidup saya tanpa diundang. Saya menemui mereka ketika menghadiri acara, atau berjalan ke stesen LRT, atau sedang minum kopi di sebuah kafe, atau pergi membeli barang dapur di pasar raya. Senario terakhir itu berlaku dengan buku Jealousy oleh Alain Robbe-Grillet terbitan Oneworld Classic. Saya nampak ia dijual secara lambak berhampiran pusat hiburan kanak-kanak. Harga: RM10. Kertasnya sudah kuning dan kasar. Saya pernah baca novel ini, tetapi prakata oleh Tom McCarthy menggoda saya untuk membelinya. 

Antara penyesalan terbesar saya ialah tidak membeli buku Latiff Mohidin Sungai Mekong ketika seorang pak cik menjualnya di bawah tiang stesen LRT. Tidak tahulah dia curi atau kutip buku itu di dalam tong sampah rumah orang kaya di Bukit Tunku. Tetapi saya fikir mana-mana buku Latiff harus beredar di jalanan, bukannya dipamer di dalam kotak kaca sebuah toko besar. Patut ada tangan seekor harimau mencakar muka kita sebaik sahaja sebuah buku Latiff diselak dari halaman ke halaman. 

Buku yang saya beli daripada pak cik itu ialah kritikan psikologi Hashim Awang dan koleksi makalah mengenai Shahnon Ahmad. Apa boleh buat, masa itu kegilaan saya pada kritikan tidak mengenal batas. Saya belum kenal puisi dalam erti kata sebenar. Saya terlalu sibuk berangan nak jadi seorang Mohd. Affandi Hassan yang akan ludah pada mana-mana karya Malaysia yang tidak mencapai tahap estetika agung. Sekarang buku Hashim Awang itu entah tersorok di dalam sarang tikus mana. 

Fiksyen ialah rumah dengan beribu jendela. Lebih kurang begitulah tema buku Gerald Murnane yang isteri saya beli tahun lepas di Australia. Saya belum habis membacanya. Tahun lepas Murnane selalu datang berdiri di luar tingkap dan saya akan keluar berbual dengannya di depan rumah. Sekarang kalau dia datang, mungkin saya akan tutup semua langsir. Hidup saya semakin sibuk untuk menerima tetamu yang tidak diundang.     


Binatang: Gladiator atau Bidak di atas Meja?

$
0
0
Seekor "gajah putih" yang dibawa dari Burma

Antara semua cerpen Roberto Bolano, Alejandro Zambra paling tidak suka cerpennya berjudul "Buba" kerana ia menunjukkan Bolano bukan seorang peminat bola sepak yang tulen. Memang betul pun. Tidak ada babak bola sepak atau pemain bola sepak dalam mana-mana novel Bolano. Hobi yang lebih dekat dengan jiwa Bolano ialah sejarah Perang Dunia Kedua dan permainan meja bertema perang. Kalau tidak salah saya, Bolano juga layan permainan komputer Age of Empires. Saya tidak hairan kalau dia juga main Red Alert dan Civilization. Bolano sendiri bukanlah pengarang yang fizikal walaupun dia boleh menulis babak aksi apabila perlu (terutama sekali bahagian kemuncak dalam novel The Savage Detectives). Hidup ini ialah suatu permainan tanpa garisan akhir. Maka tugas pengarang ialah menggariskan sempadan dan memberikan bentuk kepada permainan tersebut. 

Walaupun ia bermakna seorang pengarang hanya melihat kehidupan dan sejarah dari jarak yang jauh dan terpisah. 

Semenjak beberapa bulan ini, saya banyak terdedah kepada teks dan dokumen sejarah. Saya membaca kajian-kajian akademik yang mungkin saya sendiri tidak akan sentuh, kalau bukan kerana tuntutan kerja. Tanpa saya sedar, atau inginkan, sejarah mula meresap masuk ke dalam tulisan saya. Minat utama saya ialah sejarah Tanah Melayu pada abad kesembilan belas, terutama sekali sejarah di negeri-negeri selat seperti Melaka dan Singapura. Kajian saya mengenai kehidupan Munshi Abdullah membawa saya kepada sejarah percetakan dan peranan tukang penyalin manuskrip yang dilupakan sama sekali sumbangan mereka. Saya fikir seorang novelis boleh mengkaji sejarah tanpa perlu ada keinginan untuk menulis sebuah novel sejarah. Sejarah bukan sekadar pertumpahan darah di dalam istana, atau pertempuran sengit di medan perang. Sejarah juga melibatkan kisah golongan hamba, lukisan di atas selembar peta, laporan cuaca, senarai barang dagangan di sebuah pelabuhan, jadual perjalanan kereta api, poskad, surat cinta, lukisan, syair, dan nasib binatang-binatang di rimba. 

Saya fikir belum ada sesiapa membuat kajian mengenai kehadiran binatang dalam teks HikayatAbdullah. Saya bukanlah nak kata Munshi Abdullah seorang aktivis bumi hijau. Tetapi beliau mempunyai mata yang simpati terhadap binatang. Cuba kita lihat babak ini dalam bab berjudul 'Darihal Tuan Raffles:'

"Syahdan maka adalah pada tiap2 hari dibawa orang berjenis2 binatang dan hulat yang belum pernah kulihat, se'umur pun baharulah kulihat. Dan lagi pula, datanglah hadiah daripada Raja Sambas, dua ekor mawas yang dinamai oleh orang putih 'orang hutang' dan datang anak anak harimau dan beruang dan berjenis2 binatang daripada segenap negeri. Maka diberilah oleh Tuan Raffles memakai seluar dan baju dan cepiau, rupanya seperti seorang kanak2 yaitu dilepaskan sahaja ia berjalan2. Maka adapun mawas itu kulihat tabi'atnya seperti akan2 manusia, maka bersalahan ia tiada tau berkata2 sahaja. Maka apabila ia hendak buang air, larilah ia ke tempatnya. Dan lagi, datanglah ia ke tempat aku menulis dekat2 meja itu dengan diamnya, tiada tau menakal seperti monyet kera yang lain. Maka diambilnya kalam perlahan2, dilihatnya, maka kataku: 'Letakkan lekas!" Maka dengan segeranya diletakkannya. Adapun binatang itu perutnya besar. Maka waktu2 ia duduk itu, mengeranglah ia seperti orang sakit. Maka aku bertanya: 'Apa sakit?' Maka dipegangnya perutnya. Maka adalah seolah2 ia mengerti bahasa kita rasanya, tetapi mustahil adanya. Adapun yaitu sepasang, yaitu seekor jantan seekor betina. Maka adalah empat lima bulan lamanya di Melaka, maka pada suatu malam matilah yang betina itu. Maka kulihat daripada ketika itu jantannya itu pun kelakuannya seperti orang dukacita adanya. Maka ada enam tujuh hari demikian itu jantannya itu pun matilah. Maka insaflah hatiku sebab melihatkan hal demikian itu. Sedangkan binatang lagi sekian ia berkasih2han laki bini, istimewa pula kita ini manusia ini. Bahwa mengambil 'ibaratlah daripada binatang itu." 

Kalau kita lihat dalam mana-mana peribahasa atau pantun Melayu, binatang bukanlah objek yang mandiri. Binatang sentiasa menjadi cerminan pengajaran atau kayu ukuran yang membezakan manusia berbudi dengan manusia tidak berbudi. Ambil contoh, perkataan "monyet," dan senaraikan peribahasa berkaitan dengannya:

  • Berjual pisang kepada monyet = Berjual dengan memberi hutang
  • Jangan memberi bunga kepada monyet = Memberi sesuatu yang baik hendaklah pada tempatnya
  • Pantas tangan seperti beruk = Kecekapan mencuri barang orang
  • Kera kena belacan = Sangat gelisah 


Di sini kita dapat melihat sifat seekor monyet/kera hanya lanjutan daripada pemikiran seorang subjek yang melihatnya. Ia seolah-olah keberadaan seekor monyet terikat dengan makna yang diberikan oleh manusia. 

Di Johor, ketika pemerintahan Maharaja Abu Bakar, Frank Swettenham melihat bagaimana sebuah temasya diadakan untuk orang ramai di mana seekor harimau dan seekor kerbau dilepaskan ke dalam gelanggang. Pasti ramai orang sangka harimau itu akan menerkam mangsanya. Tetapi sebaliknya ia berlari sekeliling gelanggang, hendak melepaskan diri. Gerakan harimau itu ditafsirkan oleh kerbau sebagai ancaman, maka ia pun berlari menghunus tanduknya lalu menikam tubuh harimau itu sebelum mencampaknya ke udara, dan kemudian menanduk tubuh harimau ke tanah. Memang lunyai. Swettenham membuat tafsiran sendiri kejadian berdarah yang berlaku di depan matanya:

"I ascribe that rather astonishing result to the fact that the tiger's home was in the jungle, far from men and their haunts, whereas the buffalo was a tame beast accustomed to human beings. Therefore, when stripes found himself in a pen, surrounded by moving and shouting people, he disregarded the buffalo and sought only to get away. The buffalo, being at home and at his ease, recognized in the tiger a dangerous enemy, and proceeded to deal with him." 

S. M. Zakir: Menunggu Matahari Di Taiwan

$
0
0
 
"Membaca sajak ada kalanya seperti menghirup bau kata-kata yang menyedarkan kesegaran kepada jiwa," tulis S. M. Zakir dalam pengenalan kepada buku kumpulan puisinya Aroma. Dalam buku itu, kita bukan sahaja menghidu aroma, tetapi merasa hangat matahari apabila kita meletakkan kata-kata Zakir di atas tapak tangan. Kini Zakir muncul dengan kumpulan puisi baru berjudul Rumah Yang Tumbuh Dari Bukit (RYTDB) dan latarnya adalah Taiwan. Nampaknya matahari yang sebelum ini berada di atas tapak tangan  telah jatuh bergolek ke dalam belukar. 

Buku ini mengandungi 35 buah sajak dan hampir kesemuanya adalah sajak tepi tingkap. Bunyi macam main-main, tetapi sebenarnya ada banyak sajak bagus dari Malaysia dan Indonesia yang mengambil suasana di tepi tingkap sebagai subjek. Misalnya, sajak Chairil Anwar'Sebuah Kamar'yang bermula dengan: "Sebuah jendela menyerahkan kamar ini/ pada dunia. Bulan yang menyinar ke dalam/ mau lebih banyak tahu." Jendela. Kamar. Bulan. Zakir sendiri bukan asing dengan imejan sebegini. Kalau Chairil begitu simpati dengan bulan, Zakir sangat memusuhinya. Dalam dunia Zakir "bulan terlempar/ jatuh terkapar/ ada sejuta cakar di mukanya." Sungguh keras dan tanpa belas kasihan. Anehnya, apabila kita membuka RYTDB, emosi dan imejan yang brutal itu lenyap sama sekali. 

Sebagai perbandingan, kita akan lihat potongan sajak daripada Aroma dan potongan sajak daripada RYTDB. Pertama, dari Aroma iaitu sajak berjudul 'Matahari':


mungkin aku adalah api
dari lautan matahari 
yang bangkit dari rusuh
sebelah badanku menjadi ular
dan sebelah lagi badanku
menjadi serigala


Sekarang daripada RYTDB iaitu sajak berjudul 'Mata Senja':

kenderaan bergerak
bagai serangga di titi
matahari telah rebah di hujung belukar
menyelusup meninggalkan 
cahaya yang memudar


Halusinasi dan kegelisahan jiwa dalam Aroma digantikan dengan meditasi kehidupan dalam RYTDB. Zakir ingin melihat dan mentafsir dunia Taiwan di luar tingkap. Tetapi barangkali Zakir tidak sedar bahawa melihat dan merenung bukan kekuatannya sebagai seorang penyair. Zakir bukan seorang Muhammad Haji Salleh yang boleh mengupas makna daripada apa-apa objek alam. Mahupun seorang T. Alias Taib yang sentiasa melihat dunia dari sudut ironi. Zakir berfikir melalui metafora. Ibarat seorang samurai yang ingin berperang, dia memerlukan ukiran tatu "ular,""serigala,""matahari," dan wajah seorang "kekasih" pada seluruh badannya. Tanpa segala metafora ini, sajak Zakir kehilangan tenaga erotis dan aromanya. 

Zakir juga bukan seorang penyair nokturnal. Malam dan kesunyian sebuah kamar membuat Zakir duduk tidak senang sehingga dia menyeru angin untuk datang teman:


Angin menampar-nampar pintu
menutup dan membukanya
ingin menceroboh masuk
ke dalam rumah studio kecil
yang dihuni sunyi dan dingin


Bagaimana nak merenung hidup jika jiwa sentiasa memberontak untuk keluar dari kamar? Setiap kali Zakir cuba menyimpulkan sajaknya dalam RYTDB, kita dapat baca baris liriknya tersekat-sekat, dan dia tidak ada pilihan kecuali memberi kesimpulan moral tentang "kehidupan." Menurut kiraan saya, Zakir menulis kata "kehidupan" sebanyak 28 kali dalam buku ini. Ia seolah-olah Zakir tidak tahu nak buat apa dengan unsur alam yang diperhatikannya di luar tingkap.  Kecuali apabila terlintas di ruang imaginasinya matahari yang selama ini hilang daripada pandangan:


Aku mencari matahari
yang aku lihat bangkit tadinya
dari sebelah timur 
tegak berdiri di kepalaku
petang ini aku melihat
matahari hilang di hujung belukar 
aku mencarinya menyelak-nyelak
belukar di tepi bukit
tetapi tiada matahari di situ
mungkin matahari telah hanyut
dibawa arus sungai Xindiang 
yang membesar bagai laut
setelah hujan turun tanpa henti 
matahari tergelincir dan jatuh 
lemas di dalam arus sungai
sehingga aku tidak temuinya lagi 
di barat atau di timur
esok mungkin ia akan bangkit
dan aku menunggunya di timur
menyambutnya agar tidak jatuh
dan hilang lagi di hujung belukar


'Matahri Jatuh di Hujung Belukar' ialah sajak terbaik dalam RYTDB kerana inilah bentuk sajak yang paling cocok dengan jiwa kepenyairan S. M. Zakir. Semoga selepas ini matahari akan bangkit semula dan tidak lagi hilang di hujung belukar.  

Memandu Dari Ijok Ke Puncak Alam

$
0
0

Rutin biasa setiap kali pulang ke kampung isteri saya. Selepas makan malam atau selepas berbuka puasa, saya akan keluar memandu ke Puncak Alam. Jalannya gelap dan berbukit. Sepanjang perjalanan saya banyak bercakap dengan diri sendiri. Menyuluh lampu ke depan adalah ibarat menyuluh ke dalam terowong ingatan. Terlalu bahaya untuk kita berhenti dan mengejar bayang-bayang. Kita hanya mampu menyuluh dan menangkap apa-apa yang melintas pada cermin sisi.

Ijok adalah kampung, sementara Puncak Alam adalah kawasan perumahan baru yang masih sedang membangun. Hubungan kedua-dua tempat ini ialah ladang kelapa sawit dan tanah merah yang gersang. Lori keluar masuk tanpa henti kerana ia berdekatan dengan lebuh raya. Sepuluh tahun lagi Puncak Alam mungkin akan jadi seperti Kota Damansara atau Bangi. Populasi campuran tanpa budaya asli untuk membentuk identiti. 

Malam ini saya membawa buku kisah-kisah Berlin Robert Walser. Dari segi penulisan, Walser memang tidak boleh ajar apa-apa kepada saya. Tetapi sukar nak membayangkan pengarang yang lebih sederhana daripada Walser. Saya membaca Walser untuk menghargai hal-hal kecil di sekeliling saya. Seperti memandu seorang diri dan bercakap seorang diri di tengah malam. Pada hari bekerja kita banyak menghabiskan waktu untuk memenuhi permintaan orang lain. Kadang-kadang pada hujung minggu pun kita masih bekerja. Oleh itu, waktu yang kita ada untuk diri sendiri adalah waktu yang sangat berharga. 

Rumah Sufian Abas terletak di penghujung Puncak Alam. Kalau kita terus lagi, kita akan langgar bukit. Sangat jauh daripada Kuala Lumpur. Tetapi tempat paling selamat untuk simpan buku daripada manusia-manusia yang berjiwa rakus. 


Di Dermaga Terbuka

$
0
0


Di Dermaga Terbuka
Oleh Rahimidin Zahari

Aku sekarang di dermaga terbuka;
menunggu angin sejuk terlepas dari teluk
dan di hadapanku kapal berpusar
gagal menemui pelabuhan
apalagi pantai yang tidak berpulau.

* * *

Sebuah sajak datang ke dalam hidup kita pada waktu berbeza. Ibarat menemui kembali barang lama yang sudah hilang. Hujan lebat sewaktu bersahur pagi ini. Sementara tunggu isteri saya bangun untuk pergi kerja, saya masuk ke bilik menulis. Ruang ini kami kongsi bersama. Rak buku belum selesai dipasang. Sebahagian daripada buku ada di dalam kotak atau bersepah di atas lantai. Saya tarik kerusi dan duduk sambil mendengar air berdetap-detap di luar tingkap. Semenjak bekerja ini semakin susah untuk ada waktu sendiri. Waktu untuk senyap. Waktu untuk melihat buku-buku lama. Saya terpandang buku Rahimidin Zahari Di Kebun Khatulistiwa. Warna tulang sampulnya merah, sangat menonjol. Saya selak secara rambang dan sajak pertama saya jumpa ialah "Di Dermaga Terbuka."

Saya ingat pernah baca sajak ini beberapa tahun lalu. Pada masa itu ia tidak memberi apa-apa kesan mendalam, malah saya lupa sajak ini wujud. Sekarang apabila membaca semula, imej kapal, angin, dan dermaga itu menjadi begitu jelas. Seolah saya berada di situ. Saya asyik terbayang dalam kepala saya cerpen Edgar Allan Poe "A Descent into the Maelstrom." Seorang kelasi terperangkap di tengah pusaran ombak. Dia berputar-putar sehingga dia hilang ke dalam perut laut. Rahimidin Zahari ada banyak sekali sajak di tepi laut. Ternyata penyair pantai timur begitu dekat dengan laut. Suatu pengalaman agak asing buat saya. Walaupun saya membesar dekat dengan Kuala Kedah, tetapi pantai dan airnya tidak bergelora seperti di Kelantan atau Terengganu. Kenapa manusia yang dekat dengan laut begitu cenderung untuk menulis tentang laut? Adakah sebab rindu? Kagum? Takut? 

Sajak Rahimidin ini seperti panggilan pulang. Dan juga penantian. Namun dermaganya ialah dermaga yang terbuka. Setiap hari kita datang semula ke pantai dan kita melihat kapal sama dilambung-lambungkan ombak. Lalu kita pulang. Pada waktu malam kita mimpi kepulangan para nelayan dengan luka matahari di dalam mata dan darah ikan yang berbekas di bawah bibir. 
  
Viewing all 260 articles
Browse latest View live